Beliau berkata, sambutan pada tahun ini juga kebetulan serentak dengan kelahiran Malaysia baharu yang terhasil daripada keazaman kuat rakyat Malaysia untuk mencari dan mempertahankan prinsip keadilan.
Menurut, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor zaman permulaan baharu bagi Malaysia itu turut menyerlahkan pentingnya perkhidmatan dan keadilan untuk semua, tadbir urus yang baik dan mendahulukan kepentingan rakyat melebihi daripada segala yang lain.
"Dalam semangat permulaan baharu inilah saya memutuskan untuk menggalas tanggungjawab di peringkat Persekutuan, kerana kita perlu menyelamatkan negara kita. Ini bukan satu tugas mudah tetapi jika kita bekerja bersama-sama, saya yakin kita mampu memberi hala tuju baharu kepada negara kita.
"Kepada para penganut agama Buddha di Selangor dan seluruh Malaysia, saya mengucapkan selamat menyambut Hari Wesak dan semoga perayaan kali ini dipenuhi kegembiraan dan kesyukuran. Selamat Hari Wesak!," katanya dalam perutusan Hari Wesaknya hari ini.
Di Malaysia, Hari Wesak disambut meriah sebagai lambang kepelbagaian budaya dan agama dan penganut agama Buddha menyambutnya dalam suasana aman damai selain banyak berderma kepada mereka yang kurang bernasib baik. -BERNAMA