Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Muslim : Gelaran semata-mata ?



  Muslim merupakan gelaran yang diberikan kepada insan yang menganuti agama Islam, Agama Allah. Namun gelaran ini sering disia-siakan bagaikan melepaskan betuk di tangga.

  Sebagai seorang muslim, adalah menjadi tanggungjawab dan kewajipan kita untuk mengaplikasikan dan mengamalkan segala amalan dan suruhan Allah Azzawajalla atau istilahnya, kehidupan beragama. Kehidupan yang berlandaskan kepada agama dan ajaran Islam sudah semestinya akan terus lurus tanpa dipesongkan oleh anasir dan hasutan yang membinasakan. 

  Terdapat beberapa kriteria muslim yang baik yang boleh diperolehi daripada hadis-hadis sahih yang menjelaskan apa sebenarnya definisi muslim yang baik itu.

Daripada ‘Abdullah bin ‘Amr RA daripada Nabi SAW bersabda: "Seorang Muslim (yang sempurna Islamnya) ialah (apabila) seseorang Muslimin (yang lain) selamat daripada (keburukan) lidahnya dan tangannya, manakala seorang muhajir (yang berhijrah) adalah seseorang yang meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah SWT.” (Hadith riwayat al-Bukhari,No. 10, 6484, Muslim, No. 40)

  Dapat diperhatikan daripada hadis tersebut akan betapa pentingnya seorang muslim memelihara lidah dan tangannya dalam kehidupan seharian. Hal ini dikatakan demikian kerana, lidah dan tangannya yang turut menjadi punca atau boleh diibaratkan sebagai lombong dosa tanpa kita menyedarinya. Sebagai contoh, menyebarkan fitnah, mencuri, mengucapkan perkataan-perkataan kesat dan sebagainya.

   Seyogia itu, sebagai seorang muslim, kita sewajarnya memelihara tutur kata dan perlakuan kita kerana kita mencerminkan agama Islam itu sendiri terutama sekali, dalam zaman modenisasi dan akhir zaman yang mencabar ini, mudah sekali untuk kita melakukan kesalahan-kesalahan tersebut sekiranya iman kita tidak teguh dan goyah. 

   Oleh itu, marilah kita bersama-sama berusaha mengukuhkan dan mengutuhkan iman dan kesatuan kita sebagai muslimin dan muslimat. Usah biar pengaruh dan anasir yang membinasakan memusnahkan iman kita. Teguhkan iman kita seperti tembok yang kental dan tebal, tidak bergerak walau sejengkal pun dibadai ombak ganas menerpa. Sesungguhnya Islam itu indah, dan Islam itu kuat.


Comments :

0 comments to “Muslim : Gelaran semata-mata ?”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Kongsikan

Powered by Blogger.