Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Selfie tertinggi Malaysia

Perbuatan selfie bukan dikategorikan sebagai salah, tetapi semakin lama, ramai yang melangkah satu tahap ke depan dengan aksi selfie yang berbahaya.

Bagi, juruteknik syarikat penyedia akses tali industri, Ropequest Sdn Bhd, Adam Tun Tuah, 23, foto selfie beliau dan lima rakannya yang menjadi ‘viral’ di Internet selepas berada di puncak Menara Kuala Lumpur (KL) setinggi 421 meter dari aras laut menjadi pengalaman bermakna sepanjang bekerja.

“Kami mengambil masa hampir sejam untuk tiba ke puncak. “Langkah pertama ialah dengan menggunakan lif sehingga aras dipanggil TH06 kemudian menggunakan tangga sehingga aras TH11 sebelum mula memanjat antena di luar,” katanya.

Beliau berkata, cabaran bermula apabila berada di kawasan antena luar dengan beliau dan beberapa rakan mula memanjat tangga dalam tiang yang disifatkan sebagai ‘confine space’.

“Ruang terbabit memang muat-muat badan saja, oleh itu siapa yang mempunyai masalah klaustrofobia atau cepat panik memang sukar melakukan kerja ini,” kata Adam yang turut disertai Mohd Ashraf Fakhruddin, Ayen Mahidin, Shahrul Rizam, Saleh Mokhtar, Shamsul Idzwan Shamsuddin dan Ikhwan Abdul Rashid.

Katanya, beberapa kamera jenis GoPro digunakan bagi merakam detik menyelenggara puncak terbabit memandangkan ia pengalaman yang sukar dilepaskan.

 “Setiap daripada kami mempunyai GoPro atau satu lagi kamera, SJCam4000 yang boleh dilekatkan di helmet keselamatan dan mudah dipegang,” kata Adam.

 Adam memaklumkan, beliau dan rakan tidak menggunakan ciri khas bagi merakam gambar apabila kamera sedia ada sudah lengkap dengan kaedah gambar diperlukan iaitu jenis ‘fish eye’ dan pemandangan yang luas.

Peluang berada di puncak terbabit membolehkan rakaman selfie dirakam memandangkan hanya individu seperti Adam saja yang berkemampuan untuk berada hampir dengan awan tanpa rasa takut.

“Gayat memang gayat dan perasaan terbabit tidak akan hilang cuma kami perlu lawankan saja perasaan terbabit.

“Sebabnya, apabila kita berada di atas, anda tidak boleh bergerak terlalu kasar yang mengakibatkan antena terbabit bergoyang.

“Sistem anti gempa bumi yang dipasang juga boleh menyebabkan kita merasai badan seakan bergoyang terutama apabila angin kuat jadi anda perlu mempunyai ketahanan kental,” katanya.

Katanya, meskipun pemandangan jauh hanya kelihatan berwarna putih, ia sudah cukup mengagumkan. “Kami boleh melihat Batu Caves, Menara Rebung dan pengkalan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Sungai Besi yang jelas kelihatan. “Sebelum ini saya sudahpun berada di puncak Menara Berkembar Petronas tetapi Menara KL lebih tinggi memandangkan ia dibina di atas bukit,” katanya.

Ropequest berpengalaman dalam penyediaan akses kepada tali industri dan penyelenggaraan bagi kerja yang memerlukan skil ting­gi.

Rakaman selfie paling tinggi setakat ini mungkin diperoleh jurugambar warga Britain Gerald Donovan yang memilih lokasi menakjubkan untuk merakam selfie pertamanya Burj Khalifa di Dubai bangunan tertinggi di dunia. Donovan, 47, merakam gambar luar biasa dirinya untuk menyiapkan projek 360 Dubai.

Projek itu membenarkan sesiapa saja melawat bandar itu secara interaktif. “Saya tidak gemar berselfie. Seingat saya, ini kali pertama saya melakukannya. Tambahan pula, ia peluang terbaik untuk dilepaskan,” katanya.

Donovan yang berasal dari Cheltenham dan bekerja di Emiriah Arab Bersatu sejak tujuh tahun lalu, menggunakan kamera panoramik khas yang dikawal oleh aplikasi iPhone untuk merakam gambarnya pada ketinggian 830 meter.

Dubai 360.com yang dilancarkan pada Januari lalu membolehkan pengguna ‘melancong’ ke seluruh Dubai dengan hanya menyentuh butang dan ia termasuk pemandangan panoramik 36 jam dari puncak Burj Khalifa.

“Penonton boleh berinteraksi menerusi video, menentukan sendiri arah mana mereka hendak melihat, termasuk mengezum dekat dan jauh bagi meneliti sesuatu dengan lebih terperinci. “Matlamatnya ialah untuk memperkenalkan Dubai kepada seluruh dunia dan membenarkan mereka meneroka bandar itu walau di mana mereka berada. “Dengan menontonnya menerusi Internet, orang ramai dapat merasakan seolah-olah mereka mengelilingi Dubai secara lebih dekat,” katanya.

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/53836

Comments :

0 comments to “Selfie tertinggi Malaysia”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.