Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Tarikan ZenFlash, Lolliflash

Cara anda memandang sebuah telefon pintar mungkin biasa dan tidak tertarik dengan mana-mana spesifikasi biarpun ia kelihatan hebat di mata si pemakai yang mementingkan ciri luar biasa pada peranti terbabit.

Pada anda, telefon pintar adalah telefon pintar dan ia tidak lebih sekadar mesin yang membuat panggilan atau menerima WhatsApp.

Evolusi telefon pintar terlalu banyak tertumpu kepada pembangunan cip seperti pemprosesan, jumlah memori, rekaan dan sebagainya sehingga kadangkala anda merasakan ia bukan lagi sebuah peranti yang menepati cita rasa anda.

Telefon pintar memerlukan revolusi baru , mungkin tidak hanya fokus pada rekaan melengkung tetapi kemudahan lain yang membezakan satu jenama dengan jenama lain.

Oleh itu, langkah pengeluar seperti ASUS yang bukan saja menumpukan kepada pembangunan telefon tetapi melihat secara ke depan dengan penghasilkan aksesori , sudah pasti memberi kelainan ditagih pengguna telefon pintar.

Banyak pengeluar yang mungkin bersaing dari aspek penghasilan rekaan, jumlah resolusi atau piksel setiap inci (ppi) pada telefon sehingga menyaksikan jurang perbezaan spesifikasi antara mereka tidak jauh berbeza.

Malah, banyak pengeluar membiarkan pihak ketiga atau ‘third party’ yang menghasilkan aksesori sehingga lupa ia sebenarnya ‘tugas’ mereka untuk menambah pilihan kepada pengguna.

Berdasarkan fakta terbabit, penulis tertarik dengan ASUS yang menghasilkan aksesori tambahan kepada produk telefon pintar Zenfone 2 termasuk ZenPower (powerbank), ZenFlash (flash), Lolliflash (flash) dan ZenEar (fon telinga).

Ketika menemui Ketua Pegawai Eksekutif ASUS, Jerry Shen, beliau sendiri mengakui pembuatan telefon pintar bukan lagi tertumpu pada perkakasan itu semata-mata tetapi pengeluar perlu lebih kreatif dengan kepelbagaian produk tambahan.

“Kami menumpukan usaha memperkenalkan telefon pintar yang hebat seperti Zenfone 2 namun pada masa sama, fokus kepada pembangunan aksesori juga menjadi aspirasi untuk berjaya,” katanya.

Menurutnya, produk seperti Zenflash, Lolliflash dan ZenPower menjadi trend masa depan yang perlu dipandang pengguna.

“ZenFlash misalnya memberikan pengguna keupayaan menukar telefon pintar mereka kepada kamera seakan-akan DSLR,” katanya.

Menariknya, peranti terbabit bukan saja sesuai dengan Zenfone tetapi mana-mana peranti lain yang mempunyai port mikroUSB.

Ia akan dilekatkan di bahagian belakang dengan pelekat getah boleh cabut seperti ditampal di cermin kenderaan.

Cahaya jenis xenon ZenFlash cukup cerah untuk menerangkan satu bilik di samping aplikasi kamera sendiri bagi menukar telefon anda kepada ‘DSLR kecil’ yang mempunyai antaramuka kawalan pencahayaan khas.

Ia menawarkan beberapa fungsi DSLR dengan tetapan cahaya pada ZenFlash membolehkan anda mengawal ciri tertentu seperti kelajuan shutter dan apertur.

Bagi kamera depan pula, Lolliflash lebih santai dan ringkas sesuai untuk pengguna selfie yang mahukan rakaman lebih terang.

Lolliflash boleh dipasang di port audio 3.5mm telefon dan memancarkan cahaya cerah, pada masa sama mempunyai penapis cahaya berwarna-warni seperti merah jambu dan biru bagi memeriahkan suasana dengan penapis asli.

Penulis tertarik dengan strategi ASUS yang menawarkan ZenFlash dan Lolliflash masing-masing dijual pada harga sekitar RM69 dan RM35 yang sudah pasti tidak menggusarkan pengguna dari aspek harga aksesori.

ZenPower pula mencuri tumpuan, apatah lagi dengan saiz kompak berkeluasan seperti kad kredit dan mudah dibawa ke mana saja.

Powerbank terbabit sememangnya menjadi aksesori tambahan paling penting kepada pengguna telefon pintar kini yang dahagakan tenaga tambahan akibat penggunaan aplikasi semakin banyak.

Ia mempunyai pilihan kapasiti 5000mAh, 10000mAh dan 25000mAh tetapi pada penulis, difahamkan ha­nya model 10000mAh saja yang akan dibawa masuk ke Malaysia.

Model terbabit akan didatangkan pula dengan kasing pelbagai warna diperbuat daripada getah termasuk hitam, merah, kuning, biru dan merah jambu.

Disebabkan Zenfone 2 mempunyai fungsi cas pantas iaitu bateri boleh menjangkau 60 peratus dengan cas selama 39 minit, powerbank ZenPower ini juga mengeluarkan output 2.4A yang membolehkannya mengecas pantas berbanding powerbank biasa di pasaran.

Pada harga jualan sekitar RM79 untuk kapasiti 10000mAh, ia mungkin hadir sama dengan pelancaran Zenfone 2 di Malaysia pada 9 Mei ini.

Tumpuan pastinya pada Zenfone 2 apabila Zenfone menjadi salah satu model telefon pintar ASUS yang paling berjaya untuk ASUS dengan lebih lapan juta unit terjual pada tahun lalu, malah kali ini ASUS turut menaik taraf antaramuka ZenUI keluarannya yang kini dilengkapi sistem keselamatan Trend Micro.

“Kali ini kami menyasarkan untuk menjual 25 juta unit Zenfone di seluruh dunia berikutan kejayaan cemerlang tahun lalu,” kata Shen.

Skrin pada Zenfone 2 sebesar 5.5 inci, kali ini beresolusi HD penuh 1920 x 1080 piksel menggunakan paparan IPS dan gelas paparan Corning Gorilla Glass 3 yang tahan lasak di samping ruang skrin ke badan hanya 3.3mm, sekali gus menjadikan keluasan skrin sebanyak 72 peratus meliputi badan Zenfone 2.

Beliau berkata, syarikatnya menggariskan lima langkah untuk menaikkan kekuatan Zenfone 2 termasuk kecantikan, kamera, cas pantas, antaramuka dan pengalaman pengguna.

“Kami juga perkenalkan dua lagi produk, Zenflash dan Zenpower sebagai aksesori untuk dipadankan dengan Zenfone 2 yang boleh menambah kekuatan telefon pintar itu,” jelasnya.

Katanya, selain kamera dan RAM sebanyak 4GB, Zenfone 2 mempunyai keupayaan cas pantas iaitu bateri mampu melangkau 60 peratus dengan tempoh cas 30 minit berdasarkan ciri Quick Charge 18 watt.

“Kalau diikutkan, ia jauh lebih tinggi berbanding iPhone yang hanya mempunyai keupayaan mengecas lima watt,” katanya.

Sumber

Comments :

0 comments to “Tarikan ZenFlash, Lolliflash”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.