Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Pencuri temui ajal ketika pecah masuk rumah


Malang bagi bagi seorang pencuri apabila terbunuh selepas bergelut dengan pemilik rumah yang dimasukinya di Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram, dekat Johor Bahru, petang semalam.


Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata suspek lelaki berusia 32 tahun itu ditemui mati dalam keadaan terbaring dipercayai akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan tangan berpunca daripada pisau yang ditemui di tempat kejadian.


"Kejadian itu dipercayai berlaku apabila suspek dan mangsa yang juga berusia 32 tahun bergelut sehingga menyebabkan kedua-dua mereka mengalami kecederaan. Bagaimanapun, mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah,” kata beliau dalam satu kenyataan malam tadi.


Pada kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, suspek dipercayai memasuki rumah berkenaan melalui tingkap tandas belakang bersebelahan dapur sebelum bertindak memecahkan pintu bilik utama.


Mangsa yang berada di rumah ketika itu, kemudiannya diugut menggunakan pemutar skru untuk menyerahkan barangan berharga selain bertindak menggeledah bilik kedua dan ketiga rumah.


Shahurinain berkata suspek kemudiannya memaksa mangsa untuk membuka pintu dapur untuk melarikan diri namun mangsa berjaya mencapai sebilah pisau pemotong sayur berukuran 22 sentimeter.


"Dia mengarahkan suspek untuk memulangkan semula barangan miliknya tetapi suspek enggan sehingga menyebabkan berlaku pergelutan antara kedua-dua mereka,” katanya.


Hasil siasatan awal mendapati suspek mempunyai 14 rekod jenayah lampau termasuk kes dadah.


Polis turut menemukan dompet, wang tunai berjumlah RM730, cincin emas dan telefon bimbit jenis Motorola dalam kocek seluar suspek.


Mayat suspek dibawa ke Hospital Sultan Ismail bagi proses bedah siasat esok.


Kes disiasat mengikut Seksyen 302 kerana membunuh.


Sumber - Bernama


Comments :

0 comments to “Pencuri temui ajal ketika pecah masuk rumah”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.