Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Dunia tolak veto Washington


PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB), New York –Masyarakat antarabangsa me­minta pihak-pihak yang terlibat mengadakan rundingan untuk menentukan status Baitulmuqaddis susulan tindakan Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa veto bagi membatalkan draf resolusi Majlis Keselamatan PBB kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.


Duta Mesir ke PBB, Amr Abdellatif Aboulatta berkata, draf resolusi itu bertujuan untuk memastikan bahawa sebarang percubaan untuk mengubah ciri ataupun kedudukan demografi Kota Lama di Baitulmuqaddis adalah tidak sah dan terbatal.


Ia juga meminta semua negara agar tidak menempatkan kedutaan di Baitulmuqaddis.


Semua 14 negara anggota Majlis Keselamatan selain AS mengundi menyokong draf resolusi tajaan Mesir itu tetapi Wa­shington selaku anggota tetap Majlis Keselamatan mempunyai kuasa veto untuk membatalkannya.


Mengulas perkembangan tersebut, Duta AS ke PBB, Nikki Haley berkata, ini kali pertama Washington menggunakan kuasa veto dalam Majlis Keselamatan sejak enam tahun lalu.


“Kami tidak gembira menggunakannya (veto) tetapi kami tidak teragak-agak melakukannya,” kata Haley kepada Majlis Keselamatan.


Biarpun undian 14-1 tidak memihak kepada AS, Haley berkata, penggunaan kuasa veto itu tidak memalukan Washington.


“Sebaliknya, ia memalukan anggota Majlis Keselamatan lain,” ujarnya sambil menambah, AS berhak menentukan ‘di mana’ ia akan menempatkan kedutaannya atau memilih untuk mendirikan kedutaannya di negara lain.


Anggota-anggota Majlis Ke­selamatan lain sebaliknya berpendirian bahawa Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas keseluruhan Baitulmuqaddis dan isu itu perlu diselesaikan oleh Israel dan Palestin menerusi rundingan.


Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft berkata, negaranya tidak bersetuju dengan keputusan unilateral AS untuk mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu kota Israel dan memindahkan kedutaan Washington ke Baitulmuqaddis dari Tel Aviv.


“Keputusan ini tidak membantu prospek keamanan di Asia Barat,” katanya kepada Majlis Keselamatan selepas sesi pengundian.


Senada dengan Rycroft, Duta Perancis ke PBB, Francois Delattre turut meluahkan rasa kesal dengan hasil undian itu.


Beliau berkata, Perancis dan Kesatuan Eropah percaya bahawa Baitulmuqaddis perlu menjadi ibu kota kedua negara Palestin dan Israel dan pembahagiannya perlu ditentukan melalui rundingan oleh kedua-dua pihak.


“Tiada sebarang keputusan unilateral boleh mengubahnya dan tiada alternatif kepada penyelesaian dua negara,” tegas Delattre. – Bernama


Comments :

0 comments to “Dunia tolak veto Washington”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.