Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Banjir di T'ganu tak banyak berubah, 333 mangsa di dua daerah


Keadaan banjir di Terengganu yang masuk hari ketiga tidak banyak berubah dengan 333 mangsa daripada 110 keluarga masih berada di beberapa pusat pemindahan setakat jam 8 pagi ini berbanding 343 mangsa (114 keluarga) malam tadi.


Menurut laporan portal Info Banjir, dua lagi pusat pemindahan sementara (PPS) kini dibuka di daerah Kemaman dan Dungun menjadikan jumlah keseluruhan tujuh PPS beroperasi ketika ini.


Mangsa paling ramai ialah di Dungun iaitu 256 orang (93 keluarga di tiga PPS) manakala di Kemaman terdapat 77 orang (17 keluarga di empat PPS).


Di Dungun, jumlah mangsa yang berada di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Shukor kekal tidak berubah iaitu 175 orang (61 keluarga) manakala di Dewan Orang Ramai Pasir Raja pula, jumlah mangsa kekal 77 orang (31 keluarga).


PPS yang baharu dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Minda Talong kini menempatkan empat sekeluarga.


Di Kemaman pula, Dewan Orang Ramai Teladas menempatkan 24 mangsa (empat keluarga), Surau Haji Othman di Kampung Seberang Tayor Hulu (18 orang - lima keluarga), Surau Kampung Ban Ho di Air Putih (23 orang - empat keluarga) manakala PPS yang baru dibuka iaitu di Kampung Pasir Gajah menempatkan 12 mangsa (empat keluarga).


Sementara itu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata dua sekolah ditutup hari ini kerana digenangi air iaitu SK Pasir Raja di Dungun melibatkan 63 murid dan 17 guru serta SK Pasir Gajah di Kemaman melibatkan 213 murid dan 23 guru.


Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Lt Kolonel Che Adam A Rahman berkata ketika ini hujan renyai dan sesekali lebat di hampir kebanyakan daerah di Terengganu dan ia dijangka berterusan sehingga esok.


Sumber - Bernama


Comments :

0 comments to “Banjir di T'ganu tak banyak berubah, 333 mangsa di dua daerah”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.