Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 
Showing posts with label Tips Ketika Berhari Raya. Show all posts
Showing posts with label Tips Ketika Berhari Raya. Show all posts

Menangani Obes di Hari Raya

HARI ini belum seminggu kita meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahan masih terasa. Hidangan juga masih banyak.
Ditambah dengan jemputan rumah terbuka kerana pada masa itu, sanak saudara dapat berkumpul.

Daripada ketupat, nasi impit, lemang, rendang, kari, sambal kacang, lodeh, laksa semuanya terhidang di depan mata.

Itu belum lagi, biskut dan kuih muih serta minuman bergas atau kordial yang semuanya tinggi kandungan gula dan kalori.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia kembali melancarkan amalan pemakanan 55555 sebagai panduan memudahkan orang ramai menjaga kesihatan semasa Hari Raya Aidilfitri.

KKM juga melancarkan buku kecil Makan Secara Sihat di Hari Raya yang menyenaraikan kandungan kalori bagi pelbagai jenis juadah bagi memudahkan orang ramai merancang sajian semasa musim perayaan.

Buku mengenai kandungan kalori makanan itu menyenaraikan semangkuk mi kari mengandungi 530 kalori dan wanita yang mengambilnya perlu berlari selama 72 minit atau berjalan perlahan selama 290 minit bagi membakar kalori berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk S. Subramaniam berkata, semua orang perlu mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak secara berlebihan kerana ia boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.
Kaedah pemakanan 55555 merujuk kepada lima amalan baik yang boleh mencegah masalah kesihatan di musim perayaan.

Pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam berkata, di Malaysia yang mempunyai begitu banyak perayaan penduduknya terdedah kepada risiko obesiti.

"Biasanya ketika musim perayaan, kita akan terdedah kepada makan secara berlebihan yang menyebabkan berat badan bertambah.

"Sepatutnya selepas sebulan berpuasa, berat badan akan turun mungkin beberapa kilogram dan mereka mengekalkan berat badan selepas itu," katanya.

Bagaimanapun jelas Indra, biasanya musim perayaan, sesiapa saja boleh mengalami kenaikan berat badan semasa musim perayaan.

Kurang kesedaran mengenai makanan dan kesihatan di kalangan rakyat negara ini menyebabkan kadar obesiti meningkat.

Obesiti bukan saja berkaitan dengan kenaikan berat badan tetapi juga pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan jantung.

Sumber : Utusan Melayu

Tips Persediaan Rumah Terbuka

Sungguhpun Syawal masa terbaik menikmati sajian enak tradisional turut-temurun, makan perlu berpada.

"Selain risiko sakit perut, lihat juga jenis sajian yang bakal disuapkan ke mulut. Makan secara berhemah lebih banyak nikmatnya kepada tubuh badan," itu pesan Pensyarah Jabatan Diatetik dan Nutrisi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Jelasnya, sakit perut hingga perlu berulang beberapa kali ke tandas antara senario biasa berlaku bukan saja pada hari raya, sebaliknya apabila individu makan bercampur jenis.

Punca sakit perut

Tetapi mungkin lebih ketara pada hari raya kerana perut berada dalam keadaan penyesuaian untuk berhadapan dengan corak pemakanan berbeza.

"Perut yang sebelum itu tenang' dan berehat untuk tempoh sebulan, tetapi berubah daripada kebiasaan.

Antara punca sakit perut mungkin disebabkan keracunan makanan, makan pelbagai jenis makanan dan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa.

Kuantiti kecil

"Untuk mengelakkan sakit perut, individu perlu memastikan makanan disediakan secara selamat, mengambil makanan dalam kuantiti kecil, lebih kerap selain mengurangkan makanan berasaskan santan.

"Sajian berasakan santan lebih cepat rosak, lebih-lebih lagi sekiranya tidak dikendalikan dengan baik," katanya.

Selain itu, kebersihan makanan juga amat perlu dititikberatkan. Beliau berkata, paling utama, makanlah secara berhemah.

Tanggungjawab makan secara berhemah perlu dimainkan tuan rumah dan tetamu.

Berikut sebagai panduannya:

Tuan rumah:

- Rancang

Perlu merancang apa yang ingin dimasak. Bukan saja aspek sedap perlu diambil kira, sebaliknya makanan mesti berkhasiat.

- Seimbang

Sekiranya ingin menyediakan beberapa sajian pada satu masa, pastikan ia seimbang. Sebagai contoh hidangan pertama tinggi karbohidrat (seperti lemang dan nasi minyak), seimbangkan dengan hidangan rendah lemak (seperti pecal atau sup). Sediakan juga nasi putih (sekiranya menyediakan nasi minyak) agar tetamu boleh membuat pilihan. Buah-buahan juga boleh dijadikan hidangan.

- Pilihan

Beri pilihan lebih sihat.

Sebagai contoh sediakan jus buah tanpa tambahan gula berbanding kordial. Apabila menyediakan minuman panas seperti kopi dan teh, hidangkan gula dan susu secara berasingan. Ini dapat membantu tetamu menganggarkan sendiri jumlah gula atau susu diperlukan. Sediakan juga air kosong kerana ada tetamu yang mungkin malu meminta dari tuan rumah.

- 5 M

Ambil pendekatan 5M seperti disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan gula; mengurangkan garam; mengurangkan lemak/ minyak dan melebihkan buah dan melebihkan sayur.

- Keselamatan makanan

Pastikan keselamatan makanan terjaga. Makanan yang terhidang perlu ditutup dengan rapi dan pastikan ia sentiasa panas. Makanan yang terdedah dan sudah sejuk (kurang 5 darjah selsius) melebihi empat jam adalah tidak selamat dimakan. Panaskan apabila perlu. Memasang lilin di bawah sajian antara cara baik memastikan makanan sentiasa panas.

Tetamu :

- Rancang

Ketahui berapa rumah yang ingin dituju. Kalau merancang pergi ke tiga buah rumah atau lebih, makan dalam kuantiti kecil atau jamah saja. Tetapi ada juga saranan untuk makan di rumah terlebih dulu bagi mengawal nafsu makan selain mengelakkan 'mencampur adukkan' lagi makanan selain dikhuatiri sakit perut.

- Pasang niat

Niat berkunjung untuk menziarah.

Bukannya untuk makan kerana ia mendorong individu untuk makan semata- mata.

- Manis

Kurangkan minuman manis sebaliknya pilih air kosong. Air manis memberi tenaga tetapi khasiatnya kurang. Sebagai contoh air berkarbonat mempunyai antara 7 hingga 9 sudu gula.

- Lebihkan

Minum air masak serta banyakkan mengambil serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dr Barakatun berkata, paling utama setiap orang perlu memasang niat untuk pergi menziarahi sanak saudara berbanding menikmati sajian semata-mata. Begitu juga bagi individu yang ada penyakit, pastikan bekalan ubat tidak lupa dibawa bersama.

Keperluan kalori

- Wanita

19 - 50 tahun memerlukan kira-kira 2000 kalori (kcal).

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2180 kalori.

- Lelaki

19 - 29 tahun memerlukan kira-kira 2400 kalori

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2460 kalori Makanan & kalori

- Sebiji biskut raya (7 gram) : .30 - 40 kcal

- 2 (50 g) rendang daging (lembu) : 127 kcal

- 6 potong kecil lemang : 206 kalori.

- 1 ketul ketupat daun palas : 216 kalori

- 1 mangkuk mi sup (563g) mee sup : 383 kcal

- 1 cucuk (10g) sate ayam: 23 kcal

- 1 cucuk (12g) sate lembu: 25 kcal

- 1 cucuk (15g) sate perut lembu: 33 kcal

- 1/2 cawan (86g) kuah sate: 129 kcal

- 1 gelas air kosong : 0 kcal

- 1 gelas air sirap: 1 sudu (18g)> 150 kcal

Sumber: Kementerian Kesihatan

AWAS! Mercun Dulu Mercun Sekarang

Setiap kali tiba musim perayaan terutama Aidilfitri, suasana akan riuh-rendah dengan bunyi mercun dan bunga api. Ada berpendapat, tak lengkap raya tanpa mercun. Bagi mereka yang tinggal di kampung, mungkin sudah jadi perkara biasa dengan bising letupan ini.

Bagi kanak-kanak dan remaja, bulan puasa dianggap sebagai bulan untuk tingkatkan kemahiran bermain mercun. Tak kisah untuk cuba pelbagai jenis mercun atau buat mercun sendiri, akan ada saja idea kreatif mereka untuk bangkitkan suasana raya. Namun kini mercun menjadi bahan terlarang kerana terdapat beberapa kes membabitkan mercun terutama pada musim perayaan.


Makin hampir menjelang Aidilfitri, makin meriah kanak-kanak bermain mercun dan bunga api terutama di desa. Ia sekali gus menggamit memori penulis mengenai pengalaman bermain mercun semasa kecil.

Mengimbas kembali zaman dulu, tidak banyak kes yang dilapor membabitkan mercun mungkin kerana ada pengawasan ibu bapa. Bagi yang sudah biasa bermain mercun, dia akan setia menunggu Ramadan saban tahun untuk bermain bersama rakan dan ‘berperang’ dengan jiran kampung sebelah. Ada juga yang baru berjinak-jinak dengan mercun, jadi caranya dengan mengikut abang, sepupu yang lebih tua dan juga kawan.

Bermain mercun memang jadi kesalahan namun terdapat beberapa jenis mercun yang diberi pelepasan seperti mercun bawang. Sebenarnya, suasana hari raya akan sunyi dan menjadi kurang menarik jika tidak kedengaran bunyi mercun atau terang benderang bunga api di langit. Itu hakikatnya.

Bagi kanak-kanak, pantang saja lepas waktu berbuka, mereka akan berlari keluar rumah terus keluarkan koleksi mercun yang ada untuk lawan dengan jiran sebelah. Tak hirau pasal Tarawih asalkan dapat bakar mercun, itu yang diutamakan mereka.

Suasana kampung macam berlaku pepera­ngan, bunyi mercun sana sini. Itu suasana perlu dihadapi sepanjang Ramadan khasnya di kampung halaman.


Budak dulu budak sekarang

Mercun buluh antara mercun yang popular di kampung. Ia juga menjadi antara bahan eksperimen kerana ia adalah hasil buatan sendiri. Belerang, buluh dan sumbu antara bahan untuk menghasilkannya. Itu antara rutin budak kampung zaman dulu.

Bagi mereka yang membesar di bandar, mercun dan bunga api dibeli untuk dibawa pulang bermain di kampung halaman. Namun oleh kerana mercun mendatangkan banyak kesan buruk, ia diharamkan di banyak negara termasuk Malaysia.

Bahkan, Akta Bahan Letupan 1957 (Pindaan 1991) memasukkan mercun sebagai bahan letupan kecil yang diharamkan. Meriam buluh turut dikategorikan sebagai mercun buatan sendiri dan diharamkan penggunaannya. Bagaimanapun, ia masih dicipta secara sembunyi-sembunyi.

Jauh bezanya budak dulu dengan budak zaman sekarang. Budak zaman sekarang sangat berani hinggakan walaupun umur baru setahun jagung sudah berani buat dan pasang mercun sendiri. Tak macam zaman dulu, kalau nak main perlu ada pemantauan daripada orang dewasa.

Ibu bapa dulu kurang risau kalau anak main mercun sebab mercun dulu jauh berbeza dengan sekarang. Kalau pun sama, namun akan ada orang dewasa yang pantau seperti abang atau bapa saudara.


Tetap degil

Sering kali kita dengar kes membabitkan mercun hingga menyebabkan kecederaan parah hingga ada antaranya membawa kepada kecacatan kekal seperti putus jari, mata buta atau melecur muka atau bahagian badan tertentu. Kebanyakan mangsa letupan mercun dilaporkan terdiri daripada kanak-kanak dan remaja.

Kadang-kadang ada segelintir ibu bapa merasakan tidak mengapa kerana pada tanggapan mereka sesetengah mercun dirasakan tidak berbahaya, namun itulah punca meningkatnya kes saban tahun.

Sama seperti dulu, walaupun ibu penat menjerit melarang namun kita akan tetap berdegil. Kepuasan bermain bunga api dan pelbagai jenis mercun tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Apatah lagi apabila keesokannya bunyi mercun kita dikatakan paling kuat, teruja makin berganda.


Jaga-jaga

Kini, aktiviti main mercun dipantau ketat oleh pihak berkaitan. Tak salah nak bermain bunga api ataupun mercun yang dibenarkan tetapi jauhi yang dilarang. Banyak mercun yang dijual adalah diseludup individu tidak bertanggungjawab yang hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

Oleh itu, mercun yang dibawa masuk secara haram tidak mempunyai ciri-ciri keselamatan. Kita yang akan menanggung padah sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

Jualan mercun yang tidak diluluskan menjadi semakin galak apabila menjelang hari raya. Pelbagai bentuk mercun seperti mercun roket, mercun robot dan mercun bola dijual secara berleluasa terutama di pasar malam.

Justeru, jangan lupakan soal keselamatan. Kita tak boleh memaksa seseorang untuk tidak bermain mercun kerana jika itu yang diinginkan, dia tetap akan cari jalan dan berusaha untuk dapatkannya walaupun dengan cara haram.

Tapi harus diingat, mungkin kegembiraan ketika saat menjelang hari raya menyebabkan semakin ramai yang lupa bahaya mercun.

Nasihat penulis, jika ingin bermain juga mercun sekadar menyemarakkan kegembiraan, belilah bunga api yang diluluskan pihak berkuasa. Paling baik ialah tinggalkan tabiat bermain mercun.

Sumber : hmetro.com.my

Tips Beraya : Perlu ke duit raya

Apabila dapat duit raya sehingga beratus-ratus ringgit, anak muda mula memasang ‘angan-angan’ untuk membeli barang kesukaan. Namun ada juga yang menabung dan menggunakannya ketika diperlukan.

Kalau dilihat dari perspektif positif, pemberian duit raya mampu memberikan senyuman kepada anak-anak kecil atau yatim umpamanya, keluarga berpendapatan rendah atau miskin dan beberapa golongan lain.

Sebenarnya jika kita lihat dari skop Malaysia saja, budaya memberi duit raya memang sudah lama diamalkan sejak dulu lagi walaupun ia bukanlah sesuatu yang wajib ataupun satu kemestian. Namun mungkin tidak bagi segelintir anak-anak kecil yang menunggu duit raya ketika berhari raya.

Senario biasa yang berlaku setiap kali datangnya raya terutamanya di kampung atau kawasan perumahan luar bandar, anak kecil akan lekas berkumpul dengan teman-teman seawal pagi untuk mengumpul duit raya dengan ‘pusing’ satu kampung.

Tuan rumah yang memberikan duit raya ­paling banyak akan mendapat kunjungan lebih ramai. Individu pertama yang pergi ke rumah itu akan memberitahu kawan-kawan lain. Malah lebih kelakarnya, ada anak kecil yang singgah ­lebih daripada sekali semata-mata ingin ­penuhkan poketnya.

Tuan rumah yang beri duit raya sedikit akan mendapat gelaran seperti kedekut atau Haji Bakhil. Itulah keadaannya beraya di kampung dan kanak-kanak adalah penyeri yang memeriahkan lagi sambutan hari raya.

Namun apabila sudah masuk ke alam remaja, dalam lingkungan usia 13 tahun ke atas, jarang mereka diberikan duit raya tetapi tak dinafikan masih ada yang menerimanya. Cuma jumlahnya sudah berbeza.

Kalau boleh, nak ulang semula kehidupan beraya seperti dulu, tidak perlu memberi duit raya tapi menerimanya. Namun tangan yang memberi lebih baik daripada tangan yang menerima.

Kaum Cina memberi gelaran duit raya sebagai ‘angpau’. Mengikut tradisi mereka, wanita atau lelaki yang belum mendirikan rumah tangga wajib menerima ‘angpau’ daripada mereka yang sudah berkahwin tak kira peringkat usia.

Pemberian duit raya tidak menjadi menjadi satu tradisi wajib apabila tibanya Aidilfitri, namun tak salah jika pemberian itu dianggap sebagai satu sedekah atau hadiah kepada anak-anak.

Ada antara ibu bapa menggunakan alasan ‘duit raya’ untuk memujuk anak-anak berpuasa. Ini bukannya dianggap sebagai rasuah tetapi untuk mendidik anak agar mentaati suruhan ­agama.


7 Kelebihan menabung

1. Manfaat untuk jangka panjang

Ramai yang rasa menyesal apabila tak ada duit simpanan untuk masa depan. Duit simpanan ini boleh dimulakan dengan duit syiling 10 sen yang kita simpan di dalam tabung setiap hari. Tidak salah duit raya juga dijadikan sebagai duit tabungan, malah memberikan lebih banyak manfaat untuk masa depan. Ketika masih muda ini mungkin kebaikan menyimpan duit itu belum terlihat, namun apabila anda sudah tua, duit simpanan itu akan digunakan selepas tak larat lagi untuk keluar bekerja.


2. Meningkatkan pendapatan
Dengan menabung dapat meningkatkan lagi pendapatan bulanan anda. Boleh mula dengan cara menyimpan duit raya di dalam bank atau badan kewangan yang lain dan anda akan dapat manfaat yang banyak daripada simpanan itu.


3. Berjimat cermat
Berjimat bukanlah sehingga anda berada pada tahap kedekut sehingga menyebabkan perbelanjaan harian ada masalah tetapi berjimat dengan cara tidak berbelanja membeli barang yang tidak memberikan kepentingan kepada diri. Orang kata, berbelanja dengan berhemah.


4. Berlaku kecemasan
Sebagai manusia biasa, kita tak tahu apa dan bila sesuatu itu akan berlaku. Jadi tak salah untuk kita siapkan diri dari segi kewangan yang kukuh. Mungkin ada kawan-kawan yang tak sudi untuk beri pinjam wang mereka. Menabung dari sekarang agar tidak menyesal pada kemudian hari.


5. Modal berniaga
Duit tabungan atau simpanan itu boleh digunakan untuk pelaburan dan modal untuk memulakan perniagaan terutama buat mereka yang tak suka kerja makan gaji. Jadi duit tabungan itu boleh dijadikan sebagai modal untuk memulakan perniagaan.


6. Pendidikan
Ibu bapa mana yang tak mahu anak-anak menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi dan berjaya dalam kehidupan mereka. Jadi dengan simpanan pendidikan ini mampu memberikan 1,001 manfaat buat ibu bapa dan anak-anak. Tak perlu lagi ayah anda ‘garu kepala’ selepas anak mendapat tawaran belajar di universiti.


7. Melancong
Duit simpanan itu juga anda boleh gunakan untuk melancong ke destinasi tertentu yang sudah lama diimpikan. Malah anda boleh membeli-belah di tempat melancong dengan lebih mudah tanpa perlu ada rasa bimbang tidak cukup wang.

Sumber : hmetro.com.my

Tips Balik Kampung Sempena Hari Raya Aidil Fitri

Dalam keghairahan orang ramai untuk pulang ke kampung, beberapa tindakan atau langkah pencegahan haruslah diambil untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Kali ni aku nak kongsi panduan / tips sebelum pulang berhari raya di kampung halaman masing-masing sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Maklumkan kepada jiran/polis
Pastikan sebelum korang nak balik kampung tu berpesan-pesanlah dekat jiran untuk tengok-tengokkan rumah kita. Sebab tu lah pentingnya semangat berjiran ni kan. Kalau jiran pun pakat-pakat balik kampung jugak, bolehlah maklumkan dekat balai polis yang berhampiran berapa hari korang takda dekat rumah. Dapatlah polis buat rondaan kalau ada yang maklumkan dekat dorangkan.

Pastikan semua pintu dan tingkap dikunci
Sebelum korang berangkat untuk pulang, sila pastikan sekali lagi bahawa semua pintu dan tingkap telah dikunci terlebih dahulu sebelum meninggalkan rumah. Pastikan korang menggunakan kunci yang baik dan tidak uzur. Cara ini merupakan langkah yang terpenting  sekali dan berkesan untuk mengelakkan rumah dipecah masuk.

Serahkan kunci pendua kepada orang yang anda percaya
Perkara yang selalu dipandang remeh oleh kebanyakan orang adalah dengan meletakkan kunci di bawah alas kaki ataupun di dalam pasu bungan. Sebenarnya cara sebegini memudahkan lagi tugas pencuri untuk masuk ke rumah korang. Jadi, jangan sesekali meninggalkan kunci rumah di bawah alas kaki, di dalam pasu bunga dan sebagainya.

Hentikan langganan akhbar/majalah
Ini bagi mengelakkan pencuri dapat mengesan ketiadaan korang dekat rumah. Kalau dah surat khabar takda orang ambil dekat luar tu, mestilah pencuri akan tahu rumah berpenghuni atau tidakkan. Disamping tu juga dapatlah berjimat sebab tak payah langgan dalam tempoh kita bercuti tu.

Matikan semua suis dan gas
Bagi menjaga keselamatan harta benda korang, silahlah periksa peralatan dekat rumah tu bagi mengelakkan berlakunya kebakaran. Kepala gas tu boleh la ditanggalkan supaya tidak berlaku sebarang kebocoran pada gas tersebut.

Elakkan memasang lampu luar
Sebelum keluar rumah, elakkan daripada memasang lampu luar. Ini kerana lampu luar yang menyala di siang hari menandakan penghuni tiada di rumah.

Berdoa untuk kesejahteraan bersama
Sebagai umat islam wajiblah kita berdoa kepada-Nya supaya mudah dipermudahkan segala urusan kita. Jadi, sebelum keluar rumah tu, berdoalah untuk memperoleh keberkatan.

Sumber : hazminhamudin.com

Tip Pemanduan Jarak Jauh Untuk Balik Kampung

Beberapa tip persiapan sebelum dan semasa dalam perjalanan pulang ke kampung halaman.

Sebelum perjalanan
  1. Pastikan anda merancang dahulu perjalanan anda seperti bilakah tarikh dan pukul berapa anda akan bertolak. Hal ini penting bagi mengelakkan anda tidak tergesa-gesa serta dapat menghindari dari terlibat dalam kesesakan jalanraya.
  2. Bawalah kereta ke pusat servis yang bertauliah dan servislah kereta ada. Periksa komponen enjin seperti enjin, bateri, tali kipas, air radiator, lampu depan, isyarat, lampu brek, lampu kecemasan, tekanan angin tayar serta tayar simpanan, brek tangan serta pengilap cermin.
  3. Pastikan anda rehat dan tidur dengan secukupnya. Elakkan memandu selepas anda pulang dari tempat kerja. Jika anda keletihan, hal ini boleh mengganggu konsentrasi anda ketika memandu.
  4. Elakkan minum minuman keras atau mengambil ubat yang boleh member kesan mengantuk seperti ubat batuk atau selesema kerana ia boleh mengganggu tumpuan anda.
  5. Elakkan daripada perasaan marah sebelum memulakan perjalanan. Kemarahan boleh membuatkan anda stres, hilang pertimbangan dan tidak menghiraukan peraturan lalu lintas. Hal ini boleh membahayakan nyawa anda serta orang lain.
  6. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda mengisi tangki minyak dengan sepenuhnya bagi mengelakkan kenderaan kehabisan petrol di tengah-tengah jalan raya.
Semasa perjalanan
  1. Pastikan anda dan setiap penumpang memakai tali pinggang keledar kerana ia boleh menyelamatkan nyawa. Jika anda membawa bayi kecil, jangan mendukung bayi sama ada di bahagian tempat duduk hadapan mahupun belakang. Pastikan tempat duduk keselamatan khas digunakan.
  2. Jika anda berasa mengantuk atau keletihan, ambillah masa untuk berhenti di kawasan rehat yang disediakan. Pastikan anda membuang air semasa berhenti dan berjalan bagi meregangkan otot anda.
  3. Jangan meninggalkan barang-barang berharga di dalam kereta semasa anda berada di kawasan rehat. Pastikan pintu kereta dikunci bagi mengelakkan sebarang kecurian.
  4. Jika memandu ketika hujan lebat, perlahankan kelajuan kenderaan dan pasang lampu hadapan. Elakkan daripada memandu laju kerana keadaan jalan raya yang licin boleh mengakibatkan kecelakaan.
  5. Jarakkan kenderaan anda serta elakkan dari mengekori kereta hadapan terlalu rapat. Hal ini dapat mengelakkan dari kemalangan berlaku.
  6. Amalkan pemanduan berhemah. Gunakan cermin pandang belakang dan sisi untuk memastikan keadaan selamat. Beri isyarat sebelum menukar lorong atau memoton. Jangan menghalang kenderaan lain, kerana ia boleh menyebabkan pengguna lain hilang sabar.
Jika korang melaksanakan ke semua tip di atas, insyaAllah risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan dan anda akan sampai ke destinasi yang dituju dengan selamat.

Sumber : hazminhamudin.com

Tips Pemeriksaan Kereta untuk Balik Beraya

Musim perayaan tiba lagi. Confirm korang sumer balik kampong nak beraya kan termasuklah kawan megat c ketam yang bakal pulang ke Melaka. Kampong Megat dekat jer. So, kepada kawan-kawan yang nak berjalan jauh tu kenalah jaga dan servis kereta sebelum balik raya. Bukan apa, cuma nak mengurangkan risiko kereta rosak ditengah-tengah jalan. So kepada kawan-kawan yang nak berjalan jauh, disini Megat nak kongsi petua servis kereta untuk balik kampong yang perlu anda semua buat untuk pastikan kereta anda berada dalam keadaan selamat dan MANTAP.


TAYAR – Peranan utama semasa pemanduan. Make sure tayar kereta tu masih boleh dipakai dan tidak botak. Tayar botak ni merbahaya dan boleh mengakibatkan tayar pecah akibat pemanduan yang terlalu lama.

ENJIN – Sebaiknya kalau dah lebih 3 bulan, servis la kereta dengan menukar minyak hitam dan oil filter. Biar enjin kereta berganti dengan minyak enjin baru untuk perjalanan yang jauh.

BREK – Pastikan pad brek masih lagi tebal dan boleh digunakan.

RADIATOR – Semasa perjalanan jauh, kereta akan menjadi panas dan perlukan angin dan ‘coolant’ untuk menyejukkan bahagian radiator dan enjin. Ramai yang Cuma mengisi air sahaja ke dalam tangki radiator. Cuba korangkan penuhkan tangki radiator dengan ‘coolant’ sepenuhnya. Korg akan perasan aircond akan smooth, enjin juga akan smooth dan penggunaan minyak akan lebih jimat.

‘BALANCING’ DAN ‘ALLIGNMENT’ – Tayar mestilah dalam keadaan yang betul. Kedudukan pusingan tayar yang betul, tidak bengkok, sama seimbang dan selari dengan steering kereta akan menolong korang memandu secara selamat dan ‘comfort’. Rims tayar yang bengkok akan membuatkan pemanduan tidak selesa dab bergegar.

AIR WIPER – Perlu di isi dengan penuh, mana la tau kebetulan korang ikut jalan yang berdebu dan kotor. Kalau nak jimat, isi tangki wiper anda dengan air sabun atau air shampoo. Ia akan menjadikan cermin kereta korang lagi senang di’wipe’ dan cepat bersih.

‘SPARE’ TAYAR – Pastikan tayar ‘spare’ ada angin dan boleh digunakan. Pada yang pakai lock nut, jangan lupa bawak sekali.

AIRCOND – Servis jika perlu. Sebaiknya boleh check dikedai. Kalau kereta baru mungkin tak jadi masalah tapi kalau kereta yang dah lebih 3 tahun, baik tukar penapis filter aircond atau paling teruk, tambah gas aircond.

LAMPU – Lampu headlight signal dan lampu break kenalah berfungsi. Jangan tiba-tiba terbakar pulok. Susah nanti.
Selain itu, benda-benda sampingan seperti jump cable untuk bateri yang lemah, lampu untuk emergency dan payung sediakanlah dalam kereta. Mana la tau kot-kot nak guna nanti.
Last sekali, pemandu kenalah cukup rehat. Takyah nak bawak laju-laju. Jalanraya kat Malaysia ni pun bukanya bagus sangat. Dijalanraya hormatlah orang lain.
Sumber : encikketam.blogspot.com

Tips untuk kenderaan sebelum pulang berhari raya


Satu perkara pada kereta yang sering dipandang remeh tetapi sebenarnya ia memegang satu amanah terpenting dalam aspek keselamatan ketika memandu. Selalunya, orang akan fokus kepada enjin, bateri, radiator ... dsb. Tidak kurang juga yang mementingkan cat yang berkilat seperti 'basah' dan bau wangi dalam kereta. Tapi kita lupa nak fokuskan kepada TAYAR.

Ramai yang tak fokus kepada TAYAR sedangkan itulah satu-satunya komponen kenderaan yang memastikan kereta kita masih berada di atas jalan raya!

Kita sering memandu laju-laju tetapi tahukah kita bahawa bahagian kereta kita yang menyentuh jalan raya adalah kecil? Kalau dilihat dari sisi memanglah tayar itu besar dan lebar dan ada empat (4) pula. Cuba lihat betul-betul, permukaan tayar yang menyentuh jalan hanyalah sebesar TAPAK TANGAN setiap satu.

Ianya seperti kita merangkak dengan dua kaki dan dua tangan, dan kita merangkak pada kelajuan 100km/j atau lebih. Jangan ambil sambil lewa tentang tayar.

1. Tayar terpaksa menampung berat kereta dan segala bebannya. Dan jumlah berat itu ditampung oleh permukaan tayar seluas empat tapak tangan sahaja.

  • Kereta jenis sedan biasanya mempunyai berat melebihi 1 tan (tanpa muatan). Kalau kereta itu sendat dengan penumpang yang puratanya 60kg setiap seorang, berat kereta sedan itu akan bertambah lagi sebanyak 240kg atau lebih. Kereta yang lebih mewah dan kukuh mempunyai berat yang lebih tinggi.
  • Kereta jenis kompak seperti kancil dan viva mempunyai berat kira-kira 800kg dan lebih. Kalau ditambah dengan penumpang dan segala beban yang dibawa, jumlah beratnya akan melebihi 1 tan juga.
2. Tayar mempunyai tempoh hayat tertentu dan tempoh 'shelf life' tertentu juga.
  • Biasanya, tempoh hayat 'shelf life' adalah 3 tahun dari tarik ia dikilangkan.
  • Jika sedang digunakan, tempoh hayatnya adalah bergantung kepada kadar kehausan (wear) tayar. Secara teori, kadar kehausan tayar adalah berkadar langsung dengan jarak pemanduan. Secara purata, tayar akan haus dalam tempoh 35,000km - 40,000km, jadi sila lihat meter anda. Namun begitu, ianya bergantung kepada jenis / jenama tayar. Tayar yang lembut agak sedap dipandu kerana lebih senyap dan lebih mencengkam tetapi cepat haus.
  • Tayar yang 'keras' akan haus lebih lambat dan kadang-kadang melebihi 40,000km. Tapi kalau sudah melebihi tempoh hayatnya (lebih kurang 3 tahun) tayar mesti ditukar juga.
  • Jarak 40,000km itu secara puratanya dicapai dalam tempoh 2 tahun. Jadi, 6 bulan sebelum mencecah jarak itu, eloklah mula menabung. Harga sebiji tayar lebih kurang RM160 - RM200, itu tak termasuk upah 'alignment' dan 'balancing'.
  • Getah tayar akan menjadi 'tua' apabila terdedah dengan panas dan cuaca. Getah yang telah tua akan mengeras. Selain menjadi keras, sempadan butir (grain boundary) akan menjadi nyata atau dengan kata lain, permukaan tayar akan merekah kerana rantaian polimer getah itu sudah mulai putus-putus. Jika tidak ditukar, dikhuatiri tayar akan meletup akibat tekanan.
3. Alur (groove) atau 'bunga' pada tayar berfungsi untuk 'menyalirkan' air pada permukaan jalan. Jika air tidak dialirkan dengan cepat dan sempurna, tayar tidak dapat mencengkam jalan dan fenomena ini digelar 'aqua planning/panning'.
  • Berat kereta akan menekan tayar kepada permukaan jalan yang basah. Bunga tayar bertindak seperti 'pam air' yang akan memancutkan air ke dalam alur bunga tayar itu dan juga keluar dari tayar.
  • Jika bunga tayar sudah nipis, proses 'mengepam air' menjadi tidak cekap dan tidak efektif. Ini akan menyebabkan kereta tidak mampu bertindak seperti yang kita inginkan. Maksudnya, kalau kita nak brek, kereta tak mahu berhenti. Kalau kita membelok, kereta akan meluncur terus dan terlajak atau terbabas.
  • Pada tayar jenama tertentu, ada tanda yang diletakkan. Biasanya pada alur itu akan terdapat satu 'jambatan' atau 'bridge' getah yang biasanya kita anggap itu adalah 'menufacturing defect' atau lebihan getah ketika acuan. Sebenarnya, jika permukaan tayar sudah sama rata dengan 'bridge' itu bermakna bunga tayar sudah nipis. Ada juga tanda tiga segi atau 'diamond' atau 'arrow' di tepi tayar. Jika ada kesan lelas pada 'diamond' ini bermakna bunga tayar sudah nipis.
4. Fungsi tayar dibantu oleh sistem suspensi (sistem spring) dan penyerap hentak (absorber). Jika dua sistem ini gagal, tayar akan gagal berfungsi secara optimum.
  • Sistem suspensi bertujuan untuk menjadikan pemanduan itu selesa. Jika tidak, kita terasa seperti memandu kereta lembu. Namun, spring akan menjadikan kereta membuai-buai jika jalan tidak rata atau jalan berlopak. Penyerap hentak pula akan bertindak pada arah berlawanan daripada arah hayunan spring tadi, menjadikan kereta tidak berbuai-buai.
  • Kereta yang membuai-buai adalah bahaya, lebih-lebih lagi jika mengambil selekoh dan menjadi lebih bahaya jika kereta membawa ramai orang.
  • Sebenarnya cengkaman tayar berfungsi dengan berat kereta yakni daya geseran (atau cengkaman) berkadaran dengan koefisien geseran dan berat kereta. Jikalau kita mengambil selekoh dan pada ketika itu kereta melambung ke atas dek kereta berbuai, berat kereta pada ketika itu berada di udara dan cengkaman tayar akan menjadi lemah dan kereta boleh terbabas.
  • Sila tukar penyerap hentak jika didapati kereta anda 'berbuai-buai'.
5. Periksa tekanan angin tayar, ia mungkin boleh mengurangkan lelasan (wear) pada tayar.... selain menjimatkan minyak petrol.
  • Tayar yang kurang tekanan angin akan menggunakan permukaan bunga yang lebih. Ini akan menjadikan tayar itu lelas pada kadar yang bukan sepatutnya. Ini merugikan kita kerana harga tayar bukanlah murah.
  • Cengkaman tayar yang berlebihan akan menjadi 'beban' kepada kuasa enjin. Kuasa enjin diperlukan pula untuk melawan (overcome) beban atau 'drag' ini, menjadikan kita terpaksa menekan lebih pendikit minyak.
  • Tapi jika tekanan angin terlalu tinggi, pemanduan akan menjadi tidak ceria kerana nanti terlanggar seketul batu kelikir pun kereta terasa terhentak. Hentakkan dan gegaran ini akan menyebabkan 'letih lesu' atau fatigue. Kesan lesu ini bukan sahaja masuk melalui gegaran badan (yang menyebabkan bola mata bergerak-gerak lebih cepat untuk terus fokus), bunyi bising juga akan memasuki gegendang telinga dan menyebabkan kita lesu. Pemandu yang lesu adalah pemandu yang berbahaya.
6. Pilih jenis tayar yang bersesuaian dengan kereta anda. Dengan lebih tepat, pilih tayar yang sesuai dengan berat kereta dan sistem brek.
  • Ketika mengambil selekoh atau membrek, momentum kereta (yakni berat dan kelajuan kereta) akan bertindak terus kepada dinding tayar.
  • Bayangkan begini, kereta ingin terus bergerak akibat momentum atau lajakkan tetapi tayar pula mencengkam erat permukaan jalan. Dinding tayar akan menerima 'stress' yang tinggi pada ketika ini. Jika tayar yang tidak sesuai digunakan, dinding tayar akan pecah akibat daya ini.
  • Sila ikut saranan pihak pengeluar kereta tentang saiz tayar anda kerana saiz tayar tersebut telah pun diuji di litar ujian. Percayalah, ada tayar yang pecah ketika mengambil selekoh di litar ujian sebelum ketemu dengan saiz dan rekabentuk tayar yang sesuai. 
  • Sebagai panduan mudah, kalau hendak tukar saiz tayar sekalipun, sila jangan terlalu jauh daripada saiz asal yang dipasangkan oleh pihak pengeluar kereta. Atau untuk lebih selamat, kalau masih mahu menukar tayar kepada yang lebih 'fancy', sila beli yang berjenama dan ianya pasti bukan murah.
Sumber :  akuyangakut.blogspot.com

Tips Ketika Berhari Raya

Ketika bulan Ramadhan, kadar metabolisma seseorang adalah rendah berbanding hari-hari biasa, dan situasi ini berterusan sehinggalah tanggal 1 Syawal. Sekiranya makan secara tidak terkawal ketika Hari Raya, pasti akan menyebabkan kegemukan kerana kadar metabolisma yang rendah itu.

 1 Syawal merupakan ‘hadiah’ berharga buat seluruh umat Islam setelah mengharungi puasa selama sebulan, dan sewajarnya ia bukanlah hari yang sesuai untuk mengamalkan diet atau ‘kurang makan’. It’s a self reward day. Berkunjung ke rumah sanak saudara dan sahabat handai adalah suatu kemestian, manakala merasai kesemua juadah yang dihidangkan pula menunjukkan rasa hormat dan penghargaan kepada tuan rumah yang telah bersusah-payah menyediakan makanan buat tetamunya.

Kita tidak dapat menolak hakikat yang ia bukanlah hari yang sesuai untuk diet, namun ramai juga yang risau kerana takut makan secara berlebihan lalu mengakibatkan kegemukkan. Oleh yang demikian, berikut senarai 5 tips berguna untuk mengatasi dilema ini ketika Aidilfitri.

1Air putih itu kosong kalori
Ketika berkunjung ke rumah famili/rakan-rakan/jiran tetangga di hari raya, satu benda yang pasti kita semua perasan ialah, makanannya yang pelbagai, bergantung kepada negeri asal kelahiran si tuan rumah. Namun satu benda yang kalau anda semua perasan ialah, air yang dihidangkan mungkin tak jauh bezanya dengan air yang ada (dan dihidangkan) di rumah kita, atau ketika hari bukan raya. Kalau tak sirap, air kordial, kalau tak kordial, air Sunquick, kalau tak Sunquick, Rebina, kalau tak Rebina, air gas/soda botol. There is no uniqueness and special among the drinks!
Melainkan kalau si tuan rumah tu menghidangkan anda dengan minuman ‘exotic‘ seperti manggo lassi, banana cream shake, atau air jus buah-buahan sebenar, itu barulah unik dan lain daripada yang lain, dan tak salah jika nak merasa. Ingat, SS bukan mengajar kalian untuk ‘berlagak kaya’ dalam memilih air minuman, tetapi ini adalah fakta. Kesimpulannya, usah membazirkan kuota kalori yang ada dengan air-air ‘manis biasa’ yang boleh kita rasa di luar hari raya. Pilihlah air putih, sky juice, air kosong, atau apa saja yang korang panggil (Tengok, siapa cakap SS ajar ‘berlagak kaya’ dalam memilih air minuman? Air kosong je tu).
Kuota kalori yang berjaya diselamatkan untuk satu rumah = 65kcal
Katakan anda berkunjung dalam 10 buah rumah hari itu, maka kuota kalori yang berjaya diselamatkan ialah = 650kcal!

2Berjalan kaki
Oh, rumah yang hendak dikunjungi tu terletak dalam taman kediaman yang sama, atau dalam kampung yang sama. Namun perlukah untuk kita menunggang motosikal atau menaiki kereta untuk ke rumah tu? Jawapannya, tak perlu. Rasionalnya? Anda akan menggunakan lebih kalori dengan berjalan kaki ke lokasi berkenaan. Disamping itu, anda juga mempunyai lebih peluang untuk beramah mesra dan bertukar-tukar duit raya dengan orang yang diselisih ketika berjalan.
Kuota kalori yang berjaya ditambah untuk satu rumah = 14kcal (5 minit berjalan)
Katakan anda berkunjung dalam 10 buah rumah hari itu, maka kuota kalori yang berjaya ditambah ialah = 140kcal!

3Sibukkan diri melayan tetamu
Perlukah kita berkunjung sakan kerumah famili/rakan-rakan/jiran tetangga untuk beraya sepanjang hari? Jawapannya tentulah tidak bukan? Anda juga perlu melayan tetamu yang hadir untuk beraya di rumah, dari menyediakan minuman, membasuh dulang-dulang dan pinggan-pinggan kotor, mengelap meja; semua itu menggunakan kalori. Lebih ramai tetamu yang hadir, maka lebih sibuklah anda pada hari itu, maka lebih banyak anda menggunakan kalori! Ya, tetamu itu adalah nikmat…
Kuota kalori yang berjaya ditambah untuk sekumpulan tetamu = 28kcal (15 minit satu sesi)
Katakan 10 kumpulan tetamu telah berkunjung ke rumah anda, maka kuota kalori yang berjaya ditambah ialah = 280kcal!

4Hindari perut kosong
Jangan sesekali meninggalkan perut anda dalam keadaan kosong sebelum pergi beraya kerana ini akan menggalakkan anda makan secara berlebihan. SS cadangkan agar minum segelas susu rendah lemak atau segelas minuman coklat panas sebelum meninggalkan rumah. Kenapa mesti susu atau minuman coklat? Jawapannya mudah. Segelas susu atau minuman coklat panas sebelum menikmati juadah makan berpotensi untuk mengurangkan selera makan anda.
5 - Niat hanya untuk merasa
Tidak bererti anda perlu melantak kesemua hidangan yang tersedia sehingga kenyang. Andaikan diri anda sebagai ‘pengkritik makanan’ yang cuma perlu menentukan sama ada makanan tersebut sedap atau tidak. Satu cucuk sate sudah memadai, seketul kuih juga sudah memadai. Ingat, ‘merasa makanan’ itu perkara yang mulia, namun ‘makan kesemuanya’ adalah sesuatu yang cela!

Sumber : Sususejat.com

Popular Minggu Ini

Kategori

Kongsikan

Powered by Blogger.