KUALA LUMPUR: Seorang penumpang wanita mendakwa syarikat
penerbangan Amerika Syarikat United Airlines mengamalkan sikap
'Islamophobic' selepas dia berkata berhadapan diskriminasi oleh salah
seorang pramugari penerbangan tersebut.
Tahera Ahmad, 31, yang juga merupakan seorang Pengarah sebuah pertubuhan
hubungan antara agama di Universiti Northwestern dilaporkan dalam
perjalanan ke Washington dari Chicago untuk satu persidangan
menggalakkan dialog di kalangan belia Israel dan Palestin.
Pengalaman buruk Tahera yang memakai hijab ketika kejadian itu telah dikongsi melalui akaun Facebooknya.
Semuanya bermula apabila Tahera meminta satu tin minuman Diet Coke yang
masih belum dibuka kepada pramugari yang bertugas pada hari itu, tetapi
petugas terbabit enggan memberikannya atas alasan bertentangan dengan
peraturan keselamatan penerbangan United Airlines.
Menurut Tahera, pramugari itu mengatakan bahawa mereka tidak dibenarkan
untuk memberi tin yang belum dibuka kepada pelanggan demi keselamatan
dimana dibimbangi ia berkemungkinan digunakan sebagai senjata ketika
penerbangan.
Tahera yang pada mulanya dapat menerima alasan itu, kemudiaannya
melahirkan rasa terkejut apabila pramugari yang sama memberi satu tin
arak yang belum dibuka kepada penumpang lain di hadapan wanita tersebut.
Malah, apabila pramugari itu ditanya mengenai layanan berbeza tersebut,
pramugari itu dengan pantas mengambil balik tin arak itu lalu membuka
tin terbabit dan memberikannya kepada penumpang terbabit.
Kecewa dengan layanan yang dianggap tidak adil itu, Tahera mula
bertanyakan kepada penumpang lain sekiranya mereka melihat apa yang baru
berlaku yang dipercayai satu tindakan diskriminasi agama.
Bagaimanapun, salah seorang penumpang lelaki kemudiannya menjawab “anda
seorang Islam perlu menutup mulut. Anda tahu anda akan menggunakannya
sebagai senjata,"' tambah lelaki itu dengan bahasa kesat.
Tahera yang menyangka penumpang lain akan mempertahankannya mula menangis selepas terasa dihina dengan menggunakan isu agama.
Wanita tersebut kemudian berkongsi kejadian itu di akaun Facebooknya dan
kini status itu menjadi viral sehingga mengundang pelbagai reaksi
daripada pengamal media sosial.
Dalam perkembangan yang sama, pengguna media sosial melahirkan sokongan
mereka dengan hashtag #unitedfortahera di Twitter dan juga menyeru
syarikat penerbangan tersebut untuk meminta maaf bagi mengelak
penerbangan itu diboikot oleh pelanggannya.
Sementara itu, menurut jurucakap United Airlines, Charles Hobart,
syarikat penerbangan itu tidak pernah mendiskriminasi golongan pekerja
mahupun pelanggan mereka.
”Kami sedang menghubungi Tahera untuk mendapatkan penjelasan menyelesaikan isu tersebut,” kata Charles dipetik dari laporan CNN.
Sumber