Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 
Showing posts with label Panduan telefon bimbit. Show all posts
Showing posts with label Panduan telefon bimbit. Show all posts

6 jenis pengguna smartphone di Malaysia

Jumlah pengguna telefon pintar di Malaysia dijangka mence­cah 11 juta pada tahun ini dengan kadar pertumbuhan tahunan 10 peratus dari 2013 hingga 2017.

Ia didedahkan platform data pintar terkemuka bagi pemasaran dan perniagaan mudah alih, Vserv dalam Laporan Persona Pengguna Telefon Pintar Malaysia 2015.

Kenaikan pasaran telefon pintar Malaysia ini paling didorong pengguna daripada golongan umur 30 tahun ke bawah iaitu sebanyak 64 peratus daripada jumlah pengguna telefon pintar di negara ini.

Berdasarkan kajian yang dikendalikan oleh Nielsen Informate Mobile Insights, laporan menetapkan segmen pengguna telefon pintar Malaysia berdasarkan perbandingan persona yang berbeza serta mendalami corak penggunaan aplikasi termasuk tempoh penggunaan, jenis aplikasi, kadar penggunaan data dan demografik.

“Ahli pemasaran kini perlu mengutamakan penyebaran mesej yang lebih relevan dan memperkaya pengalaman pengguna.

“Mereka memerlukan strategi yang tertumpu pada persona dan visi pengguna,” jelas Naib Presiden, Global Marketing, Vserv, Pranab Punj.

Maklumat laporan terbabit membolehkan ahli pemasaran untuk mengetahui, memahami dan menentukan sasaran audien yang lebih tepat menerusi perancangan strategi mudah alih yang mantap.

Dalam laporan terbabit juga, ia mendedahkan pengguna telefon pintar meluangkan masa purata selama 187 minit sehari mengguna peranti masing-masing

Terdapat enam jenis pengguna telefon pintar yang dikategorikan dalam laporan terbabit:

1. ‘Data Guzzlers’ - Ditentukan oleh penggunaan data tertinggi yang bertumpu pada aplikasi pelayaran dan permainan

2. ‘Dabblers’ - Tahap pembabitan telefon pintar yang terendah (171 minit sehari) dan jarang mengakses aplikasi dan laman Internet

3. ‘App Junkies’ - Pemasangan jumlah aplikasi dan permainan yang tertinggi pada kadar 11 jenis aplikasi dalam tempoh sebulan

4. ‘Power Users’ - Menghabiskan selama 219 minit sehari untuk telefon pintar yang turut membabitkan kadar masa yang lama dan kebanyakannya pengguna perempuan dengan purata pembabitan tertinggi untuk pelbagai jenis aplikasi

5. ‘Utilitarians’ - Pengguna yang mengutamakan aplikasi utiliti seperti panggilan suara, berita dan e-mel (tempoh penggunaan telefon pintar selama 177 minit sehari)

6. ‘Social Stars’ - Meluangkan separuh daripada masa berbual atas rangkaian dan aplikasi sembang (hampir satu jam setengah sehari)

“Matlamat laporan ini ialah untuk memperkaya pemasaran dengan kefahaman yang mantap mengenai pengguna telefon pintar Malaysia serta perkembangan corak penggunaan dan perilaku mereka.

“Ia seterusnya menyumbang ke arah perancangan strategi komunikasi yang berkesan dengan peningkatan pengguna Internet mudah alih di Malaysia, kami yakin laporan ini boleh membantu ahli pemasaran untuk sentiasa berada selangkah di hadapan,” kata Pengarah Teknologi untuk Nielsen Malaysia, Monjur Elahi.

Kajian terbabit berdasarkan pengumpulan data penggunaan automatik yang diperoleh daripada lebih 1,244 pengguna telefon pintar di Malaysia sepanjang tempoh kajian selama tiga bulan.

Ia dikendalikan menerusi teknologi permeteran telefon pintar inovatif yang dipasang pada telefon pintar subjek yang mengambil bahagian dalam kajian ini.

Penembusan telefon pintar yang tinggi bukanlah asing bagi kebanyakan remaja atau kategori ‘power users’ memandangkan merekalah golongan pencetus kepada trend digital terutama bagi keba­nyakan inovasi dalam gajet masing-masing.

Namun persoalan penting yang perlu dijawab adalah sama ada golongan ini benar-benar memanfaatkan teknologi telefon pintar itu sendiri atau sekadar platform berhibur dan bersosial.

Kalau dulu telefon hanya digunakan untuk berkomunikasi, kini dengan nama telefon pintar ia perlu menjadikan si penggunanya sama bijak dengan gajet terbabit.

Telefon pintar bukan lagi tempat untuk bergayut berjam-jam atau balas membalas mesej semata-mata. Ia bukanlah juga tempat untuk mengemas kini status Facebook yang bukan-bukan atau mendedahkan terlalu banyak foto peribadi di Instagram.

Ia juga bukan tempat untuk menjatuhkan air muka orang lain atau menyerang peribadi tanpa berani mendedahkan identiti sendiri, sekadar menyorok di sebalik telefon empat segi menaip laju.

Telefon pintar dengan tambahan teknologi Internet sepatutnya menjadi medan ilmu atau pencetus idea kreatif yang boleh memanfaatkan kehidupan sedia ada.

Pengguna telefon pintar yang bijak hanya akan menjadikannya gajet berupaya menyelesaikan masalah kehidupan dan bukannya menambah beban terutama memeningkan kepala melihat ayat negatif di ruang komen Facebook atau Instagram.

Dari aspek psikologi, sudah pasti anda berasa murung dan merasai aura negatif jika setiap hari terlalu intim dengan laman sosial sehingga memeningkan otak yang sepatutnya beroperasi untuk hal lebih mustahak.

Tempoh masa yang diluangkan di telefon pintar bukan sedikit. Berjam-jam lamanya menunjukkan ia teman paling rapat dengan anda.

Entah-entah mungkin lebih rapat dengan gajet berbanding ibu bapa sendiri.

Ia mewujudkan ruang digital yang membimbangkan apabila telefon pintar itu sendiri menjadi teman mengadu nasib berbanding tikar sejadah bagi umat Islam.

Ada yang mengatakan tidak boleh hidup tanpa telefon pintar atau anda sudah pasti mendengar kata moden, ‘kalau tertinggal dompet di rumah tidak mengapa jangan tertinggal telefon’.

Sejauh mana kebenarannya, ia terpulang kepada niat dan hati masing-masing.

Sumber 

Droid Maxx : Bateri tahan 48 jam

Baru-baru ini, syarikat yang sudah lama tidak meniti nama dalam industri mudah alih, Motorola Mobility mengeluarkan telefon terbaru mereka selepas syarikat terbabit diambil alih, Google.

Bukan satu, Motorola menghasilkan tiga model sekali gus iaitu Droid Maxx, Droid Ultra dan Droid Mini yang turut mempamerkan kekuatan syarikat terbabit melalui ketahanan bateri luar biasanya.

Droid Maxx direka berdasarkan rekaan unibodi lengkap bersama saiz skrin 5.0 inci yang ditetapkan pada skrin jenis AMOLED Gorilla Glass beresolusi 720 x 1280 piksel.

Pada tahap kenipisan sehingga 8.5mm, Maxx mempunyai ketahanan bateri hebat iaitu 3500mAh yang mampu bertahan 48 jam meskipun anda berada dalam mod aktif.

Peranti sama akan beroperasi 24 peratus lebih laju apabila ia menggunakan sistem X8 lapan teras termasuk pemprosesan grafik Quad Core, Dual-App, perkomputeran kontekstual dan pemprosesan biasa.

Memori yang disediakan termasuk 64GB dengan kelajuan 1.7GHz Dual Core dan RAM sebanyak 2GB, kamera 10 megapiksel 1080p HD dan kamera depan 2.0 megapiksel.

Sementara itu, model Droid Ultra didatangkan dengan tahap kenipisan 7.18mm, sekali gus menjadikannya Droid ternipis yang pernah dikeluarkan.

Ultra lengkap skrin 5.0 inci AMOLED 720p dan memiliki bateri berkuasa 2130mAh yang mampu bertahan selama 28 jam.

Model terbabit menggunakan kapasiti memori 16GB selain pemprosesan 1.7GHz Dual Core dan RAM sebanyak 2GB.

Droid Mini yang hadir bersama saiz 4.3 inci yang mempunyai skrin 720p selain bateri 2000mAh dan masih mampu bertahan selama 28 jam meskipun cas tambahan.

Masih sama seperti Droid Ultra (kecuali memori), Mini mempunyai kadar memori 16GB, pemprosesan 1.7GHz Dual Core dan RAM sebanyak 2GB.


SPESIFIKASI

Motorola Droid Maxx

Harga: anggaran RM900
OS: Android 4.2.2
Skrin: 5.0 inci HD AMOLED, 1280 x 720p. 294ppi
Pemprosesan: 1.7GHz Snapdragon S4 Dual Core, X8
RAM: 2GB
Setoran: 32GB
Kamera: 10MP
Bateri: 3500mAh
Rangkaian: LTE, CDMA, GSM
Port: microUSB, 3.5mm
Dimensi: 137.5 x 71.2 x 8.5mm
Berat: 167g


Motorola Droid Mini
Harga: anggaran RM300
OS: Android 4.2.2
Skrin: 4.3 inci HD LCD, 1280 x 720p. 342ppi
Pemprosesan: 1.7GHz Snapdragon S4 Dual Core, X8
RAM: 2GB
Setoran: 16GB
Kamera: 10MP
Bateri: 2000mAh
Rangkaian: LTE, CDMA, GSM
Port: microUSB, 3.5mm
Dimensi: 121.3 x 61.3 x 8.9mm
Berat: 130g


Motorola Droid Ultra
Harga: anggaran RM600
OS: Android 4.2.2
Skrin: 5.0 inci HD AMOLED, 1280 x 720p. 294ppi
Pemprosesan: 1.7GHz Snapdragon S4 Dual Core, X8
RAM: 2GB
Setoran: 32GB
Kamera: 10MP
Bateri: 2130mAh
Rangkaian: LTE, CDMA, GSM
Port: microUSB, 3.5mm
Dimensi: 137.5 x 71.2 x 7.18mm
Berat: 137g

Sumber :hmetro.com.my

Ulama cipta aplikasi telefon pintar Islam

Bantu amal budaya Islam dalam kehidupan

RIYADH: Satu telefon pintar bercirikan Islam, “Peace Mobile” yang dilancarkan pada minggu terakhir Ramadan lalu, adalah satu aplikasi media berguna yang menggabungkan al-Quran dengan sains moden.

Telefon pintar itu dicipta Dr Zakir Naik, seorang penceramah umum Islam dan perbandingan agama terkenal di peringkat antarabangsa.
Permintaan untuk telefon bimbit Islam meningkat di kalangan masyarakat Islam di Arab Saudi. Ribuan penduduk sudah membuat pesanan aplikasi itu secara online, sementara beratus-ratus yang lain bercakap mengenainya di pelbagai landasan media.



Satu inisiatif teknologi penemuan itu oleh Naik, pengasas dan presiden IRF (Yayasan Penyelidikan Islam), telefon itu akan membantu pelaksanaan budaya Islam dalam kehidupan sehari-hari.

Peace Mobile disesuaikan sepenuhnya dengan aplikasi Islam yang sahih dan perisian serta membantu masyarakat Islam yang mengamalkannya terus berhubung dengan dunia Islam.

Naik berada di sini baru-baru ini bercakap dalam satu forum Ramadan dianjurkan Pusat Budaya Islam India (IICC).
Ulama berkenaan sentiasa menegaskan keperluan untuk kedua-dua pendidikan agama dan moden, menganggap kedua-duanya sebagai penting.

IRF adalah sebuah organisasi tanpa keuntungan yang memiliki saluran Peace TV, sebuah rangkaian televisyen satelit Islam yang baru-baru ini melebihi tontonan rekod global sebanyak 200 juta.

Okasha Mujahid, pengurus perniagaan antarabangsa di Darussalam, sebuah rumah penerbitan Islam berpusat di sini, mengalu-alukan telefon pintar itu dan berkata:

“Darussalam bersungguh-sungguh bekerja untuk menyebarkan kata-kata Islam menerusi penerbitannya. Peace Mobile boleh membantu lanjutan untuk ini.” - Agensi

Sumber : bharian.com.my

Manusia Kini Tidak Bercakap

Semalam, umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal selepas menamatkan sebulan dugaan berpuasa dan menambah amal ibadat yang diharap berterusan walaupun Ramadan meninggalkan kita.

Di sebalik musim perayaan ini, secara tidak langsung pengguna akan merasakannya mungkin berlainan dengan kehadiran teknologi yang mengubah senario ketika berhari raya.

Berikut disenaraikan trend teknologi musim perayaan yang bakal kita rasai pada Syawal 1434 Hijrah kali ini. Ada yang positif namun mungkin ada yang perlu difikirkan bagi memberi makna raya sebenar.

1. Ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kini digital. Lambakan aplikasi mesej di laman mesej atau sosial seperti Facebook menjadi pilihan pengguna di samping ‘sticker’.
Boleh dikatakan, pengguna zaman moden mempunyai dua jenis kad raya berbentuk digital iaitu yang dihantar melalui laman sosial dan juga masih dihantar melalui telefon bimbit.

SMS membolehkan pengguna telefon bimbit menghantar ucapan raya berupa teks dengan mesej bergambar manakala aplikasi laman sosial membolehkan pengguna menghantar gambar atau kad raya digital kepada penerima.

Penggunaan e-kad ini sangat mudah kerana penghantar hanya perlu mengetahui alamat URL laman web yang menawarkan perkhidmatan terbabit sebelum dihubungkan terus ke facebook anda.

Selepas mengunjungi laman web itu, anda hanya perlu klik pada kad pilihan hati, menulis sepatah dua perkataan, pilih lagu raya pilihan (berbentuk fail MP3) untuk iringan kad, memasukkan alamat e-mel penerima dan terus hantar.

Butang klik yang ditekan akan membolehkan ucapan raya anda terpampang di ‘Status’ atau ‘Wall’ Facebook anda atau terdapat pembekal perkhidmatan e-kad ini menghantar terus sekeping kad kepada e-mel penerima dan terdapat juga mereka hanya menghantar alamat URL dan meminta penerima mengunjungi laman web mereka untuk melihat kad raya yang diterima.

Tawaran sticker atau pelekat raya dalam laman mesej seperti Line dan aplikasi ‘emoticon’ sembang dalam Facebook pastinya memeriahkan suasana.

Tetapi, lebih baik kalau kita sendiri yang bersemuka dengan keluarga atau rakan ketika menziarah untuk bermaafan.

Jangan jadikan teknologi mengakibatkan pengguna laman sosial jarang bergaul dengan orang di sekeliling kerana terlalu asyik menghabiskan masa di depan telefon pintar.


2. Penggunaan meluas kamera jenis DSLR

Tidak dinafikan, fotografi menyemarakkan suasana hari raya dengan rakaman indah bersama keluarga.

Bayangkan selesai saja sembahyang raya, kita akan berkumpul di depan kamera untuk merakam foto beramai-ramai.

Mengambil gambar pada hari raya pertama bukan sekadar hobi untuk diisi, malah aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubu­ngan keluarga yang me­nyimpan pelbagai kenangan akibat lama tidak bertemu.

Penggunaan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) semakin popular dalam kalangan pengguna kerana dilengkapi teknologi canggih yang menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa.

Fungsi semi atau DSLR penuh menawarkan rakaman yang menggalakkan dan berupaya membangkitkan suasana ketika perayaan dengan teknologi terbina di dalamnya memungkinkan warna-warni Aidilfitri dibangkitkan.

Kini, peminat kamera DSLR boleh memilikinya dengan harga serendah RM2,500, malah boleh pula membeli produk terpakai lantaran ramai penggunanya yang menjual selepas menukar kepada kamera lebih canggih.

Antara ciri menarik dalam DSLR termasuk puluhan lensa yang boleh ditukar, sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye).

Di samping itu, peng­gunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif. Katakan pengguna meng­gunakan lensa yang mempunyai bukaan 1.4, kesan kabur pada latar belakang pasti lebih menarik.

Menggunakan kamera DSLR juga membolehkan lebih banyak sudut rakaman lebih kreatif diperoleh kerana ia senang dikendalikan dengan pel­bagai fungsi lain.

Di Malaysia, keba­nyakan kamera semi dan DSLR penuh mudah didapati dengan harga yang kompetitif sesuai digunakan ketika musim perayaan.


3. Anda sudah merakam ratusan malah ribuan foto raya, ada juga rakaman video, persoalannya, apakah langkah seterusnya?

Banyak betul foto dirakam ketika musim perayaan tetapi hanya yang benar-benar mantap saja akan dipindah naik ke Facebook, jadi mana perginya foto berlebihan? Hendak dibuang pastinya sayang.

Jadi, setoran menggunakan cakera keras mudah alih menjadi pilihan yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini.

Terdapat produk yang dilengkapkan dengan sistem simpanan peribadi yang menggabungkan perkongsian simpanan dan akses dari jauh de­ngan tahap keselamatan sekali ganda serta pening­katan kapasiti.

Produk terbabit serasi dengan peranti Mac dan PC yang sentiasa mengekalkan salinan kedua semua fail anda untuk ‘backup’ data masa sebenar pada ruang RAID1.

Kebanyakannya disambung kepada seluruh rangkaian rumah untuk mewujudkan simpanan yang dikongsi pengguna yang kandungannya boleh diakses dari mana saja melalui sistem selamat.


4. GPS, guna telefon atau mesin GPS sebenar?

Masalah sesat untuk tiba ke sesuatu destinasi kerana tidak berapa mahir dengan jalan adalah pembaziran masa dan ini sering menjadi masalah ramai pengguna jalan raya terutama ketika mengunjungi rumah saudara jauh.

Maklumlah, setahun sekali saja berjumpa, ada juga yang baru berjumpa selepas 10 tahun, pasti banyak perubahan dan cubaan ke rumah mereka.

Kini masalah itu bukan saja dapat ditangani dengan berpandukan peta secara manual, malah secara elek­tronik sama ada menerusi telefon pintar atau alat penentu arah global (GPS).

Betul! pemandu yang mencari pembantu mencari arah elektronik mempu­nyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.

Namun, mungkinkah ada perbezaan antara GPS dengan telefon yang dileng­kapi peta digital?

Peralatan GPS asas boleh dijumpai di pasaran pada harga kurang daripada RM300 dan ia masih menjadi peranti pilihan yang pintar jika anda tidak keberatan membawa lebih gajet ketika berada dalam kenderaan selain telefon, tablet, laptop dan sebagainya.

Pembantu ketika anda berada di atas jalan itu bersedia untuk digunakan selepas ia dikeluarkan daripada kotak lengkap dengan ‘mount’ atau pemegang untuk melekat­kannya di cermin depan kereta dan pengecas.

Selain itu, ia mudah untuk digunakan dan boleh dikongsi bersama keluarga atau rakan lain. Telefon pintar pula menjadi pilihan navigasi yang semakin popular terutama dalam kalangan model yang akan datang dengan alat bantuan siap dibangunkan bersama seperti perisian bagi mengenal pasti keadaan trafik atau aplikasi khusus.

Bagaimanapun, telefon pintar memerlukan pembelian aplikasi navigasi yang boleh dipindah turun atau langganan perkhidmatan.

Beberapa aplikasi langganan navigasi juga siap terpampang di setor aplikasi telefon masing-masing tidak kisah apa jua platform digunakan termasuk garmin, Navigon, TomTom, dan Magellan.

Aplikasi ini kelihatan dan berfungsi seperti unit GPS sendiri pada antaramuka telefon pintar.

Air kencing pengecas telefon bimbit

SEORANG saintis dari, Universiti West England, Britain, berjaya menghasilkan pengecas bateri telefon bimbit menggunakan air kencing sebagai sumber kuasa elektrik atau sel bahan api mikrob (MFC).

Dr Ioannis Ieropoulos, juga pakar implementasi sumber pelik berkata, cecair pengecas air kencing itu adalah yang pertama kali digunakan di dunia.

"Setakat ini, bahan api yang dijana menerusi air kencing mampu menghidupkan telefon bimbit secara normal," katanya kepada MailOnline.

Bagaimanapun, beliau berkata kuasa MFC dari cecair kumbahan itu hanya menghidupkan telefon bimbit pada tempoh agak singkat.

Apa Itu ‘Telefon Bimbit’ Ori Set, AP Set & Underwater Set?

Terdapat tiga jenis henfon, bukan tiga jenama henfon, tapi tiga jenis bentuk edaran henfon iaitu:
  • Original Authorised Set
  • AP Set (Diimport secara sah)
  • Underwater Set (Henfon seludup)
Original Authorised Set (ORI)

 
Apa yang dimaksudkan dengan ORI sebenarnya ialah telefon-telefon yang diedarkan oleh PENGEDAR YANG SAH yang dilantik dan diberi lesen pengedaran yang khas oleh pengeluar-pengeluar telefon seperti Nokia, Samsung, Motorola, SonyEricsson, Siemen dan lain-lain lagi.

Telefon ini telah disediakan khas untuk jualan di Malaysia dengan beberapa sistem yang diselaraskan dengan sistem yang disokong oleh industri telekomunikasi Malaysia. Contohnya sistem bahasa Malaysia dalam telefon bimbit dan dalam buku panduannya.
--> Walaupun harganya mungkin agak mahal, tetapi anda akan rasa lebih selamat menggunakannya kerana jaminan yang diberikan adalah jaminan oleh PENGILANG sendiri. Ertinya, sekiranya berlaku kerosakan telefon anda, termasuk kerosakan kamera, anda boleh claim warranty dalam tempoh jaminan tersebut. Bahkan dalam sesetengah kes, pada luar tempoh jaminan pun dapat juga.

Cari sahaja cawangan NOKIA, atau SAMSUNG atau apa jua jenama di negeri-negeri seluruh Malaysia, anda boleh bawa ke mana-mana cawangan jika ada kerosakan. Bahkan bagi sesetengah telefon ada Insurans untuk kerosakan apabila telefon masuk air pun!

Berikut adalah senarai pengedar SAH (authorized distributor) bagi jenama telefon di Malaysia:
  • NOKIA – Zitron, Avaxx dan I-mobile/Samart.
  • SAMSUNG – FMG (Sole Distributor)
  • Motorola – FMG, Brightstar dan I-Mobile/SAMART
  • SonyEricsson -Midland, Thorus dan T-Choice.
Itulah antara Syarikat yang merupakan pengedar yang sah di Malaysia. Selain daripada itu adalah pengedar tidak sah walaupun mereka dakwa ORI set. Selain daripada jaminan yang boleh menenangkan jiwa, anda juga boleh menyertai Club2 dalam internet yang disediakan oleh Samsung / Sony Ericson atau lain-lain dengan memasukkan no siri telefon yang original anda.

AP SET?
Apa pula AP set? AP set ialah telefon yang diimport dengan kebenaran kastam, yakni telah dicukaikan oleh kastam dengan mendapat Approval Permit. AP set ertinya telefon ini diimport oleh Syarikat yang selain daripada pengedar yang sah (authorised distributor) seperti yang telah disebutkan tadi.
Ada di antara syarikat-syarikat yang import ini adalah syarikat yang besar. Jadi mereka boleh memberi jaminan yang agak elok juga, kerana syarikat jenis ini banyak cawangan di seluruh malaysia. Jaminan yang diberikan bukanlah jaminan daripada NOKIA atau SAMSUNG atau SE atau dengan kata lain, bukan jaminan pengilang, tetapi jaminan oleh pengimport itu sendiri.
Oleh itu, jaminannya sangat terhad. Terutama apabila telefon mempunyai masalah sehingga Charger dengan beteri kadang kala barang tiruan yang digunakan, bukan yang original daripada kilang telefon itu sendiri.
Underwater Set Pula?
Underwater set ialah henfon yang dimasukkan ke Malaysia secara haram, tanpa membayar cukai. harganya jauh lebih murah, tetapi jaminan yang diberikan oleh penjual sahaja. Ertinya kalau rosak, anda tak boleh pergi ke tempat lain kecuali kedai itu. Charger dan beteri biasanya adalah yang tiruan saja.
Antara AP dan Underwater ini kadang-kadang saling bercampur baur. Ada yang didakwa AP tetapi sebenarnya diimport secara haram. Bahkan kalau anda periksa di telefon anda ada logo VODAPHONE, ataupun TIM, memang sahlah telefon itu adalah underwater, atau pun sekurang-kurangnya AP.
Jadi, bila membeli yang AP atau yang ORI, anda janganlah mengharapkan warranty yang bagus. Apatah lagi kalau masuk air.
BAGAIMANA NAK CAM???
Bagaimana nak tahu yang diedarkan secara sah atau telefon jenis Authorised ini. Untuk nak tau sama ada telefon itu jenis edaran oleh pengedar sah ini;
Paling utama:
anda kena lihat pada sticker belakang henfon, kalau tertulis selain dariapada syarikat2 yang sah yg disebutkan di atas, maka ia adalah AP atau Underwater. Stiker yang ORI biasanya tidak akan ditampal melindungi nombor siri telefon.
Kedua:
anda boleh tengok kad warranty, kad warranty daripada pengedar sah, akan tertera nama syarikat pengedar yang sah tersebut.
Ketiga:
No Siri telefon: IMEI di belakang battery henfon itu sama dengan nombor siri di kotak. Jika anda membeli yang ORI, pastikan anda dapat kotak yang ada Nombor Siri yang sama dengan henfon. Sekalipun di telefon anda tertulis ZITRON, jangan terima kotak yang nombor sirinya berbeza dengan di telefon anda.
Itulah sedikit sebanyak panduan yang mungkin sudah biasa bagi sesetengah orang tapi mungkin satu pengetahuan bagi sesetengah orang. Dengan penjelasan ini, diharap anda tidak tertipu lagi dengan istilah ORI yg selalu digunakan oleh penjual-penjual di kedai telefon bimbit. Sekurang-kurangnya kalau anda nak beli yang AP pun, anda tahu yang itu memang AP dan anda dah tahu yang mana yang ORI dan yang mana yang AP.
Sekarang ini, terpulanglah untuk anda memilih yang mana sesuai bagi anda. Nak murah, pilih AP, ada duit lebih ambik yang ORI lagi selamat.
Credit: Ahmad Sufyan Che Abdullah

Popular Minggu Ini

Kategori

Kongsikan

Powered by Blogger.