Semalam, umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal selepas menamatkan sebulan dugaan berpuasa dan menambah amal ibadat yang diharap berterusan walaupun Ramadan meninggalkan kita.
1. Ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kini digital. Lambakan aplikasi mesej di laman mesej atau sosial seperti Facebook menjadi pilihan pengguna di samping ‘sticker’.
Boleh dikatakan, pengguna zaman moden mempunyai dua jenis kad raya berbentuk digital iaitu yang dihantar melalui laman sosial dan juga masih dihantar melalui telefon bimbit.
SMS membolehkan pengguna telefon bimbit menghantar ucapan raya berupa teks dengan mesej bergambar manakala aplikasi laman sosial membolehkan pengguna menghantar gambar atau kad raya digital kepada penerima.
Penggunaan e-kad ini sangat mudah kerana penghantar hanya perlu mengetahui alamat URL laman web yang menawarkan perkhidmatan terbabit sebelum dihubungkan terus ke facebook anda.
Selepas mengunjungi laman web itu, anda hanya perlu klik pada kad pilihan hati, menulis sepatah dua perkataan, pilih lagu raya pilihan (berbentuk fail MP3) untuk iringan kad, memasukkan alamat e-mel penerima dan terus hantar.
Butang klik yang ditekan akan membolehkan ucapan raya anda terpampang di ‘Status’ atau ‘Wall’ Facebook anda atau terdapat pembekal perkhidmatan e-kad ini menghantar terus sekeping kad kepada e-mel penerima dan terdapat juga mereka hanya menghantar alamat URL dan meminta penerima mengunjungi laman web mereka untuk melihat kad raya yang diterima.
Tawaran sticker atau pelekat raya dalam laman mesej seperti Line dan aplikasi ‘emoticon’ sembang dalam Facebook pastinya memeriahkan suasana.
Tetapi, lebih baik kalau kita sendiri yang bersemuka dengan keluarga atau rakan ketika menziarah untuk bermaafan.
Jangan jadikan teknologi mengakibatkan pengguna laman sosial jarang bergaul dengan orang di sekeliling kerana terlalu asyik menghabiskan masa di depan telefon pintar.
2. Penggunaan meluas kamera jenis DSLR
Tidak dinafikan, fotografi menyemarakkan suasana hari raya dengan rakaman indah bersama keluarga.
Bayangkan selesai saja sembahyang raya, kita akan berkumpul di depan kamera untuk merakam foto beramai-ramai.
Mengambil gambar pada hari raya pertama bukan sekadar hobi untuk diisi, malah aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubungan keluarga yang menyimpan pelbagai kenangan akibat lama tidak bertemu.
Penggunaan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) semakin popular dalam kalangan pengguna kerana dilengkapi teknologi canggih yang menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa.
Fungsi semi atau DSLR penuh menawarkan rakaman yang menggalakkan dan berupaya membangkitkan suasana ketika perayaan dengan teknologi terbina di dalamnya memungkinkan warna-warni Aidilfitri dibangkitkan.
Kini, peminat kamera DSLR boleh memilikinya dengan harga serendah RM2,500, malah boleh pula membeli produk terpakai lantaran ramai penggunanya yang menjual selepas menukar kepada kamera lebih canggih.
Antara ciri menarik dalam DSLR termasuk puluhan lensa yang boleh ditukar, sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye).
Di samping itu, penggunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif. Katakan pengguna menggunakan lensa yang mempunyai bukaan 1.4, kesan kabur pada latar belakang pasti lebih menarik.
Menggunakan kamera DSLR juga membolehkan lebih banyak sudut rakaman lebih kreatif diperoleh kerana ia senang dikendalikan dengan pelbagai fungsi lain.
Di Malaysia, kebanyakan kamera semi dan DSLR penuh mudah didapati dengan harga yang kompetitif sesuai digunakan ketika musim perayaan.
3. Anda sudah merakam ratusan malah ribuan foto raya, ada juga rakaman video, persoalannya, apakah langkah seterusnya?
Banyak betul foto dirakam ketika musim perayaan tetapi hanya yang benar-benar mantap saja akan dipindah naik ke Facebook, jadi mana perginya foto berlebihan? Hendak dibuang pastinya sayang.
Jadi, setoran menggunakan cakera keras mudah alih menjadi pilihan yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini.
Terdapat produk yang dilengkapkan dengan sistem simpanan peribadi yang menggabungkan perkongsian simpanan dan akses dari jauh dengan tahap keselamatan sekali ganda serta peningkatan kapasiti.
Produk terbabit serasi dengan peranti Mac dan PC yang sentiasa mengekalkan salinan kedua semua fail anda untuk ‘backup’ data masa sebenar pada ruang RAID1.
Kebanyakannya disambung kepada seluruh rangkaian rumah untuk mewujudkan simpanan yang dikongsi pengguna yang kandungannya boleh diakses dari mana saja melalui sistem selamat.
4. GPS, guna telefon atau mesin GPS sebenar?
Masalah sesat untuk tiba ke sesuatu destinasi kerana tidak berapa mahir dengan jalan adalah pembaziran masa dan ini sering menjadi masalah ramai pengguna jalan raya terutama ketika mengunjungi rumah saudara jauh.
Maklumlah, setahun sekali saja berjumpa, ada juga yang baru berjumpa selepas 10 tahun, pasti banyak perubahan dan cubaan ke rumah mereka.
Kini masalah itu bukan saja dapat ditangani dengan berpandukan peta secara manual, malah secara elektronik sama ada menerusi telefon pintar atau alat penentu arah global (GPS).
Betul! pemandu yang mencari pembantu mencari arah elektronik mempunyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.
Namun, mungkinkah ada perbezaan antara GPS dengan telefon yang dilengkapi peta digital?
Peralatan GPS asas boleh dijumpai di pasaran pada harga kurang daripada RM300 dan ia masih menjadi peranti pilihan yang pintar jika anda tidak keberatan membawa lebih gajet ketika berada dalam kenderaan selain telefon, tablet, laptop dan sebagainya.
Pembantu ketika anda berada di atas jalan itu bersedia untuk digunakan selepas ia dikeluarkan daripada kotak lengkap dengan ‘mount’ atau pemegang untuk melekatkannya di cermin depan kereta dan pengecas.
Selain itu, ia mudah untuk digunakan dan boleh dikongsi bersama keluarga atau rakan lain. Telefon pintar pula menjadi pilihan navigasi yang semakin popular terutama dalam kalangan model yang akan datang dengan alat bantuan siap dibangunkan bersama seperti perisian bagi mengenal pasti keadaan trafik atau aplikasi khusus.
Bagaimanapun, telefon pintar memerlukan pembelian aplikasi navigasi yang boleh dipindah turun atau langganan perkhidmatan.
Beberapa aplikasi langganan navigasi juga siap terpampang di setor aplikasi telefon masing-masing tidak kisah apa jua platform digunakan termasuk garmin, Navigon, TomTom, dan Magellan.
Aplikasi ini kelihatan dan berfungsi seperti unit GPS sendiri pada antaramuka telefon pintar.
Comments :
0 comments to “Manusia Kini Tidak Bercakap”
Post a Comment