Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Tentera akui bunuh 36 ahli Ikhwanul Muslimin

Kerajaan Mesir dakwa tahanan dibedil ketika cuba lari

KAHERAH: Kerajaan Mesir semalam mengaku tenteranya membunuh 36 anggota Ikhwanul Muslimin dalam tahanan kelmarin, ketika pemimpin tentera dan pergerakan itu masing-masing berikrar untuk terus berjuang demi masa depan negara itu.
Kematian itu adalah pembunuhan beramai-ramai keempat ke atas penduduk awam sejak tentera merampas kuasa pada 3 Julai lalu tetapi buat kali pertama sejumlah besar tahanan ramai yang mati serentak.


Ketika mengesahkan pembunuhan tahanan itu kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mewajarkan tindakan itu dengan berkata ia dilakukan ketika penyokong Morsi itu cuba melarikan diri.

Namun Ikhwanul Muslimin menyifatkan kematian mereka sebagai pembunuhan beramai-ramai dan berkata, mangsa, yang dikatakan berjumlah 52 orang, ditembak dan dibedil dengan gas pemedih mata menerusi tingkap van penjara yang berkunci.

Petunjuk terkini

“Pembunuhan itu adalah petunjuk terkini masa depan Mesir masih terumbang ambing, dengan kedua-dua pihak tidak bersedia berundur, rakyat negara itu berpecah, dan tiada penyelesaian politik yang jelas,” kata penganalisis.
Walaupun pasukan keselamatan tidak bertindak ganas kelmarin, dengan tiada laporan pembunuhan di jalan raya, pemimpin tentera negara itu, Mejar Jeneral Abdel-Fatah el-Sissi, berucap di televisyen dengan nada tidak bertolak ansur, melabelkan Ikhwanul Muslimin sebagai pengganas tetapi berjanji mengembalikan demokrasi di negara itu.

Berita mengenai pembunuhan itu tersebar pada hari pertempuran jalanan dihentikan selepas lebih 900 terkorban sejak Rabu lalu, kebanyakannya anggota Ikhwanul Muslimin dan penyokong yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan.

Kelmarin, Ikhwanul Muslimin mengambil langkah mengelakkan kontroversi, termasuk membatalkan beberapa bantahan terhadap penyingkiran Presiden Mohamed Morsi.
Kerajaan mempertimbangkan untuk mengharamkan Ikhwanul Muslimin, yang mungkin memaksa pergerakan itu bergerak secara sulit.

Kerajaan asing juga berselisih pendapat mengenai pertumpahan darah yang semakin memuncak. Pegawai Amerika Syarikat berkata pihaknya mengambil langkah awal menggantung bantuan kewangan kepada kerajaan Mesir, walaupun bukan menerusi bantuan penting kepada tentera manakala Kesatuan Eropah (EU), kelmarin mengumumkan ia akan menilai semula hubungannya dengan negara itu, berkata kerajaan sementara memikul tanggungjawab menamatkan keganasan. - AGENSI

hmetro.com.my

Comments :

0 comments to “Tentera akui bunuh 36 ahli Ikhwanul Muslimin”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.