Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Adat naik buai rai si comel

Adat naik buai suatu ketika dulu pernah menjadi amalan lazim pasangan Melayu yang baru mendapat cahaya mata, namun ia semakin dilupakan generasi muda kini. 

Kebiasaannya adat ini yang juga dipanggil ‘berendoi’ dilakukan selepas upacara mencukur rambut bayi iaitu pada hari ketujuh selepas bayi dilahirkan atau hari terakhir berpantang ibu iaitu hari ke-44 selepas bersalin.

Ia bagi meraikan kelahiran anak di dalam sesebuah keluarga selain memaklumkan kepada masyarakat

Majlis naik buai
Adat naik buai lazim­nya dilakukan masyarakat Melayu yang mengamalkan adat perpatih, namun amalannya masa kini ba­nyak perbezaan berbanding zaman dulu.

Di Melaka, antara kawasan yang masih mengamalkan adat itu ialah Taboh Naning, Melaka Pindah dan Lubok Cina.

Seorang pengamal adat itu, Maharam Tambi, 71, dari Ramuan China Besar berkata, dulu naik buai dilakukan pada hari ke-44 selepas ibu bersalin.

Dia yang lebih dikenali ‘wan (nenek) Meram’ berkata sebatang kayu api yang belum dibakar dimasukkan dalam buaian menggunakan tali daripada pokok enau dan diayun nenek atau individu paling tua dalam keluarga.

“Kayu itu bagi menghalau semangat jahat, konon­nya akan menyerap sema­ngat jahat itu.

“Kayu itu kemudian dikeluarkan sebelum bayi diletakkan dalam buaian,” katanya.

Alatan logam seperti parang yang diletak di bawah buaian ketika majlis itu dipercayai untuk menghalau syaitan.

“Bayi akan dibuai nenek sehingga tidur sebelum diserahkan kepada ibunya,” katanya.

Namun, katanya majlis naik buai pada masa sekarang banyak berubah de­ngan meninggalkan amalan khurafat seperti menghalau semangat jahat serta dibuat secara besar-besaran.

Suami isteri yang mengadakan majlis naik buai, biasanya menyediakan buaian bayi menggunakan kain sarung dan dihias bunga-bungaan.

Majlis itu, katanya, kini dimulai dengan bacaan doa selamat dan marhaban membabitkan golongan wanita.

Bayi kemudian dimasuk ke buaian oleh datuk atau nenek dan buaian diayun perlahan-lahan sambil bermarhaban.

Wan Meram berkata sebelum majlis berakhir, tetamu dihidangkan pulut kuning atau bubur kacang dan bunga telur dihadiah kepada tetamu.


Bercanggah agama?

Adat naik buai yang diamalkan ma­syarakat Melayu tidak terdapat dalam ajaran Islam, mungkin menjadi antara punca ia tidak diamalkan pada masa kini.

Malah, dikatakan amalan itu turut disertai dengan jampi serapah dan mantera berikutan masyarakat Melayu dulu lebih terpengaruh dengan budaya dan ajaran agama lain.

Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Sumber Maklumat Jabatan Mufti Melaka, Nor Aminuddin Azis, berkata adat itu kini diolah termasuk dengan pengisian doa dan selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w bagi mengelak khurafat.

“Adat yang membabit­kan khurafat dan jampi serapah boleh menjejaskan akidah umat Islam apatah lagi adat-adat ini membawa kita keluar daripada Islam tanpa disedari.” katanya.

Katanya, iringan nazam, berzanji atau qasidah ketika majlis itu boleh dielakkan kerana tidak diamalkan Rasulullah s.a.w.

“Jika ada iringan nazam atau berzanji, pastikan melodi yang digunakan tiada unsur pemujaan selain memuji Allah,” katanya.

Menurutnya, sebaik-baiknya lakukan ibadat akikah dengan menyembelih binatang ternakan ketika mencukur rambut bayi sebagai tanda syukur kepada Allah.

“Tahnik, akikah, mencukur rambut dan memberi nama pada hari ketujuh kepada bayi yang dilahirkan adalah amalan dilakukan Nabi Muhammad s.a.w kepada cucu-cucu baginda iaitu Hassan dan Husein,” katanya.

Namun, katanya, sunnah mencukur rambut itu juga seringkali disalah erti masyarakat dengan menggunapakai istilah ‘cukur jambul’ hingga mengundang kekeliruan.

Hakikatnya, amalan bercukur rambut bayi perlu dilakukan dengan mencukur keseluruhan rambut dan kemudiannya ditimbang dan dinilaikan dengan harga emas semasa sebelum wang itu disedekahkan kepada fakir miskin.

Katanya penyediaan beberapa kelengkapan seperti kelapa muda, air tepung tawar, beras kunyit, bertih jagung dan bunga rampai terpesong daripada ajaran Islam.


Promosi adat

Adat naik buai antara 154 butiran terdiri daripada tapak, objek ketara, objek tidak ketara dan tokoh orang hidup yang diisytiharkan Kementerian Komunikasi dan Multidmedia sebagai Warisan Kebangsaan Negara.

Ia dikategorikan sebagai warisan adat dan budaya selain berlenggang perut, adat perpatih Negeri Sembilan dan Naning serta adat Temenggung bertujuan me­ngekalkan warisan dan budaya masyarakat negara ini.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka Rodzuan Ismail mengakui adat naik buai semakin dilupai sedang­kan ia dilakukan pasangan suami isteri bagi membolehkan si anak didendangkan dengan nazam dan lagu berunsurkan nasihat supaya membesar sebagai insan berguna kepada masyarakat.

Justeru, bagi memastikan kelangsungan adat naik buai, JKKN mengadakan majlis itu dengan meraikan 30 bayi di Kampung Kampung Melaka Pindah, baru-baru ini.


Rai anak pertama

Bagi Mohd Attas Abdul­lah, 48, kelahiran putera sulungnya, Harith Hamzah, lima bulan, adalah saat paling bahagia dalam kehidupannya dan isteri.

Pasangan itu yang berkahwin tiga tahun lalu teruja apabila dijemput menyertai majlis naik buai anjuran JKKN bagi meraikan anak sulung mereka.

“Adat naik buai ini menunjukkan kita bersyukur kurniaan dan kebesaran Allah,” katanya.

Bagi pasangan Azman Abd Ghani, 30, dan Zurina Osman, 30 berkata, menyertai majlis naik buai adalah peluang yang jarang diperoleh sekarang.

“Peluang seperti ini bukan semua orang dapat, majlis sebegini jarang dianjurkan lagi, apatah lagi diraikan bersama bayi lain,” katanya.

Pasangan yang dikurniakan anak kembar lelaki, Azril dan Azrizil yang berusia dua
bulan itu berharap majlis itu dapat diteruskan di masa depan. - BERNAMA

Sumber : hmetro.com.my

Comments :

0 comments to “Adat naik buai rai si comel”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.