Merehatkan diri dan minda serta lari daripada kesibukan kota antara tujuan utama bercuti selain ingin berseronok bersama rakan, keluarga atau anak-anak.
Keseronokan yang dirasai juga bagaikan tidak tergambar dengan kata-kata. Maklumlah segala apa yang dihajati dapat dimiliki.
Namun selepas balik bercuti, fikiran yang tenang kembali kusut dek masalah kewangan selama bercuti. Situasi seperti ini sememangnya sering berlaku dan ia boleh dielakkan.
Bagaimana caranya? Berikut beberapa tip bagaimana anda boleh bercuti dengan tenang tanpa dibelenggu masalah kewangan.
Menabung
Sebelum merancang untuk bercuti, ada baiknya anda menabung dengan mengasingkan duit ke dalam tabung khas. Secara tidak langsung, anda yang memang merancang untuk berbelanja besar ketika melancong sudah mempunyai peruntukan untuk agenda itu.
Perancangan teliti
Tentukan dengan betul negara, bandar atau tempat peranginan yang sesuai sepanjang tempoh percutian anda.
Buatlah pendaftaran di tempat yang akan anda kunjungi. Untuk menjimatkan tenaga, perbelanjaan dan masa, rancang mengunjungi lokasi menarik berhampiran dalam sehari.
Melalui perancangan itu, anda boleh mengetahui jenis pengangkutan ke lokasi pilihan dan bayaran dikenakan.
Pakej promosi
Jika memilih untuk bercuti di luar negara, pilihlah negara yang sedang mengadakan promosi atau diskaun di samping harga istimewa yang ditawarkan ejen pelancongan.
Menjelang musim sejuk, negara di Eropah giat mengadakan promosi. Justeru, itulah masa yang sesuai untuk anda yang gemar berbelanja.
Belanja harian
Selama bercuti, buat bajet harian termasuk kos penginapan, makan, kenderaan di tempat yang dituju dan oleh-oleh yang akan dibeli untuk diri sendiri, keluarga atau rakan.
Apabila bersama si kecil
Periksa terlebih dulu apakah tempat yang akan dikunjungi menyediakan makanan atau kelengkapan si kecil. Jika ada, elak membawa makanan berlebihan kerana ia akan memberatkan beg.
Naik teksi
Apabila bercuti beramai-ramai, menaiki teksi lebih murah berbanding bas atau kereta. Justeru, bajet untuk pengangkutan dapat dijimatkan.
Manfaatkan sarapan
Manfaatkan sarapan secara percuma di hotel dan makanlah sampai kenyang terutama ketika bercuti di Eropah. Ini kerana harga makanan di sana mahal.
Oleh-oleh murah dan seperlunya
Bagi penjimatan, cari maklumat lokasi yang menawarkan barangan murah selain di pusat beli-belah. Elakkan membeli oleh-oleh dalam jumlah berlebihan.
Mencatatkan semua nama ahli keluarga atau rakan dan barangan yang akan dibeli dapat membantu anda supaya tidak membeli oleh-oleh yang berlebihan.
Sediakan duit kecemasan
Simpan 20 peratus daripada perbelanjaan bercuti untuk perkara kecemasan. Contohnya, bayaran kepada lebihan berat bagasi, membeli oleh-oleh dengan jumlah atau harga yang lebih mahal daripada anggaran.
Tunai lebih baik
Walau apa pun, cuba gunakan wang tunai untuk membayar perbelanjaan terutama apabila bercuti di luar negara. Anda akan dikenakan caj perkhidmatan atau bunga yang tinggi jika menggunakan kad kredit.
Comments :
0 comments to “Tip melancong: Rancang perbelanjaan”
Post a Comment