|
Serangan roket Rejim Zionis ke atas Gaza |
DALAM tempoh 24 jam sahaja, ada dua tragedi besar yang menimpa umat Islam: pertama ialah kepungan dan pengeboman besar-besaran Zionis Israel di Gaza bertujuan membunuh seluruh pemimpin Hamas Palestin secara total. Tragedi kedua ialah pengiktirafan Amerika bahawa Bukit Golan yang dijajah Zionis dari Syria kini milik Israel.
2. Tarikh 25 Mac 2019 menjadi saksi betapa bumi Gaza kembali dihujani bom Israel – serentak dengan keangkuhan Presiden Amerika Donald Trump menandatangani pengisytiharan Bukit Golan sebagai milik negara haram Zionis itu. Majlis menandatangani pengiktirafan haram ini tentulah turut dihadiri Perdana Menteri Israel Netanyahu.
3. Langkah hina ini menyamai tindakan Trump sebelum ini yang mengiktiraf Baitulmaqdis – tempat suci ketiga umat Islam – sebagai ibu negara haram Israel pada Disember 2017. Seperti mana status Baitulmaqdis yang pada hakikatnya dijajah oleh Israel, begitulah juga dengan Bukit Golan.
4. Jika Baitulmaqdis dijajah secara berperingkat-peringkat oleh Israel melalui Perang 1948 dan kemudiannya melalui Perang Enam Hari 1967, Bukit Golan pula dirampas dari Syria dalam Perang Enam Hari 1967 dan dipertahankan melalui Perang Ramadan (atau Perang Yom Kippur) 1973. Sejak 1981, Israel meluaskan pendudukan haram mereka di sana meski pun dikecam masyarakat antarabangsa khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi Majlis Keselamatan 497 dan Resolusi 242.
5. Resolusi Majlis Keselamatan 497 jelas menyatakan bahawa ‘keputusan Israel untuk melaksanakan undang-undang, bidang kuasa, dan pentadbiran di wilayah Bukit Golan milik Syria yang diduduki adalah batal dan tidak sah serta tidak mempunyai kesan perundangan antarabangsa’.
6. Resolusi Majlis Keselamatan 242 pula memberi garis panduan jelas bahawa wilayah yang dirampas melalui peperangan adalah tidak sah untuk dimasukkan sebagai wilayah milik negara yang menjajah berkenaan.
7. Hakikatnya, Amerika jelas hipokrit apabila mereka dahulu berdegar-degar menentang tindakan Rusia mengambil alih wilayah Crimea pada 2014 – meski pun ia disokong sebulat suara melalui referendum warga Crimea sendiri dan juga latar sejarah Kesatuan Soviet dahulu.
8. Pentadbiran Donald Trump juga hipokrit apabila bersungguh-sungguh mempertahankan kedaulatan Taiwan daripada ancaman penjajahan China; beliau sebaliknya berlindung di sebalik alasan yang tidak masuk akal apabila menandatangani perisytiharan Bukit Golan sebagai milik Israel.
9. Donald Trump menggunakan alasan kononnya Bukit Golan bakal menjadi sasaran untuk melancarkan serangan ganas – contohnya dari Iran, pengganas di selatan Syria, dan Hezbollah – ke atas Israel.
10. Syria yang baru sahaja dalam proses pemulihan pasca-ISIS tentu sahaja tidak akan berdiam diri dengan perisytiharan ini; Damsyik menyifatkan tindakan Trump ini sebagai ‘serangan ke atas kedaulatan dan integriti wilayah Syria’ lalu menjadikan Amerika sebagai musuh seluruh orang Arab.
11. Hampir serentak dengan perisytiharan Trump yang disaksikan Benjamin Netanyahu di Washington, Israel telah melancarkan serangan roket dan bom bertubi-tubi ke atas bangunan yang dituduh IDF sebagai pejabat Ismail Haniyeh di kejiranan Rimal, Gaza.
12. Serangan ini disifatkan Netanyahu sebagai tindak balas kepada serangan roket yang dituduh dari Hamas di Tel Aviv – sebaliknya Hamas menafikan tuduhan ini. Lebih melampau, rejim Zionis kini telah memulakan operasi pembunuhan para pemimpin Hamas di seluruh Gaza.
13. Secara tersiratnya, Netanyahu sebenarnya bakal berdepan pilihan raya Israel pada 9 April ini, dan beliau dicabar sengit bekas jeneral IDF Benny Gantz. Buat pertama kalinya, tinjauan pada awal Mac menunjukkan bahawa Benny Gantz kini mendahului Netanyahu.
14. Donald Trump pula baru sahaja ‘bebas’ daripada hambatan kontroversi campur tangan Rusia dalam pilihan raya Presiden Amerika 2016. Ringkasan laporan siasatan Robert Mueller menyaksikan Trump diputuskan AG sebagai tidak berkomplot dengan Rusia sewaktu kempen untuk mensabotaj calon Demokrat ketika itu, Hillary Clinton.
15. Keputusan terkini ini tentulah melegakan Trump – namun ia tetap boleh menjadi motivasi besar sewaktu beliau mengumumkan hasrat untuk mengiktiraf Bukit Golan sebagai milik Israel beberapa hari lalu.
16. Saat ini, tidak kira berapa banyak sekali pun kecaman demi kecaman dilaungkan terhadap Israel dan Amerika Syarikat, kedua-dua negara ini jelas sekali membakul sampah segala undang-undang antarabangsa mahu pun piawaian hak asasi manusia.
17. Dalam kalangan pemimpin Dunia Islam pula, mereka lebih mengutamakan peperangan sesama sendiri seperti di Yaman sejak 2015 dan juga pemulauan Qatar sejak 2017. Mesir pasca-Ikhwan Muslimin pula ibarat singa yang tidak lagi bergigi – sekadar menjadi pemerhati tatkala saudara dan jiran mereka di Gaza dibom Zionis.
18. Meskipun negara-negara Arab semakin hampir untuk memiliki kerangka pakatan ketenteraan ala-NATO Arab (Middle East Strategic Alliance MESA), hampir mustahil pakatan itu nanti dijadikan sandaran tekanan apatah lagi dikerahkan untuk melindungi saudara mereka di Gaza mahu pun kedaulatan wilayah Bukit Golan daripada terus dijajah Zionis.
19. Sesungguhnya, tidak wajar kita memandang rendah keupayaan Hamas melindungi diri mereka dengan izin Allah s.w.t. Al-Quran sendiri telah mencatatkan bagaimana kisah Nabi Daud a.s. menewaskan Jalut (Goliath) yang lebih perkasa. Telah tercatat dalam Sirah bagaimana angkatan tentera Islam yang bersaiz lebih kecil berjaya memenangi Perang Badar. Sejarah sendiri membuktikan bagaimana Hamas berulang kali berjaya menahan dan menangkis serangan yang dilancarkan Zionis Israel sebelum ini.
Ya ALLAH, lindungilah Hamas. Lindungilah Gaza. Lindungilah Bukit Golan. Peliharakanlah kami umat di akhir zaman.
**Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
|
Trump (Kiri) , Netanyahu (Tengah) |
|
Bukit Golan |
Sumber : https://www.google.com/amp/s/www.sinarharian.com.my/ampArticle/20205