Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Orang sanggup beli telefon bimbit dari ada tandas

PERTUBUHAN Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, enam daripada tujuh bilion penduduk dunia memiliki telefon bimbit tetapi hanya 4.5 bilion mempunyai tandas di rumah.

Laporan statistik mengejutkan ini mendorong organisasi antarabangsa melancarkan kempen global bagi meningkatkan kebersihan kepada 2.5 bilion orang yang berhadapan dengan risiko kesihatan.

Timbalan Ketua Setiausaha PBB, Jan Eliasson menjelaskan, statistik ini mencerminkan kemiskinan melampau di beberapa negara dunia.

“Masalah ini perlu ditangani segera bagi memenuhi matlamat PBB untuk mengurangkan masalah penduduk yang berhadapan dengan kemudahan kebersihan  menjelang akhir 2015,” katanya.

Beliau turut menyelar sikap pemimpin dunia yang hanya menetapkan misi pembangunan milenium untuk memerangi kemiskinan namun  masalah kemudahan kebersihan terus dipinggirkan.

“Amalan membuang air besar secara terbuka yang boleh menyebarkan penyakit, perlu dihentikan segera   dan perlu berada pada kadar sifar menjelang 2025,” katanya.
Menurutnya, walaupun bilangan penduduk membuang air besar secara terbuka menurun 271 juta sejak tahun 1990, tetapi perbuatan itu  masih diamalkan 1.1 bilion orang atau 15 peratus daripada penduduk dunia.

“Ia adalah salah satu punca utama cirit-birit yang mengakibatkan kematian lebih daripada 750,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun setiap tahun,” katanya.

Eliasson berkata, sebanyak 22 negara dengan lebih daripada 80 peratus penduduk membuang air besar secara terbuka di dunia.

Menurut seorang pegawai PBB, Brazil, China, India, Indonesia, Kemboja, Ethiopia, Kenya, Madagascar, Malawi, Mozambique, Nepal, Nigeria, Pakistan, Sierra Leone, Zambia, Afghanistan, Burkina
Faso, Chad, Congo, Niger, Sudan dan Selatan Sudan antara masih mengamalkan perbuatan itu.

“Di India sebanyak 60 peratus daripada jumlah penduduknya mengamalkan tabiat membuang air besar terbuka. Perbuatan itu dilihat amat bertentangan dengan pemilikan telefon mudah alih yang meningkat di negara itu,” katanya.

Beliau berkata, kini terdapat peningkatan mendadak penggunaan telefon bimbit dengan hampir satu bilion pengguna berbanding 45 juta pada 2002.

“Laporan menunjukkan, kedai telefon bimbit kini semakin banyak di India termasuk kilang Nokia terbesar di dunia ditempatkan di Chennai. Mereka mampu membeli telefon bimbit tetapi tidak mampu membina tandas di rumah. Perkara ini amat mendukacitakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kanak-Kanak Sedunia (Unicef) Martin Mogwanja berkata, matlamat kebersihan unggul digariskan PBB hanya boleh tercapai pada 2075 dan bukannya 2015.

“Keuntungan ekonomi global daripada pelaburan sektor kebersihan dianggarkan 170 bilion pound setahun dan masalah kebersihan menjejaskan pertumbuhan ekonomi adalah sekitar antara 0.5
peratus dan 7.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar setiap negara,” katanya dipetik laporan MailOnline

Ogos tahun lalu, pengasas Microsoft, Bill Gates melancarkan kempen ‘menginovasi tandas’ untuk mengurangi angka kanak-kanak meninggal dunia yang berpunca daripada masalah kebersihan.

The Gates Foundation  menawarkan AS$42 juta untuk meminta penduduk dunia membuat tandas dengan menggunakan teknologi penjimatan air.

Sumber : sinarharian.com.my

Comments :

0 comments to “Orang sanggup beli telefon bimbit dari ada tandas”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Kongsikan

Powered by Blogger.