Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Lori sampah ‘datang makan’

Bahau: Keasyikan 10 pelanggan bersarapan di sebuah gerai makan di belakang Balai Bomba dan Penyelamat Bahau, di pekan ini, terbantut apabila lori sampah yang di pakir berhampiran menggelongsor ke belakang dan merempuh gerai itu hingga roboh, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, pemandu lori milik SWM Environment Sdn Bhd itu dipercayai gagal menarik brek tangan sebelum ke gerai berkenaan untuk bersarapan.
Saksi yang juga pembantu kedai fotostat, Rosidah Abd Rahim, 33, berkata, ketika kejadian dia sedang membuka pintu kedainya dan sebaik menoleh ke belakang, ternampak lori diparkir kira-kira 10 meter dari gerai makan itu tiba-tiba mengundur.

Katanya, dia menjerit ke arah pelanggan di gerai makan sebelum melihat lori sampah itu merempuh motosikal Yamaha LC135 yang diletakkan berhampiran, diikuti bumbung gerai sebelum tersekat di penghadang jalan di situ

“Mujur lori itu menggelungsur perlahan, malah pemandunya cuba memberhentikan kenderaan itu, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Sementara itu, abang kepada pemilik gerai makan itu, Mohd Derham Khamis, 60, berkata dia sedang melayan pelanggan dan langsung tidak perasan lori itu mengundur ke arah gerai.

“Tiba-tiba saya terdengar suara menjerit memberitahu ada lori sampah mengundur menyebabkan semua pelanggan termasuk pemandu lori bergegas keluar dari gerai.

“Mujur tiada kemalangan jiwa cuma seorang pembantu kedai cedera ringan terkena percikan minyak masak yang tumpah ke lantai akibat rempuhan lori itu dan dirawat di sebuah klinik di pekan ini,” katanya.

Mohd Derham berkata, ini kali pertama kejadian seperti ini berlaku sejak adiknya, Noriati, 56, mula berniaga di sini sejak tiga tahun lalu dan ketika kejadian lori itu masih lagi kosong tanpa muatan sampah.

Sementara itu, Noriati dan pemandu lori membuat laporan di bahagian trafik Ibu Pejabat Polis daerah Jempol berhubung kejadian.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Sumber : hmetro.com.my

Langit main bunga api

Kuala Lumpur: Kejadian hujan meteor atau dikenali sebagai pancuran meteor Perseid setiap Ogos cukup dinanti-nantikan orang ramai di seluruh dunia.

Bagaimanapun, menurut Ketua Unit Penyelidikan Sains Angkasa, Mhd Fairos Asillam keadaan berawan serta mendung di kebanyakan tempat di seluruh negara menyebabkan fenomena itu sukar dilihat penduduk negara ini yang turut tidak melepaskan peluang berjaga di tengah malam semata-mata mahu melihat keajaiban alam selama dua hari sejak kelmarin.

“Kejadian hujan meteor ini berlaku saban tahun pada Ogos. Walaupun ia merujuk kepada lintasan tahi bintang yang banyak, tetapi bukan mudah untuk melihat fenomena alam ini.

“Antaranya ia mesti disaksikan di kawasan gelap yang tidak mempunyai pencemaran lampu. Ini bermakna orang ramai tidak dapat melihatnya di kawasan bandar kerana terdapat banyak lampu pada jalan dan bangunan.

“Selain itu, langit perlu terang iaitu tidak mempunyai awan yang banyak, tidak mendung dan tidak hujan,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Tambahnya lagi, fenomena hujan meteor perseid ini berlaku akibat geseran debu atau habuk di ruang atmosfera bumi sehingga menghasilkan lintasan cahaya yang banyak di langit akibat pembakaran.

Habuk atau debu itu terhasil daripada komet Swith Turtle yang terbakar ketika menghampiri matahari.

Orbit debu itu bersilang dengan orbit bumi lalu menyebabkan geseran berlaku pada atmosfera.

Walaupun pihaknya tidak membuat sebarang aktiviti untuk melihat fenomena hujan meteor ini memandangkan ia berlaku setiap tahun, orang ramai masih mengunjungi Planetarium Negara untuk menyaksikannya pada tengah malam kelmarin.

Selain itu, beberapa kawasan lain di seluruh negara seperti Dataran Merdeka (Kuala Lumpur), Port Dickson (Negeri Sembilan), Bukit Broga Semenyih (Selangor), Pantai Mek Mas, Kuala Besar (Kota Bharu, Kelantan), Teluk Likas (Kota Kinabalu, Sabah) serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, (Balik Pulau, Pulau Pinang) turut dipenuhi orang ramai yang ingin menyaksikan keajaiban alam ini.

Sumber : hmetro.com.my

Bajet buat rumah terbuka

HENDAK buat atau tidak rumah terbuka? Saudara-mara dan kawan-kawan asyik bertanya, mereka hendak datang beramai-ramai.
Ada banyak yang datang pada dalam fikiran. Pertama, bajet pada musim raya yang menipis. Bolehkah buat rumah terbuka sekadar menggunakan RM300?

Kedua, rumah yang sempit ataupun tinggal di rumah pangsa. Risau jika tetamu tidak selesa.

Ketiga, anda semakin berusia, tidak larat memasak pelbagai menu seperti 10 tahun lalu. Siapa yang hendak membantu kerana anak beraya di rumah mentua mereka?

Bajet


Sangat penting mengagak jumlah tetamu, dengan ini anda tahu jumlah makanan yang disediakan. Sekiranya mengambil pendekatan sederhana, makanan yang dihidang­kan walaupun ba­nyak dapat dikurang bajetnya.

Contohnya, tetapkan jumlah menu yang kecil merangkumi dua hidangan berat dan satu ringan. Hidangan berat contohnya sama ada set nasi beriani atau set nasi ayam. Hidangan ringan pula pencuci mulut seperti puding, jeli, sejenis kuih (contohnya karipap atau donat) atau buah-buahan.

Nasi beriani dan nasi ayam mudah kerana ia ada set sendiri dan tak perlu banyak lauk. Satu lauk dan sayur (acar) sudah lengkap.

Anda juga boleh berpakat dengan adik-beradik atau kawan baik untuk berkongsi mengadakan rumah terbuka hari raya. Ia boleh dirancang sama ada mahu berkongsi wang menggunakan perkhidmatan katering atau masing-masing menyediakan hidangan yang dipersetujui.

Paling penting, jangan berlebihan menyediakan menu. Tetapkan tiga jenis sahaja. Antara menu berat lain yang boleh dipilih adalah mi kari, lontong dan mi sup.
Bagi tambahan kemeriahan, anda boleh letakkan kerepek dan kuih raya bagi menyerikan meja, malah ia sudah cukup mengenyangkan.

Lemang dan ketupat memang mudah tetapi sering kali orang mengatakan lemang dan ketupat bukan hidangan lengkap. Walaupun sudah ada lemang, ketupat dan kuah kacang, ramai menyangka perlu ada hidangan berat yang lain. Ini sudah meningkatkan bajet anda.

Penyelamat bagi set ini ialah nasi. Lauk apakah yang boleh dimakan bersama nasi lemang dan nasi impit? Rendang dan ayam masak merah adalah pe­nyelesaian mudah.
Di sesetengah tempat, ayam atau daging masak kicap turut sepadan dimakan dengan ketiga-tiga di atas. Jadi pilihlah mengikut selera.

Mencari katerer memang menyesakkan dada pada musim raya kerana harganya mudah sekali meningkat naik. Katerer pula perlu ditempah sebulan awal, saat-saat akhir tiada yang mahu.

Apa kata anda mendapatkan perkhidmatan orang perseora­ngan di kawasan kejiranan yang diketahui boleh memasak untuk makanan ramai dan sedap. Cara ini lebih murah, cuma kena menyediakan pinggan mangkuk sendiri untuk tetamu.

Untuk minuman pula, sediakan dua jenis minuman yang baik untuk kesihatan, air kosong dan kordial limau. Tidak perlu menyediakan empat lima jenis minuman kerana ia bukan cara yang bijak. Tetamu juga boleh fokus dalam memilih sama ada mahu yang tawar ataupun manis, sejuk ataupun panas. Air teh atau kopi tidak perlu kerana tetamu biasanya mahu yang manis atau sebaliknya.

Selagi anda tidak berlebihan menyediakan menu bagi rumah terbuka, bajet anda tetap dapat dikawal dan murah.



Rumah yang kecil, di mana hendak menghidang, di mana hendak makan?


Jemput tetamu secara berperingkat. Kawan-kawan anak dijemput pada jam 11 pagi, kawan sendiri, jam 1 tengah hari. Saudara-mara mesti dikhaskan waktu yang paling akhir kerana mereka selalunya mahu tinggal lama. Sekiranya saudara-mara di awal waktu, ia bertembung dengan tetamu yang lain.

Rancang pengawalan menu mengikut masa tetamu. Kanak-kanak mungkin tidak gemarkan menu berat seperti nasi. Oleh itu, bihun dan mi adalah pilihan terbaik.
Ada rumah pangsa yang langsung tidak mempunyai koridor jadi, mungkin ada masalah menghidang makanan kepada tetamu yang ramai.

Anda boleh menghubungi persatuan penduduk bagi menggunakan wakaf di taman permainan rumah bagi menjamu tetamu sekiranya mahu menjemput tetamu datang sekali gus. Tetapi ini ada risikonya kerana selain penat mengangkat barang, masalah hujan juga perlu difikirkan.

Pada musim raya, ada restoran yang ditutup agak lama. Jika mendapat kerjasama daripada tuan punya restoran yang anda kenali, anda boleh menyewa restoran itu sebagai tempat menyambut tetamu. Tentu pilihan ini lebih murah dan kecil berbanding dewan orang ramai. Makanan dan peralatan disediakan pihak anda sendiri.



Penat dan tidak larat?


Kepenatan menyedia dan melayan rumah terbuka bukan hanya memenatkan orang yang berusia tetapi sesiapa saja. Cuma, orang yang berusia selalunya lebih penat.
Zaman ini untuk mendapatkan pertolongan orang lain bukanlah mudah terutama bagi mereka yang tinggal di kota.

Untuk mengurangkan kepenatan, paling utama adalah meng­gunakan peralatan pinggan mangkuk pakai buang kerana membasuh pinggan memang kepenatan yang paling kritikal terutama sekiranya tetamu tidak henti-henti datang.

Pastikan juga anda tegas memberitahu waktu jemputan supaya tidak ada yang datang terlalu awal atau sehingga lewat malam. Contohnya, beritahu tetamu anda waktu jemputan hanya dari jam 2 hingga 6 petang.

Mengemas dan membasuh tidak perlu dilakukan pada hari itu juga. Jangan memaksa diri yang sudah penat. Semuanya boleh dibuat keesokan hari setelah anda merehatkan badan.

Bagi memastikan majlis berjalan lancar, buat persediaan awal dan bukan hanya sibuk pada hari majlis. Apabila sudah menetapkan tarikh, dua tiga hari sebelumnya sudah boleh menyusun atur perabot bagi keselesaan tetamu atau memasak puding yang boleh disimpan di dalam peti sejuk. Sekiranya mahu membuat sendiri kuih-muih seperti karipap dan cucur badak, sediakan intinya terlebih dulu. Begitu juga sayur dan bahan lain, potong awal-awal bagi menjimat­kan masa.

Segala rempah tumisan, bawang, cili dan lain-lain disediakan awal supaya anda hanya perlu memasak atau menggoreng saja tanpa perlu bersusah payah dengan kerja remeh temeh.

Beli bekas putih kedap udara untuk menyimpan daging dan ayam sehari sebelum majlis bersama-sama ketulan ais bagi memelihara kesegarannya. Ja­ngan terkocoh-kocoh di pagi hari ke pasar atau pasar raya kerana ini akan menambah kepenatan.

Paling utama untuk mengelakkan pembaziran, terlebih bajet dan kepenatan melampau adalah bersederhana dan tanamkan niat yang ikhlas bukan kerana mahu menunjuk-nunjuk dan berlebih-lebih.

Islam menggariskan kesederhanaan dalam apa juga suasana.

Apa yang penting, dapat menjamu seadanya, menjalin silaturahim dan semua orang gembira. Jangan sampai berhutang kad kredit semata-mata mahu membuat rumah terbuka Aidilfitri.

Bagi yang berkunjung ke rumah terbuka pula, jaga adab dan sopan di rumah orang dan jangan menyusahkan tuan rumah. Sekiranya masa sudah ditetapkan jangan sesuka hati menukar masa mengikut jadual anda sendiri. Hormati tuan rumah yang mungkin sudah kepenatan dan ada agenda lain.

Bagi yang membawa anak kecil, jangan biarkan anak anda mengambil sendiri makanan dan menyentuh hidangan sehingga membuatkan orang lain tidak selesa.

Pastikan juga anak anda tidak menyepahkan rumah tuan rumah dan sekiranya anak tidak sengaja menumpahkan makanan atau minuman, bantulah untuk membersihkannya.

Lebih selamat, anak kecil disuapkan oleh ibu bapanya sendiri.

Sumber : hmetro.com.my

Jangka hayat bertambah punca pencen tak cukup

Dua cabaran utama sistem pencen Malaysia ialah jangka hayat rakyat negara ini yang semakin panjang dan terhakisnya struktur keluarga tradisional.

Kaji selidik Allianz Asset Management berhubung sistem pencen negara ini mendapati, sejak 1950-an, purata jangka hayat rakyat negara ini meningkat ketara, daripada 54 tahun kepada 73 tahun bagi lelaki, dan 56 kepada 77 bagi wanita.
Ketua Pencen Antarabangsa di Allianz Asset Management AG, Brigitte Miksa, berkata jangka hayat yang lebih panjang itu mendedahkan pesara dengan ketidakcukupan aset untuk membiayai sisa hidup mereka dalam tahun-tahun tambahan berikutnya.


Kombinasi simpanan persaraan yang tidak mencukupi dan jaringan keselamatan sosial yang longgar, katanya menyebabkan golongan tua amat bergantung kepada ahli keluarga untuk meraih sokongan.

“Sekitar 60 peratus pesara di Malaysia hari ini bergantung kepada sokongan ahli keluarga. Bagaimanapun, dengan kadar kelahiran yang menurun, serta faktor urbanisasi sokongan padu ahli keluarga turut berubah.

Sistem pencen negara

“Perubahan demografi dan rangkaian sosial yang tidak mencukupi pula mengancam menarik turun garis kemiskinan golongan ini jauh ke bawah lagi,” katanya dalam taklimat media membentangkan hasil kaji selidik Allianz 2013 berhubung sistem pencen di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Reformasi sistem pencen negara baru-baru ini yang bertujuan menambah baik simpanan persaraan menyaksikan penstrukturan semula ke atas sistem tunggak tunggal yang dimonopoli di negara ini sejak 60 tahun lalu, kepada sistem pencen pelbagai tunggak.

Sebagai maklum balas kepada jangka hayat yang semakin panjang, Parlimen tahun lalu meluluskan undang-undang menaikkan umur persaraan kepada 60 tahun daripada 55 tahun.

Ia bertujuan menjadikan penabungan pencen lebih berkesan dengan meningkatkan lagi nilai tabungan dan mengurangkan risiko hidup lebih lama daripada jangkaan.

Dalam tahun sama, Skim Persaraan Swasta (PRS), tunggak pelaburan ketiga, diperkenalkan, sekali gus menyaksikan peralihan Malaysia kepada skim sistem pencen pelbagai tunggak.

Miksa menyifatkan langkah lebih komprehensif ke arah sistem pencen yang lebih memadai ialah peralihan daripada penggantungan kepada sistem tunggak tunggal kepada sistem pelbagai tunggak dengan penubuhan skim persaraan sukarela berkenaan.

Sumber : bharian.com.my

Ulama cipta aplikasi telefon pintar Islam

Bantu amal budaya Islam dalam kehidupan

RIYADH: Satu telefon pintar bercirikan Islam, “Peace Mobile” yang dilancarkan pada minggu terakhir Ramadan lalu, adalah satu aplikasi media berguna yang menggabungkan al-Quran dengan sains moden.

Telefon pintar itu dicipta Dr Zakir Naik, seorang penceramah umum Islam dan perbandingan agama terkenal di peringkat antarabangsa.
Permintaan untuk telefon bimbit Islam meningkat di kalangan masyarakat Islam di Arab Saudi. Ribuan penduduk sudah membuat pesanan aplikasi itu secara online, sementara beratus-ratus yang lain bercakap mengenainya di pelbagai landasan media.



Satu inisiatif teknologi penemuan itu oleh Naik, pengasas dan presiden IRF (Yayasan Penyelidikan Islam), telefon itu akan membantu pelaksanaan budaya Islam dalam kehidupan sehari-hari.

Peace Mobile disesuaikan sepenuhnya dengan aplikasi Islam yang sahih dan perisian serta membantu masyarakat Islam yang mengamalkannya terus berhubung dengan dunia Islam.

Naik berada di sini baru-baru ini bercakap dalam satu forum Ramadan dianjurkan Pusat Budaya Islam India (IICC).
Ulama berkenaan sentiasa menegaskan keperluan untuk kedua-dua pendidikan agama dan moden, menganggap kedua-duanya sebagai penting.

IRF adalah sebuah organisasi tanpa keuntungan yang memiliki saluran Peace TV, sebuah rangkaian televisyen satelit Islam yang baru-baru ini melebihi tontonan rekod global sebanyak 200 juta.

Okasha Mujahid, pengurus perniagaan antarabangsa di Darussalam, sebuah rumah penerbitan Islam berpusat di sini, mengalu-alukan telefon pintar itu dan berkata:

“Darussalam bersungguh-sungguh bekerja untuk menyebarkan kata-kata Islam menerusi penerbitannya. Peace Mobile boleh membantu lanjutan untuk ini.” - Agensi

Sumber : bharian.com.my

3 Kesilapan Utama Berniaga Di Facebook

Semakin ramai orang sekarang menggunakan laman sosial Facebook sebagai medium pemasaran untuk menjual produk dan perkhidmatan yang mereka tawarkan. Namun, sangat menyedihkan apabila Facebook menjadi satu medan membanjirkan atau ‘spam’ untuk menjual produk mereka.
Jika anda seorang usahawan yang ingin membina perniagaan untuk tempoh masa yang lama, anda perlu menggunakan Facebook dengan lebih berhati-hati dan mengelakkan tiga kesalahan utama yang saya akan terangkan di bawah.


Facebook bukan tempat membuat jualan

Orang yang anda jemput untuk ‘like’ halaman Facebook anda pasti tidak suka jika apa yang anda berikan kepada mereka ialah iklan semata-mata. Tidak siapa suka untuk disumbat dengan iklan setiap hari.

Pelanggan anda ingin mengetahui daripada anda sesuatu yang mereka boleh gunakan dalam kehidupan mereka. Contohnya, jika anda seorang penjual pakaian kanak-kanak, mungkin anda boleh berikan mereka tip penjagaan kanak-kanak atau kaedah menyelesaikan masalah kesihatan yang dihadapi oleh kanak-kanak.

Jika anda menjual kosmetik pula, mungkin anda boleh penuhkan Facebook anda dengan tip kecantikan untuk wanita dan dengan petua berguna sebegini, mereka akan menanti-nanti tip daripada anda. Hanya 1/6 daripada status anda boleh dibuat untuk pengiklanan.


Facebook bukan jalan sehala

Jika pada zaman dulu, semua syarikat membuat iklan yang sehala. Sehala bermaksud, pelanggan tidak dapat memberi maklum balas atau mengkritik syarikat ini.

Namun, keadaan pemasaran Internet hari ini nyata berbeza. Terutama apabila adanya Facebook dan Twitter di mana pemasaran menjadi jalan dua hala antara penjual dan pembeli.

Jika anda sekadar bercakap menyuruh orang membeli, mungkin ada 1 atau 2 orang yang membeli, namun untuk ramai orang membeli daripada anda, anda perlu bercakap bersama mereka.

Bercakap bersama mereka ialah anda perlu berada di dalam perbincangan mereka. Untuk berada di pihak atas dalam perbincangan ini, anda perlu mengetahui banyak ilmu yang berkaitan dengan bidang perniagaan anda.

Dalam era ini juga, pelanggan mempunyai ruang untuk mengkritik perniagaan anda dan kritikan ini perlu dijawab dengan bijak. Anda tidak boleh tidak menjawabnya dan anda tidak juga boleh menjawabnya dengan emosi.

Anda perlu menjawab dengan bijak supaya pelanggan anda yang mengkritik (dan beribu orang lain yang melihat perbualan ini) akan lebih mempercayai anda.


Facebook (untuk perniagaan) bukan medan bercakap mengenai anda

Orang yang berada dalam Facebook anda tidak berminat dengan masalah perniagaan atau lebih teruk masalah peribadi yang anda hadapi. Mereka lebih berminat mengenai bagaimana produk anda dapat menyelesaikan masalah mereka.

Mereka tidak mahu tahu bahawa anda tersangkut dalam ‘traffic jam’ atau mengenai masalah yang anda hadapi dengan pekerja anda. Anda perlu sentiasa bercakap mengenai mereka. Memanglah ini nampak seperti keras. Tetapi inilah realitinya jika anda inginkan pelanggan yang datang bertali-arus.

Secara kesimpulannya, anda perlu memandang Facebook sebagai medan pemasaran jangka panjang anda untuk anda membina kredibiliti dan reputasi di mata pelanggan anda sebelum mereka membeli produk anda dan memberitahu rakan mereka pula.

Sumber Harian Metro

Menangani Obes di Hari Raya

HARI ini belum seminggu kita meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kemeriahan masih terasa. Hidangan juga masih banyak.
Ditambah dengan jemputan rumah terbuka kerana pada masa itu, sanak saudara dapat berkumpul.

Daripada ketupat, nasi impit, lemang, rendang, kari, sambal kacang, lodeh, laksa semuanya terhidang di depan mata.

Itu belum lagi, biskut dan kuih muih serta minuman bergas atau kordial yang semuanya tinggi kandungan gula dan kalori.

Baru-baru ini Kementerian Kesihatan Malaysia kembali melancarkan amalan pemakanan 55555 sebagai panduan memudahkan orang ramai menjaga kesihatan semasa Hari Raya Aidilfitri.

KKM juga melancarkan buku kecil Makan Secara Sihat di Hari Raya yang menyenaraikan kandungan kalori bagi pelbagai jenis juadah bagi memudahkan orang ramai merancang sajian semasa musim perayaan.

Buku mengenai kandungan kalori makanan itu menyenaraikan semangkuk mi kari mengandungi 530 kalori dan wanita yang mengambilnya perlu berlari selama 72 minit atau berjalan perlahan selama 290 minit bagi membakar kalori berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk S. Subramaniam berkata, semua orang perlu mengelakkan pengambilan gula, garam dan lemak secara berlebihan kerana ia boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan.
Kaedah pemakanan 55555 merujuk kepada lima amalan baik yang boleh mencegah masalah kesihatan di musim perayaan.

Pakar runding pemakanan, Indra Balaratnam berkata, di Malaysia yang mempunyai begitu banyak perayaan penduduknya terdedah kepada risiko obesiti.

"Biasanya ketika musim perayaan, kita akan terdedah kepada makan secara berlebihan yang menyebabkan berat badan bertambah.

"Sepatutnya selepas sebulan berpuasa, berat badan akan turun mungkin beberapa kilogram dan mereka mengekalkan berat badan selepas itu," katanya.

Bagaimanapun jelas Indra, biasanya musim perayaan, sesiapa saja boleh mengalami kenaikan berat badan semasa musim perayaan.

Kurang kesedaran mengenai makanan dan kesihatan di kalangan rakyat negara ini menyebabkan kadar obesiti meningkat.

Obesiti bukan saja berkaitan dengan kenaikan berat badan tetapi juga pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, darah tinggi dan jantung.

Sumber : Utusan Melayu

Tips Mengatasi Keguguran Rambut

MASALAH keguguran rambut kini bukan lagi isu yang diperkatakan secara tersembunyi. Penyelidikan perubatan terkini telah mengenal pasti pelbagai jenis keguguran rambut merangkumi kebotakan bercorak pada lelaki dan wanita sehinggalah kebotakan selepas bersalin.

Walau apa pun jenisnya, keguguran rambut dan kebotakan menyebabkan keyakinan diri yang kurang dan seterusnya penderitaan yang terpaksa ditanggung sendiri tanpa mengetahui pilihan rawatan berkesan boleh didapati.

BioTHIK merupakan jenama produk penjagaan rambut yang membantu pertumbuhan rambut yang terbaik.
Dengan adanya protokol tiga peringkat untuk membantu rakyat Malaysia memperoleh rambut yang lebih sihat dan lebat, matlamat BioTHIK adalah untuk meningkatkan keyakinan diri dalam kalangan individu yang mengalami masalah keguguran rambut.

Produk penjagaannya dikategorikan dalam lingkungan protokol tiga peringkat tersebut.
Terdapat dua buih pencuci kulit kepala yang setiap satunya dihasilkan untuk kulit kepala yang sensitif dan mengalami keguguran rambut serta yang bersifat anti kelemumur dan mempunyai kawalan minyak.

Buih Pencuci Kulit Kepala 1 BioTHIK diperkaya dengan ekstrak akar ginseng Panax, ekstrak akar Articum Majus dan Biotin manakala pencuci yang kedua diperkuat dengan Tanakal untuk mengurangkan pengepingan dan mengawal pengeluaran minyak secara berlebihan. Kedua-dua produk ini terbukti berkesan untuk menggalakkan dan meningkatkan kadar pertumbuhan rambut baharu.

 Sumber : utusan.com.my

Rumah tradisional dalam bentuk miniatur

ALOR GAJAH - Rumah-rumah tradisional di Malaysia bakal dihasilkan dalam bentuk miniatur untuk dijadikan cenderahati kepada peminat seni kraftangan dan pelancong khususnya dari luar negara.

Miniatur 'rumah ibu' (induk) bersaiz kira-kira 30 sentimeter (cm) panjang 
dan 30 cm lebar itu dihasilkan keseluruhannya daripada kayu dan mengekalkan seni bina serta ukiran rumah tradisional setiap negeri.

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia Cawangan Melaka Aididah 
Ibrahim berkata penghasilan miniatur dengan kerjasama tiga pengusaha replika rumah tradisional di Melaka itu bertujuan memudahkan pembeli membawa balik produk berkenaan ke destinasi masing-masing.

Beliau berkata replika rumah tradisional pada masa ini yang bersaiz 60 cm 
panjang dan 60 cm lebar, sukar dibawa ke mana-mana selain harganya yang tinggi iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 setiap satu.   


"Miniatur rumah tradisional ini akan hanya melibatkan harga RM300 hingga 
RM500 setiap satu bergantung kepada seni ukirannya," katanya kepada Bernama di sini.

Aididah berkata bagi fasa pertama projek berkenaan, model rumah tradisional 
Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor sedang dihasilkan sebelum diperluaskan penghasilannya melibatkan rumah tradisional negeri lain.

Katanya model rumah tradisional yang terdapat di Mini Malaysia di Ayer 
Keroh, Melaka menjadi antara rujukan kepada pengusaha replika berkenaan dalam menghasilkan miniatur itu.         

"Miniatur ini masih dalam peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D) 
kerana masih ada beberapa rekaan yang perlu diperkemas supaya memberi kepuasan kepada pembeli," katanya.

Beliau berkata produk akhir miniatur itu dijangka dapat dihasilkan menjelang 
akhir tahun ini dan dipasarkan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Aididah berkata pihaknya juga sedang membangunkan replika rumah tradisional 
berkonsepkan DIY (Do It Yourself) yang membolehkan pembeli terlibat dalam proses memasang model rumah tradisional.  

Selain mudah dibawa, replika itu juga mampu memberikan cabaran kepada 
peminat kraftangan dalam menghasilkan seni bina rumah tradisional negara ini, katanya. -  Bernama

Sumber: sinarharian.com.my

Budak 5 Tahun Jadi Hero


JERTIH – Kisah sedih membabitkan satu keluarga yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Kubang Depu kelmarin bukan sahaja menceritakan ketabahan seorang bapa mencari nafkah untuk membeli baju raya untuk anaknya.
Sebaliknya turut mengisahkan keberanian dan kepintaran seorang anak kecil, Muhammad Syawal, 5, yang layak digelar hero kerana berjaya menyelamatkan adiknya, Muhammad Syakir, 4, daripada terperangkap dalam kebakaran rumahnya pada jam 11.30 pagi, kelmarin.

Anak sulung kepada pasangan Mohd Shukri Mohd Noor, 36, dan Huslina Abd Rahman 26, itu bertindak bijak dengan menarik tangan adiknya keluar dari rumah setelah menyedari bahagian bilik rumah mereka terbakar.

Ketika kejadian, mereka berdua baru selesai dimandikan oleh nenek mereka, Fatimah Sulaiman, 55 yang tinggal di rumah berdekatan.

Waktu itu hanya mereka berdua di dalam rumah kerana ibu dan adik bongsu mereka, Muhammad Syahril, 3, keluar mengikut bapa mendapatkan pekerjaan di Gong Kepas dekat Kampung Raja demi membeli baju raya Muhammad Syawal yang masih belum dibeli.

Menurut Fatimah, cucunya itu menjerit sambil memegang tangan adiknya keluar dari rumah kemudian menyerahkan Muhammad Syakir kepadanya.

“Dia berlari keluar sambil menarik adiknya yang kelihatan enggan keluar dengan menjerit berkata ‘tok ma, tok ma api dalam rumah',” katanya mengenai cucunya yang memanggilnya dengan panggilan tok ma.

Lari ke rumah terbakar selamat selipar raya adik, ibu

Katanya, selepas meletakkan adiknya di tempat selamat, anak kecil itu berlari semula ke arah pintu utama rumah yang sedang marak terbakar itu demi menyelamatkan pula sepasang selipar raya adiknya (Muhammad Syakir) dan ibunya yang terletak di dalam rumah berhampiran pintu utama.
Kata Fatimah, Syawal memberitahu bapanya, dia hanya sempat menyelamatkan selipar adik dan ibunya sahaja manakala selipar lama ayahnya tidak dapat diselamatkan.
Tidak cukup dengan itu, dia yang bersekolah tadika berlari pula meminta bantuan penduduk kampung untuk memberitahu kejadian itu, di samping mencari bapanya yang disangka bekerja membina rumah di kampung sama kira-kira satu kilometer dari situ.
Kepantasan dan kebijaksanaan Muhammad Syawal melegakan ibu dan ayahnya yang sangat bimbangkan nasib mereka berdua yang berada di dalam rumah itu memandangkan dalam tempoh beberapa minit sahaja rumah tersebut musnah sepenuhnya.

Fatimah pula, mengumpul kudrat yang tidak seberapa mendukung ibunya (nenek Mohd Shukri), Che Mah Che Noh, 80, yang lumpuh keluar dari rumahnya kerana bimbang api dari rumah anaknya merebak ke rumahnya, di samping membawa bersama Muhammad Syakir.

Sementara itu, Mohd Shukri melahirkan rasa terkilan dan kecewa apabila ada suara sumbang mengatakan dia sengaja membakar rumah itu demi mendapat sumbangan wang daripada orang ramai.

Kecewa dituduh sengaja bakar rumah

“Saya amat kecewa dengan tuduhan liar sedemikian kerana mana mungkin saya sanggup lakukan perkara seperti itu,” katanya.

Kelmarin Sinar Harian menyiarkan kisah sedih sekeluarga ini apabila kegembiraan Mohd Shukri yang berjaya  memperoleh pekerjaan sebagai tukang rumah demi membeli baju raya anaknya, tidak kekal lama kerana sebaik pulang, dia dapati rumahnya hangus terbakar.
Dia pergi memohon kerja itu dengan membawa bersama isteri, Huslina Abd Rahman, 26, dan anak bongsu mereka Muhammad Syahril, 3, dengan harapan majikan yakin dengan kesungguhannya untuk mendapatkan kerja.

“Saya merayu diberi kerja walaupun untuk tempoh dua hari demi membeli pakaian raya anak sulung saya, Muhammad Syawal, 5, yang masih belum mempunyai baju raya," katanya.

Hasil pendedahan kisahnya semalam turut mendapat simpati pembaca Sinar Harian yang bertalu-talu menghubunginya untuk menyalurkan bantuan.
Semalam juga wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Besut dan Adun Hulu Besut telah melawat mangsa.

Sumber : sinarharian.com.my

Hari Raya Jalan Jadi Tin Sardin

KOTA BHARU - Menjelang sambutan Aidilfitri Khamis ini, jalan- jalan utama memasuki Kelantan khususnya yang menghala ke Kota Bharu mula dibanjiri kenderaan perantauan.

Aliran trafik ke pusat bandar dari Jalan Kuala Krai begitu ketara sehingga kenderaan bergerak perlahan.

Kenderaan bertali arus memasuki Kelantan melalui Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh. Paling ketara di laluan Gua Musang-Kuala Krai-Kota Bharu.

Paling teruk, bandar Kota Bharu sudah menjadi “ikan sardin” dan menjadi trauma kepada mereka yang ingin masuk  di bandar khususnya untuk membuat persiapan raya.

Bagi mereka yang menggunakan kenderaan untuk beraya, sudah pasti mereka terpaksa memikir panjang kerana tempoh perjalanan  yang lama sekali gus merencatkan mood raya.

Masalah kesesakan jalan raya di negeri ini bagaikan tiada berkesudahan apabila isu ini semakin hari dilihat bagai melepaskan batuk di tangga oleh sesetengah pihak.

Mengikut analisis, setiap tahun, lebih 60,000 buah kenderaan akan memasuki negeri ini terutamanya di musim perayaan seperti Aidilfitri dan Tahun Baru Cina tersebut malah angka ini menunjukkan peningkatan saban tahun.

Analisis yang dijalankan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) 2011-2012 menunjukkan jumlah kematian di Malaysia meningkat 0.6 peratus manakala jumlah kemalangan pula meningkat kepada 3 peratus.
Pada tahun yang sama juga sebanyak 460,000 kes kemalangan dicatatkan di Malaysia, adakah angka ini belum cukup menggerunkan kita semua tentang bagaimana cara untuk mengurangkan jumlah tersebut.

Januari hingga Mei 2012-2013 menyaksikan Kelantan mencatat indeks kemalangan maut sebanyak 5.62 peratus dan peningkatan jumlah kematian sebanyak 2.5 peratus serta kemalangan 4.2 peratus.

Malah daerah Kota Bharu merupakan daerah kematian tertinggi melibatkan jumlah keseluruhan 392 kes pada tahun lalu dengan purata kematian sehari adalah sebanyak 19 orang.

Dalam kesibukan rakyat memperjudikan masa mereka di jalan raya, kerajaan negeri dilihat cuba menyelesaikan hal ini namun menjadi persoalan adakah pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer itu mampu dilaksanakan.

Projek bernilai  RM3 bilion yang sebelum ini ditunjangi oleh bekas exco Datuk Husam Musa seakan hilang punca ekoran beberapa masalah yang berbangkit.
Sudah tentu ia bukan sesuatu yang mudah bagi Kerajaan Negeri memandangkan sumber kewangan yang terhad apalagi Husam yang menjadi penggerak utama projek ini sudah lagi tiada dalam pentadbiran negeri.

Di sebalik kekurangan itu, para pembesar negeri juga tidak harus hanya pandai menggunakan petak ceramah untuk melepaskan tangan kepada kerajaan pusat, sebaliknya mereka juga harus berikhtiar memandangkan Pas telah pun menerajui Kelantan lebih 20 tahun.

Masa 20 tahun sudah cukup untuk pentadbiran Kerajaan Negeri mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek mahupun pelan kecemasan sekiranya projek di bawah pusat tidak dilaksanakan.

Sementara, bagi Kerajaan Pusat, mereka seharusnya melupakan politik seketika bagi membantu rakyat Kelantan yang begitu terdesak untuk mendapatkan kemudahan lebuh raya pertama negeri.

Jalan raya bukan soal politik yang boleh ditarik tolak oleh mana-mana pemimpin. Kesengsaraan ini harus ditanggung oleh semua peringkat rakyat, penghulu, ketua kampung, exco, menteri, Menteri Besar mahupun Perdana Menteri.

Jadikan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu ini sebagai inisiatif pertama bagi menyokong semangat federal yang kelihatan tergugat dengan mainan politik pihak-pihak tertentu. 

Jika perkara ini tidak difikirkan, bayangkan apa akan jadi 20 tahun akan datang?. Ditambah dengan sistem pengangkutan awam yang teruk, Kelantan bakal menjadi ‘Darul Jem’

Kerajaan pusat perlu ambil serius

Kerajaan negeri berharap agar Kerajaan Pusat akan mengambil serius isu pembinaan lebuh raya di negeri ini bagi membantu mengurangkan kesesakan jalan raya terutamanya menjelang musim perayaan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat, Hanifa Ahmad berkata, langkah tersebut penting untuk membantu mengurangkan kadar kemalangan yang melibatkan puluhan ribu kenderaan yang memasuki negeri ini.

“Kita sudah bersetuju untuk melaksanakan pembinaan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sepanjang 73 kilometer dan kerajaan pusat pula telah bersetuju untuk membina Lebuh Raya Pasir Hor- Kadok sepanjang 7.8 kilometer.
“Kerajaan pusat perlu mempercepatkan pembinaan tersebut bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya kerana semakin hari jumlah kenderaan semakin bertambah terutamanya di musim perayaan, maka masalah ini harus diselesaikan secepat mungkin,” katanya

Menurutnya, kerajaan negeri mengambil tanggungjawab terbabit memandangkan kerajaan pusat didakwa mengetepikan projek berkenaan sejak 1986 iaitu Rancangan Malaysia Ke-5.

Beliau berkata, sehingga kini, lebih RM2 juta disumbangkan pelbagai pihak bagi mengisi dana Lebuh Raya Rakyat dan kerajaan negeri menyasarkan dana dapat dikumpulkan sehingga RM50 juta.

“Projek berkenaan sudah dimulakan di Hutan Simpan Hulu Sat, Bukit Bakar bagi fasa pertama dan akan disambung sehingga ke Kampung Dusun Damar, Kuala Krai sejauh 29 kilometer dan skop pembinaan jalan dua lorong itu juga boleh di naik taraf kepada empat lorong pada masa akan datang.

Hanifa juga berkata, kerajaan pusat melalui Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan projek berkenaan, di mana tender pakej 1 Kota Bharu-Kadok sudah dikeluarkan dan akan menggunakan jajaran yang sama dengan pelan awal Lebuh Raya Rakyat yang dirancang kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang ini saya amat berharap anak-anak perantau memandu dengan berhemah dan berhati-hati, kita akui jalan amat sesak di musim-musim perayaan namun kita boleh rancang perjalanan dengan lebih sempurna.

“Tambahan pula dengan bantuan operasi-operasi yang dijalankan Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut sama membantu mengurangkan kadar kemalangan maut dan juga kesesakan akibat daripada sikap pemandu itu sendiri, saya juga berharap inisiatif yang pihak kerajaan akan lakukan ini juga dapat dipercepatkan lagi selepas ini,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menyarankan agar semua syarikat-syarikat kenderaan awam negeri menambah jumlah kenderaan tersebut untuk memudahkan lagi orang ramai menggunakannya di kawasan-kawasan bandar bagi mengelak kesesakan lalu lintas.

Pemandu tidak berhemah punca kesesakan

Sikap pemanduan yang tidak berhemah merupakan di antara faktor utama terjadi kesesakan jalan raya dan kes kemalangan maut terutamanya di musim-musim perayaan dan cuti umum.

Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya Negeri, Yusrina Md Yusof berkata, sikap seseorang pemandu itu memainkan peranan penting bagi memastikan perjalanan yang lebih efektif dapat dilakukan.
“Kadang-kadang mereka terlalu ingin mengejar masa, sebab itu kami selalu mengadakan advokasi terutamanya tentang bagaimana untuk merancang perjalanan yang sempurna, walaupun kita memandu setiap hari, namun kita gagal untuk rancang jarak dan masa yang sesuai.

“Sebagaimana yang kita tahu jumlah kenderaan semakin hari semakin banyak, maka itu juga di antara faktor kenapa kesesakan lalu lintas berlaku terutamanya waktu-waktu kemuncak, sebab itu kita mesti merancang dulu perjalanan, ini amat penting,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, daripada analisis yang dilakukan oleh pihaknya, jumlah kematian dan kemalangan maut semakin hari semakin meningkat maka jika perkara tersebut tidak dibendung tidak mustahil peratusan tersebut akan lebih menaik selepas musim perayaan nanti.
Beliau juga berkata, infrastruktur jalan yang tidak sempurna juga menjadi faktor pelbagai kemalangan yang melibatkan motosikal dan kenderaan berat berlaku terutamanya di kawasan laluan utama kenderaan tersebut.

“Jalan-jalan di Kelantan juga mempunyai permukaan fizikal yang kurang memuaskan dan menjadi antara faktor kenapa banyak kes-kes kemalangan berlaku melibatkan motosikal dan sebagainya.

“Dalam masa yang sama kami juga telah melakukan pelbagai pemantauan untuk kes-kes seperti ini dan menjadi medium untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak yang bertanggungjawab jika ada jalan yang perlu dibaik pulih dan sebagainya.

“Ketiga-tiga faktor tersebut mempengaruhi kesesakan jalan raya yang berlaku sekarang, saya juga berharap agar satu masa nanti kita memiliki sifar kemalangan maut walaupun kenderaan semakin hari semakin bertambah, apa yang penting, bawa kereta dengan berhemah, ikut peraturan dan peka dengan keadaan jalan raya yang mungkin mengganggu perjalanan kita,” katanya.

JPJ tidak buat sekatan

Bagi melancarkan lagi jalan raya di musim perayaan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melaksanakan peraturan kenderaan berat tidak boleh memasuki jalan-jalan utama di setiap Bandar.

Pengarah JPJ Kelantan, Abd Ghani Che Kasim berkata, langkah tersebut bagi memastikan perjalanan trafik lancar dan tidak terganggu dengan kenderaan muatan berat yang memungkinkan kelambatan berlaku.

“Mereka mempunyai had laju sendiri, sebagai contohnya di kawasan berbukit, memang ambil masa untuk lepas, sebab itu kami ambil inisiatif ini untuk sekat perjalanan mereka pada 6 dan 7 Ogos serta 17 dan 18 Ogos, jika mereka ingkar, kenderaan tersebut boleh disita.

“Kali ini juga kita tidak akan mengadakan sebarang sekatan jalan raya sepanjang musim perayaan bagi mengelakkan kesesakan berlaku dan aliran trafik berjalan lancar tanpa sebarang gangguan, cuma kami akan tugaskan anggota JPJ di beberapa lokasi ‘hot spot’ kemalangan sebelum ini,” katanya kepada Sinar harian.

Menurutnya, terdapat lima kawasan yang di senarai hitamkan di bawah pengawasan Kawasan Kerap Kemalangan (KKK) iaitu kilometer 12, Jalan Gua Musang-Merapoh-Kuala Lipis, Kilometer 35 Kota Bharu-Gua Musang di Jajahan Labok dan Machang.

Manakala di Sempadan Gua Musang-Kuala Krai pula di kilometer 107, kilometer 114 Kota Bharu- Jeli-Grik iaitu di Lebuh Raya Timur Barat dan Kota Bharu- Terengganu di kawasan Bukit Yong dan Bukit Jawa.
Beliau berkata, kawasan KKK tersebut akan dipantau oleh anggota JPJ yang bertugas 24 jam mengikut syif bagi membantu melancarkan lagi perjalanan kenderaan di kawasan itu selain bersedia untuk sebarang kesulitan.
“Kita sediakan 3-4 orang setiap kawasan dan untuk operasi Hari Raya kali ini ia telah bermula sejak 1 Ogos yang lalu dan akan berakhir pada 18 Ogos nanti dan sebagaimana tahun lepas, jumlah kenderaan yang akan memasuki negeri ini sempena Aidilfitri akan meningkat malah dijangka melebihi dari 60,000.

“Fizikal jalan yang sempit juga sebenarnya menyukarkan kenderaan bergerak lebih pantas kerana ada sesetengah jalan yang hanya mempunyai dua haluan sahaja, maka jika kereta depan kita perlahan, atau ada lori di kawasan bukit, maka perjalanan kenderaan lain di belakang juga akan terganggu,” katanya.

Abd Ghani turut menasihatkan semua penumpang supaya tidak melanggar sebarang peraturan jalan raya bagi memastikan perjalanan yang selamat dan tiada kemalangan maut berlaku.

“Pemandu mesti peka dengan setiap laluan dan berwaspada dengan kawasan-kawasan hot spot yang kita telah senaraikan yang mana boleh mengakibatkan kesesakan yang luar biasa sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini,”katanya.

Sumber : sinarharian.com.my

Tips Persediaan Rumah Terbuka

Sungguhpun Syawal masa terbaik menikmati sajian enak tradisional turut-temurun, makan perlu berpada.

"Selain risiko sakit perut, lihat juga jenis sajian yang bakal disuapkan ke mulut. Makan secara berhemah lebih banyak nikmatnya kepada tubuh badan," itu pesan Pensyarah Jabatan Diatetik dan Nutrisi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Barakatun Nisak Mohd Yusof.

Jelasnya, sakit perut hingga perlu berulang beberapa kali ke tandas antara senario biasa berlaku bukan saja pada hari raya, sebaliknya apabila individu makan bercampur jenis.

Punca sakit perut

Tetapi mungkin lebih ketara pada hari raya kerana perut berada dalam keadaan penyesuaian untuk berhadapan dengan corak pemakanan berbeza.

"Perut yang sebelum itu tenang' dan berehat untuk tempoh sebulan, tetapi berubah daripada kebiasaan.

Antara punca sakit perut mungkin disebabkan keracunan makanan, makan pelbagai jenis makanan dan dalam kuantiti banyak pada satu-satu masa.

Kuantiti kecil

"Untuk mengelakkan sakit perut, individu perlu memastikan makanan disediakan secara selamat, mengambil makanan dalam kuantiti kecil, lebih kerap selain mengurangkan makanan berasaskan santan.

"Sajian berasakan santan lebih cepat rosak, lebih-lebih lagi sekiranya tidak dikendalikan dengan baik," katanya.

Selain itu, kebersihan makanan juga amat perlu dititikberatkan. Beliau berkata, paling utama, makanlah secara berhemah.

Tanggungjawab makan secara berhemah perlu dimainkan tuan rumah dan tetamu.

Berikut sebagai panduannya:

Tuan rumah:

- Rancang

Perlu merancang apa yang ingin dimasak. Bukan saja aspek sedap perlu diambil kira, sebaliknya makanan mesti berkhasiat.

- Seimbang

Sekiranya ingin menyediakan beberapa sajian pada satu masa, pastikan ia seimbang. Sebagai contoh hidangan pertama tinggi karbohidrat (seperti lemang dan nasi minyak), seimbangkan dengan hidangan rendah lemak (seperti pecal atau sup). Sediakan juga nasi putih (sekiranya menyediakan nasi minyak) agar tetamu boleh membuat pilihan. Buah-buahan juga boleh dijadikan hidangan.

- Pilihan

Beri pilihan lebih sihat.

Sebagai contoh sediakan jus buah tanpa tambahan gula berbanding kordial. Apabila menyediakan minuman panas seperti kopi dan teh, hidangkan gula dan susu secara berasingan. Ini dapat membantu tetamu menganggarkan sendiri jumlah gula atau susu diperlukan. Sediakan juga air kosong kerana ada tetamu yang mungkin malu meminta dari tuan rumah.

- 5 M

Ambil pendekatan 5M seperti disarankan Kementerian Kesihatan iaitu mengurangkan gula; mengurangkan garam; mengurangkan lemak/ minyak dan melebihkan buah dan melebihkan sayur.

- Keselamatan makanan

Pastikan keselamatan makanan terjaga. Makanan yang terhidang perlu ditutup dengan rapi dan pastikan ia sentiasa panas. Makanan yang terdedah dan sudah sejuk (kurang 5 darjah selsius) melebihi empat jam adalah tidak selamat dimakan. Panaskan apabila perlu. Memasang lilin di bawah sajian antara cara baik memastikan makanan sentiasa panas.

Tetamu :

- Rancang

Ketahui berapa rumah yang ingin dituju. Kalau merancang pergi ke tiga buah rumah atau lebih, makan dalam kuantiti kecil atau jamah saja. Tetapi ada juga saranan untuk makan di rumah terlebih dulu bagi mengawal nafsu makan selain mengelakkan 'mencampur adukkan' lagi makanan selain dikhuatiri sakit perut.

- Pasang niat

Niat berkunjung untuk menziarah.

Bukannya untuk makan kerana ia mendorong individu untuk makan semata- mata.

- Manis

Kurangkan minuman manis sebaliknya pilih air kosong. Air manis memberi tenaga tetapi khasiatnya kurang. Sebagai contoh air berkarbonat mempunyai antara 7 hingga 9 sudu gula.

- Lebihkan

Minum air masak serta banyakkan mengambil serat seperti buah-buahan dan sayur-sayuran.

Dr Barakatun berkata, paling utama setiap orang perlu memasang niat untuk pergi menziarahi sanak saudara berbanding menikmati sajian semata-mata. Begitu juga bagi individu yang ada penyakit, pastikan bekalan ubat tidak lupa dibawa bersama.

Keperluan kalori

- Wanita

19 - 50 tahun memerlukan kira-kira 2000 kalori (kcal).

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2180 kalori.

- Lelaki

19 - 29 tahun memerlukan kira-kira 2400 kalori

30 - 59 tahun memerlukan kira-kira 2460 kalori Makanan & kalori

- Sebiji biskut raya (7 gram) : .30 - 40 kcal

- 2 (50 g) rendang daging (lembu) : 127 kcal

- 6 potong kecil lemang : 206 kalori.

- 1 ketul ketupat daun palas : 216 kalori

- 1 mangkuk mi sup (563g) mee sup : 383 kcal

- 1 cucuk (10g) sate ayam: 23 kcal

- 1 cucuk (12g) sate lembu: 25 kcal

- 1 cucuk (15g) sate perut lembu: 33 kcal

- 1/2 cawan (86g) kuah sate: 129 kcal

- 1 gelas air kosong : 0 kcal

- 1 gelas air sirap: 1 sudu (18g)> 150 kcal

Sumber: Kementerian Kesihatan

Selamat Hari Raya Dari Obama

KUALA LUMPUR - Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan isteri Michelle hari ini mengucapkan salam Aidilfitri kepada umat Islam di seluruh dunia.

Dalam kenyataan Pejabat Setiausaha Akhbar White House, Obama berkata sejak bebarapa bulan lalu, umat Islam telah memuliakan agama mereka dengan berdoa, beribadah serta berpuasa selain menghabiskan masa dengan orang tersayang.

"Michelle dan saya mengucapkan salam (Aidilfitri) kepada umat Islam yang menyambut Aidilfitri di Amerika Syarikat dan di seluruh dunia.

"Bagi berjuta-juta rakyat Amerika, Aidilfitri merupakan sebahagian daripada pelbagai tradisi Amerika dan saya berharap agar semua Muslim diberkati dan penuh kegembiraan. Salam Adilfitri," kata Obama.

Beliau berkata iftar di White House tahun ini, beliau bangga dapat menghabiskan masa dengan ramai rakyat Islam Amerika yang mana sumbangan mereka telah menyuburkan demokrasi dan mengukuhkan ekonomi Amerika Syarikat.
"Ramai daripada kita mempunyai peluang berbuka puasa dengan sahabat Islam dan rakan-rakan - satu tradisi yang mengingatkan kita untuk bersyukur serta  menunjukkan belas kasihan kepada golongan kurang bernasib baik dalam kalangan kita, termasuk berjuta-juta rakyat Syria yang dipindah dan berjauhan dari keluarga serta orang tersayang, semasa Ramadan.

Menurut kenyataan itu, Obama berkata bagi membantu rakyat Syria ketika Aidilfitri ini, Amerika telah menyediakan bantuan makanan tambahan sebanyak AS$195 juta (RM643.6 juta) dan bantuan kemanusiaan lain, sekali gus menyaksikan sumbangan AS kepada rakyat Syria mencecah lebih AS$1 bilion (RM3.25 bilion), sejak krisis bermula. - Bernama
Sumber : sinarharian.com.my

Manusia Kini Tidak Bercakap

Semalam, umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal selepas menamatkan sebulan dugaan berpuasa dan menambah amal ibadat yang diharap berterusan walaupun Ramadan meninggalkan kita.

Di sebalik musim perayaan ini, secara tidak langsung pengguna akan merasakannya mungkin berlainan dengan kehadiran teknologi yang mengubah senario ketika berhari raya.

Berikut disenaraikan trend teknologi musim perayaan yang bakal kita rasai pada Syawal 1434 Hijrah kali ini. Ada yang positif namun mungkin ada yang perlu difikirkan bagi memberi makna raya sebenar.

1. Ucapan ‘Selamat Hari Raya’ kini digital. Lambakan aplikasi mesej di laman mesej atau sosial seperti Facebook menjadi pilihan pengguna di samping ‘sticker’.
Boleh dikatakan, pengguna zaman moden mempunyai dua jenis kad raya berbentuk digital iaitu yang dihantar melalui laman sosial dan juga masih dihantar melalui telefon bimbit.

SMS membolehkan pengguna telefon bimbit menghantar ucapan raya berupa teks dengan mesej bergambar manakala aplikasi laman sosial membolehkan pengguna menghantar gambar atau kad raya digital kepada penerima.

Penggunaan e-kad ini sangat mudah kerana penghantar hanya perlu mengetahui alamat URL laman web yang menawarkan perkhidmatan terbabit sebelum dihubungkan terus ke facebook anda.

Selepas mengunjungi laman web itu, anda hanya perlu klik pada kad pilihan hati, menulis sepatah dua perkataan, pilih lagu raya pilihan (berbentuk fail MP3) untuk iringan kad, memasukkan alamat e-mel penerima dan terus hantar.

Butang klik yang ditekan akan membolehkan ucapan raya anda terpampang di ‘Status’ atau ‘Wall’ Facebook anda atau terdapat pembekal perkhidmatan e-kad ini menghantar terus sekeping kad kepada e-mel penerima dan terdapat juga mereka hanya menghantar alamat URL dan meminta penerima mengunjungi laman web mereka untuk melihat kad raya yang diterima.

Tawaran sticker atau pelekat raya dalam laman mesej seperti Line dan aplikasi ‘emoticon’ sembang dalam Facebook pastinya memeriahkan suasana.

Tetapi, lebih baik kalau kita sendiri yang bersemuka dengan keluarga atau rakan ketika menziarah untuk bermaafan.

Jangan jadikan teknologi mengakibatkan pengguna laman sosial jarang bergaul dengan orang di sekeliling kerana terlalu asyik menghabiskan masa di depan telefon pintar.


2. Penggunaan meluas kamera jenis DSLR

Tidak dinafikan, fotografi menyemarakkan suasana hari raya dengan rakaman indah bersama keluarga.

Bayangkan selesai saja sembahyang raya, kita akan berkumpul di depan kamera untuk merakam foto beramai-ramai.

Mengambil gambar pada hari raya pertama bukan sekadar hobi untuk diisi, malah aktiviti berkenaan dapat mengeratkan hubu­ngan keluarga yang me­nyimpan pelbagai kenangan akibat lama tidak bertemu.

Penggunaan kamera digital refleks lensa tunggal (DSLR) semakin popular dalam kalangan pengguna kerana dilengkapi teknologi canggih yang menghasilkan gambar berkualiti berbanding kamera digital biasa.

Fungsi semi atau DSLR penuh menawarkan rakaman yang menggalakkan dan berupaya membangkitkan suasana ketika perayaan dengan teknologi terbina di dalamnya memungkinkan warna-warni Aidilfitri dibangkitkan.

Kini, peminat kamera DSLR boleh memilikinya dengan harga serendah RM2,500, malah boleh pula membeli produk terpakai lantaran ramai penggunanya yang menjual selepas menukar kepada kamera lebih canggih.

Antara ciri menarik dalam DSLR termasuk puluhan lensa yang boleh ditukar, sekali gus memberikan kesan berbeza. Contohnya, jika menggunakan lensa mata ikan (fisheye).

Di samping itu, peng­gunaan lensa kamera DSLR juga membolehkan kita bermain dengan bukaan lensa itu (aparture), sekali gus menghasilkan kesan lebih kreatif. Katakan pengguna meng­gunakan lensa yang mempunyai bukaan 1.4, kesan kabur pada latar belakang pasti lebih menarik.

Menggunakan kamera DSLR juga membolehkan lebih banyak sudut rakaman lebih kreatif diperoleh kerana ia senang dikendalikan dengan pel­bagai fungsi lain.

Di Malaysia, keba­nyakan kamera semi dan DSLR penuh mudah didapati dengan harga yang kompetitif sesuai digunakan ketika musim perayaan.


3. Anda sudah merakam ratusan malah ribuan foto raya, ada juga rakaman video, persoalannya, apakah langkah seterusnya?

Banyak betul foto dirakam ketika musim perayaan tetapi hanya yang benar-benar mantap saja akan dipindah naik ke Facebook, jadi mana perginya foto berlebihan? Hendak dibuang pastinya sayang.

Jadi, setoran menggunakan cakera keras mudah alih menjadi pilihan yang menjadi trend sejak akhir-akhir ini.

Terdapat produk yang dilengkapkan dengan sistem simpanan peribadi yang menggabungkan perkongsian simpanan dan akses dari jauh de­ngan tahap keselamatan sekali ganda serta pening­katan kapasiti.

Produk terbabit serasi dengan peranti Mac dan PC yang sentiasa mengekalkan salinan kedua semua fail anda untuk ‘backup’ data masa sebenar pada ruang RAID1.

Kebanyakannya disambung kepada seluruh rangkaian rumah untuk mewujudkan simpanan yang dikongsi pengguna yang kandungannya boleh diakses dari mana saja melalui sistem selamat.


4. GPS, guna telefon atau mesin GPS sebenar?

Masalah sesat untuk tiba ke sesuatu destinasi kerana tidak berapa mahir dengan jalan adalah pembaziran masa dan ini sering menjadi masalah ramai pengguna jalan raya terutama ketika mengunjungi rumah saudara jauh.

Maklumlah, setahun sekali saja berjumpa, ada juga yang baru berjumpa selepas 10 tahun, pasti banyak perubahan dan cubaan ke rumah mereka.

Kini masalah itu bukan saja dapat ditangani dengan berpandukan peta secara manual, malah secara elek­tronik sama ada menerusi telefon pintar atau alat penentu arah global (GPS).

Betul! pemandu yang mencari pembantu mencari arah elektronik mempu­nyai lebih banyak pilihan berbanding sebelum ini.

Namun, mungkinkah ada perbezaan antara GPS dengan telefon yang dileng­kapi peta digital?

Peralatan GPS asas boleh dijumpai di pasaran pada harga kurang daripada RM300 dan ia masih menjadi peranti pilihan yang pintar jika anda tidak keberatan membawa lebih gajet ketika berada dalam kenderaan selain telefon, tablet, laptop dan sebagainya.

Pembantu ketika anda berada di atas jalan itu bersedia untuk digunakan selepas ia dikeluarkan daripada kotak lengkap dengan ‘mount’ atau pemegang untuk melekat­kannya di cermin depan kereta dan pengecas.

Selain itu, ia mudah untuk digunakan dan boleh dikongsi bersama keluarga atau rakan lain. Telefon pintar pula menjadi pilihan navigasi yang semakin popular terutama dalam kalangan model yang akan datang dengan alat bantuan siap dibangunkan bersama seperti perisian bagi mengenal pasti keadaan trafik atau aplikasi khusus.

Bagaimanapun, telefon pintar memerlukan pembelian aplikasi navigasi yang boleh dipindah turun atau langganan perkhidmatan.

Beberapa aplikasi langganan navigasi juga siap terpampang di setor aplikasi telefon masing-masing tidak kisah apa jua platform digunakan termasuk garmin, Navigon, TomTom, dan Magellan.

Aplikasi ini kelihatan dan berfungsi seperti unit GPS sendiri pada antaramuka telefon pintar.

Industri minyak kelapa dara berpotensi tinggi

Pendedahan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membuka mata kepada seorang usahawan, Mohd Jaid Aspar, 60, menceburi bidang pembuatan minyak kelapa dara (VCO).

Siapa sangka usahanya bertemu pengurusan Stesen MARDI Hilir Perak, Bagan Datoh, Perak, membuahkan hasil apabila diberi kepercayaan mengusahakan produk hiliran berasaskan kelapa itu.

Mohd Jaid mengusahakan minyak kelapa dara menggunakan teknologi dibekalkan MARDI.

Dia mendapat bantuan Timbalan Pengarah Program Biopemprosesan, Pusat Penyelidikan Kanan Bioteknolgi, MARDI, Dr Kamariah Long untuk memastikan produk dihasilkan berkualiti.

Dia ditawarkan menjadi usahawan bimbingan MARDI lima bulan lalu selain diserapkan sebagai usahawan inkubasi selama dua tahun.

“Saya gembira terpilih dalam program usahawan bimbingan MARDI kerana kemampuan institusi penyelidikan itu memang terbukti.

“Menghasilkan minyak VCO berkualiti bukan mudah, tetapi dengan bantuan MARDI, saya yakin berjaya,” katanya.

Pernah terbabit dalam perniagaan air minuman soya, Mohd Jaid mengakui dirinya bertuah mendapat bimbingan MARDI.

“Dulu, perniagaan saya berskala kecil termasuk menghasilkan dodol, tetapi pemasarannya agak terhad.

“Bila dibimbing dengan teknologi, saya nampak diri saya jauh ketinggalan dan berharap bimbingan MARDI berterusan,” kata bapa kepada enam orang anak itu.

Ditanya mengenai manfaat diperoleh dirinya selepas bergelar usahawan bimbingan, Mohd Jaid mengakui agensi itu mudah dihubungi bagi meminta bantuan.

“Itu antara kelebihan MARDI dan apabila dipilih ke program ini, saya mendapat banyak pendedahan,” katanya.



Katanya, industri kelapa mampu berkembang pesat, apatah lagi Bagan Datoh, Perak antara pengeluar kelapa di negara ini.

“Bukan saja kelapa digunakan untuk membuat VCO, tapi airnya boleh dijadikan jeli kelapa dan nata,” katanya.

Minyak kelapa dara bukan saja tidak mempunyai bahan kimia, tetapi anti-bakteria serta mampu membina sistem imuniti badan.

“Ia membantu menjadikan kulit lebih cantik, lembut, licin dan halus, menyegerakan proses penggantian sel kulit yang mati, melindungi kulit dari cahaya sinar UV, melebat dan mencantikkan rambut.

“Bagi wanita hamil, amalan meminumnya membantu menjadikan bayi yang lahir mempunyai kulit cantik serta rambut lebat dan sihat.

“Ia boleh dimakan bersama ais krim, salad, roti, bubur. Paling istimewa, minyak kelapa dara baik untuk keintiman suami isteri,” katanya.

 Sumber : hmetro.com.my

Tips Melancong : Pastikan anak anda selesa

SUDAH menjadi satu amalan sesetengah masyarakat Malaysia memanfaatkan cuti panjang sempena Aidilfitri untuk melancong.
Mereka yang tiada ibu bapa di kampung halaman atau mahu bertukar angin, memilih untuk melancong ,sekali gus merasai sendiri suasana raya di perantauan.

Ada juga segelintir ma­syarakat bercuti saat Aidilfitri diraikan meriah di negara sendiri kerana ingin me­nyambutnya bersama anak, saudara atau rakan yang nun jauh di negara orang.

Apapun tujuannya, bercuti di musim perayaan ini memerlukan perancangan yang teliti terutama jika bercuti bersama keluarga dan mempunyai anak kecil.

Dengan keadaan semasa dan juga si kecil, banyak yang perlu anda titik berat­kan.

Tidak kira anda melancong dengan menaiki kapal terbang atau kereta, bas serta kereta api, segala-gala­nya harus dirancang sebaik mungkin supaya perjalanan anda mudah dan selesa.

Justeru, tip melancong kali ini mungkin dapat membantu anda mempermudahkan percutian, selain dapat meninggalkan kenangan manis bukan untuk anda saja, tetapi juga si kecil.


Jika menaiki kapal terbang

  • Bagi mengelak anda duduk terpisah dari anak, buatlah tempahan tempat duduk. Ia juga memudahkan anda menguruskan anak terutama ketika membuat pesanan makanan.
  • Pastikan anda me­nyimpan keperluan bayi dalam beg yang senang dibawa dan mudah diambil ketika diperlukan.
  • Ketika berlepas dan mendarat, berikan bayi anda susu atau makanan serta gula-gula bagi anak yang lebih besar untuk mengelak ketidakselesaan daripada tekanan dalam kabin kapal terbang.
  • Bawa makanan yang biasa bayi anda makan dan minta dipanaskan. Ia perlu kerana kebanyakan syarikat penerbangan tidak menyediakan makanan khusus untuk bayi ataupun mung­kin tidak sesuai untuk bayi anda.
  • Jangan lupa bawa permainan, buku atau majalah untuk anak anda dalam bakul kecil dan minta pihak penerbangan pek aktiviti yang mereka sediakan bagi mengelak anak kebosanan dan mula buat perangai.


    Jika menaiki kereta/kereta api/bas
  • Mulakan perjalanan anda sebelum waktu tidur anak kerana mereka mungkin lebih senang untuk tidur selepas itu.
  • Pastikan ruang belakang kereta untuk anak anda tidak dipenuhi dengan beg bagi memberikan keselesaan kepada mereka.
  • Mahu perjalanan yang selesa terutama bersama anak, membawa pemain DVD atau gajet kegemaran mereka membolehkan mereka berhibur, sekali gus tidak bosan seterusnya meragam.
  • Sebelum berangkat, tentukan hentian mana yang sesuai untuk anda berhenti seketika supaya anak boleh berjalan dan anda juga boleh berehat sebelum meneruskan baki perjalanan.
  • Jika terdapat tarikan menarik di sepanjang perjalanan, berhenti dan lihat. Ia hanya rehat seketika dan memberikan semua orang sesuatu untuk diceritakan di sepanjang perjalanan.
  • Bawalah beg parti kejutan dengan habuan seperti buku nota, krayon, pelekat dan manisan untuk memastikan mereka sentiasa terhibur.


    Tip umum untuk semua
  • Anda yang bercuti terutama bersama bayi, jangan sesekali lupa membawa tisu basah atau ‘wet wipes’. Ia sangat mustahak untuk sebarang kejadian.
  • Sediakan anak anda untuk perjalanan sebelumnya. Beritahu mereka peta di mana anda pergi dan tunjukkan risalah mengenai tempat yang anda akan lawati.
  • Beritahu si kecil masa perjalanan sebenar dan bersedia untuk mengejutkan mereka dengan betul supaya si kecil gembira ketika anda sampai awal.
  • Pakaikan mereka pakaian yang selesa dan bersesuaian de­ngan destinasi.
  • Jangan sesekali lupa untuk membawa ubat-ubatan anda dan anak ke mana saja anda pergi terutama jika anak harus memakan ubatan khusus saat sakit.

  • Sumber : hmetro.com.my

    ibu bukan Islam Suruh Tunaikan Solat

    Kuala Lumpur: “Ibu saya bukan Islam, tapi dia yang belikan sejadah dan menyuruh saya menunaikan solat. Malah, dia memasang televisyen dan menyuruh saya meniru gerak-geri orang bersolat ketika siaran solat Jumaat disiarkan secara langsung. 

    “Sebab itulah bila ibu meninggal dunia, saya benar-benar hilang tempat bergantung kerana dia bersungguh-sungguh menyuruh saya mempraktikkan Islam,” kata saudara baru yang mahu dikenali sebagai Nurul, 46.
    Ibu tunggal kepada tiga anak itu berkata, biarpun ketika itu dia sudah berkahwin dengan seorang lelaki Melayu, namun kehidupan mereka yang selalu berpindah-randah menyukarkannya mempelajari agama Islam.

    “Seingat saya, hanya sempat belajar dengan anak lelaki jiran yang berusia 11 tahun mengenai bacaan dalam solat dan surah pertama saya hafal selepas al-Fatihah adalah al-Ikhlas. Hanya surah itu saja yang mampu saya baca sehingga lima tahun,” katanya.

    Begitupun, Nurul yang memeluk Islam sejak 1997 berkata, tidak pernah menyesal, malah percaya Allah SWT adil dan menerima amal ibadatnya asalnya dia ikhlas dan melakukan dengan niat bersih.

    Sumber : hmetro.com.my

    Tips Cantik:Mekap di pagi raya

    Untuk kelihatan cantik di pagi raya, mekap jangan la dilupakan. Walaupun ianya sekadar solekan yang ringkas, namun ia mampu menaikkan seri wajah kita. 

    • Perkara paling asas ialah, bersihkan wajah dengan pencuci muka dan jangan dilupakan toner. Kemudian, gunakan pelembab wajah sebelum memulakan solekan. 
    • Sapukan sedikit foundation yang sesuai ke wajah. Jika mahukan sapuan yang lebih licin dan rata, campurkan sedikit toner ke foundation.
    • Pemakaian loose powder dan compact/ pressed powder
      • Loose powder dipakai setelah memakai alas bedak. Loose powder ini mampu menyerap minyak dan menutup pori-pori pada wajah. Pastikan tidak terlalu tebal sapuannya. Bedak tabur membuatkan wajah anda nampak lebih segar. 
      • Kemudian anda boleh sapukan sedikit compact/pressed powder selepas itu. Compact powder pula digunakan dengan atau tanpa alas bedak. Kelebihan compact powder ini ialah ia dapat menutupi lingkaran hitam
    • Sapukan sedikit pemerah pipi yang berunsurkan powder.
    • Sapukan pembayang mata yang berunsurkan powder. Pilih warna yang berunsurkan semulajadi atau warna yang sesuai dengan pakaian yang hendak digayakan.
    • Gunakan eyeliner dan maskara untuk menyerlahkan mata anda.
    • Lukis lipliner dan sapukan lipstick yang sesuai dengan warna kulit dan warna pakaian yang hendak digayakan. Jangan lupa lekapkan dengan tisu untuk menampakkan kesan semulajadi.
    • Peringatan!! Jangan mekap di dalam bilik yang gelap dan lampu yang malap. Nanti tak nampak solekan anda tu rata atau tidak.
    • Jangan lupa deodoran dan perfume agar anda berbau harum sepanjang hari.
    Sumber : avonparadise.blogspot.com

    Kartun tiada batasan

    Komik, baju-T , ‘action figure’, patung dan cakera padat antara barangan digilai mereka yang obses terhadap kartun. Hingga ada antaranya tidak pernah jemu mengumpul sekali gus memiliki beratus komik dan barangan yang dikumpul sejak kecil.
    Meskipun kartun sinonim dengan kanak-kanak tetapi bagi mereka, usia bukan penghalang untuk terus meminati apa yang disukai sejak kecil. Mengakui ada yang memandang sinis apabila mengetahui diri masih meminati kartun, apa yang penting kepuasan diri menjadi keutamaan.
    Sehingga kini, kartun atau animasi masih tetap wujud dan tidak ditelan zaman walaupun dunia semakin moden. Difahamkan, kewujudannya sudah lama iaitu sejak zaman perang dunia pertama lagi. Menurut sumber, antara yang popular dan terawal adalah Mickey Mouse.

    Hanya untuk lelaki?
    Pada zaman sekarang, pelbagai kartun dan animasi dicipta. Ada berpendapat, agak pelik apabila melihat wanita obses terhadap kartun. Benarkah peminat kartun dan animasi ini hanya sesuai diminati kaum lelaki saja? Pada pandangan penulis, ada logiknya. Kenyataan ini dapat dibuktikan apabila kebanyakan kartunis terdiri daripada lelaki dewasa contohnya Datuk Lat dan Ujang.

    Jika diimbas kembali, sejak kecil lagi, kanak-kanak lelaki lebih suka menonton rancangan kartun berbanding kanak-kanak perempuan. Mungkin jiwa lelaki lebih terarah kepada watak adiwira seperti Dragon Ball Z, Suria Perkasa Hitam, Power Rangers dan sebagainya. Namun seiring itu, terdapat juga kartun lain yang berjaya menarik minat si gadis untuk setia meminati hingga kini seperti Power Puff Girls dan Hello Kitty.


    Minat terbahagi dua

    Menurut beberapa individu tegar, dikatakan peminat kartun, komik ataupun seangkatannya terbahagi kepada dua. Pertama, setakat suka-suka baca tetapi tidak kumpul dan keduanya, mereka yang obses dan kumpul. Bagi kelompok kedua, mereka tergolong dalam kumpulan yang panggil ‘collectors’.

    ‘Collectors’ ini juga wujud dalam hobi lain seperti mengumpul barangan antik, setem, poskad, wangian mahupun kasut. Selalunya, mereka yang obses ini mempunyai beratus barangan berkaitan watak kartun yang digilai. Sebagai contoh Transformers, daripada baju, patung, pen, beg, komik, CD hinggalah kepada cadar, kertas dinding bilik dan kereta, semuanya berkaitan Transformers.

    Walaupun begitu, dikatakan bilangan peminat tegar semakin berkurangan. Tak ramai remaja atau belia suka kartun dan dianggarkan antara lima hingga 10 peratus saja jumlahnya kerana majoritinya gila bola sepak dan kereta.

    Bagi salah seorang peminat kartun, Izlan Fahmi, 26 berkata, jika ditanya mengenai minatnya kepada komik bukanlah sebab pengaruh kawan. Katanya, dia menyukai seni yang ditonjolkan.

    “Tidak seperti novel yang penuh melodrama, komik menggunakan bahasa lebih ringan dan mudah difahami. Lagi menarik apabila ceritanya penuh dengan gambar menjadikan pembacaan kita ada visual untuk lebih mengikuti jalan cerita berkenan. Bagi peminat komik tegar, bukan saja penceritaan dalam komik yang diminati, tetapi kebolehan pelukis menggambarkan emosi sesuatu watak sangat dikagumi,” katanya.


    Cambah kreativiti

    Kebanyakan remaja sekarang yang menonton filem kartun adalah untuk inspirasi kerja seni. Selepas menonton, mereka dimotivasikan dengan jalan cerita dan visual yang dipaparkan dalam filem. Ia membantu mereka untuk berfikir lebih kreatif sama ada menghasilkan filem kartun lebih baik atau imaginasi idea baru.

    Jika ada berpendapat kartun hanya sesuai untuk kanak-kanak ternyata tanggapan itu tidak sesuai. Kartun juga bagus untuk remaja dalam mengembangkan daya imaginasi dan cipta sesuatu yang baru. Tiada batasan umur untuk kita letakkan minat seseorang terhadap hobinya tetapi ia haruslah berpada-pada dan tidak terlalu obses hingga mengganggu perbelanjaan bulanan dan orang lain.

    Ditanya kepada peminat tegar ini bilakah mereka akan berhenti meminati kartun? Jawapannya hingga mempunyai anak sendiri kerana dikhuatiri koleksi kesayangan dirampas dan dirosakkan.


    Pandangan terhadap lelaki suka kartun

    Hobi adalah sesuatu yang tak boleh dihalang. Bagi wanita, ada menganggap lelaki yang meminati kartun tidak matang. Tetapi ada juga menyokong dengan berpendapat, selalunya berperwatakan lucu dan tidak terlalu serius. Comel dan mudah disenangi antara sifat yang jelas kelihatan. Hal ini dapat dibuktikan apabila beberapa selebriti tempatan yang obses kartun antaranya Dr Fazley, Afdlin Shauki dan Faizal Tahir.

    Bagi penulis sendiri, tak kisah untuk minat kartun hingga hujung nyawa asalkan tahu beza dan tidak terbawa-bawa fantasi kartun itu dalam kehidupan seharian, sudahlah.

    Buat Duit Dengan Ebook : Lima Niche yang pasti hot

    Kita tahu ebook adalah teknik paling mudah untuk jana pendapatan yang banyak di internet, namun kita seperti kehilangan arah bagaimana hendak bermula. Sebenarnya, anda tidak perlu memikirkan sesuatu yang terlalu bernas untuk jana pendapatan melalui ebook.

    Apa yang anda perlu fikirkan adalah bagaimana hendak mencari pembeli yang dahagakan maklumat yang anda jual itu. Berikut disenaraikan lima niche yang hot iaitu niche yang mempunyai bilangan pembeli yang banyak dan akan sentiasa laris.

    Niche pertama : Buat duit online.

    Untuk menjadikan ebook anda laris, anda perlu meletakkan beberapa syarat pada ebook anda sebelum anda mula menjual ebook anda. Syarat ebook tersebut adalah
    a)Teknik anda adalah logik.
    b)Anda mahir dengan teknik tersebut.
    c)Anda mampu membantu pembaca ebook anda untuk memperoleh keputusan yang sama dengan anda..
    d)Teknik adalah hasil dari percubaan anda sendiri.
    e)Sudah terbukti, semua orang boleh jana pendapatan melalui teknik anda itu.

    Niche kedua : Fitness dan weight loss.

    Niche ini amat mudah untuk di tembusi, anda hanya perlu cari kajian terbaru atau unik dan anda sudah boleh mulakan aktiviti jualan anda. Anda tidak perlukan testimoni yang hebat untuk anda jual ebook di dalam niche ini. Anda hanya perlu ada maklumat yang di dahagakan oleh orang ramai. Jual maklumat yang betul pada orang yang betul.

    Niche ketiga : Hubungan sesama manusia.

    Ini kerana manusia memang dahagakan perhubungan. Mereka mahu memiliki teman istemewa,kawan yang ramai serta keluarga yang bahagia.
    Seorang lelaki mahu memiliki teman wanita, seorang ibu mahu suaminya setia, seorang perempuan mahu menawan lelaki idaman, seorang yang kesunyian dan pemalu mahukan kawan yang banyak. Potensi jualan adalah tidak terhad. Terdapat banyak tajuk dan kaedah yang boleh anda ceburi. Bayangkan semua manusia mahukan kebahagian dan anda ada maklumat tersebut.

    Niche Keempat : Semulajadi

    Dunia semakin tercemar, itulah pendapat setiap penduduk di bumi ini. Mereka sayangkan bumi ini dan mahu lakukan sesuatu untuk menyelamatkan dunia ini dari tercemar lagi. Lalu, menggunakan produk semulajadi adalah terbaik. Manusia lebih percaya pada semulajadi dari perkara-perkara yang lain.

    Masukkan elemen semulajadi di dalam ebook anda, ia akan meningkatkan jualan ebook anda. Semulajadi merangkumi penggunaan herba, kaedah tradisional untuk menghasilkan sesuatu, teknik untuk mengurangkan pencemaran dan lain-lain.

    Niche Kelima : Hobi

    Manusia suka meluangkan masa melakukan sesuatu yang baru atau sesuatu yang mereka suka. Anda boleh wujudkan hobi baru atau jual panduan mengenai hobi sedia ada. Hobi berubah mengikut trends.

    Bagi mereka yang suka bermain permainan video, permainan video mereka berubah mengikut trends. Jadi, pendapatan anda adalah tidak terhad. Ini kerana trends sentiasa berubah. Anda boleh kaji hobi apa yang sedang hangat di sekeliling anda dan ambil kesempatan darinya.


    Popular Minggu Ini

    Kategori

    Kongsikan

    Powered by Blogger.