Mendidik dan memujuk anak-anak berpuasa pada usia muda memerlukan kebijaksanaan ibu bapa. Namun, ia perlu juga mengikut faktor umur dan kesihatan anak-anak tersebut.
Ketua Pegawai Koperasi Kuis Cell Sdn. Bhd., Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor(KUIS), Puziah Abdul Wahab berkata, ada kanak-kanak yang dengan sendiri mahu berpuasa tanpa disuruh dan ada antara mereka langsung tidak mahu walaupun disuruh berkali-kali.
Oleh yang demikian, inisiatif seperti menceritakan kelebihan-kelebihan bulan Ramadan dan pahala orang berpuasa sedikit sebanyak boleh digunakan dalam bentuk kiasan yang mudah untuk difahami.
"Contohnya, kaitkan hadis yang mengatakan 'akan dibuka segala pintu syurga ketika bulan puasa'.
"Dengan cara itu, mereka akan tertarik dan perasaan ingin tahu dengan lebih lanjut tentang fadilat tersebut dapat menyuntik semangat mereka sedikit demi sedikit," katanya.
Begitupun katanya, ibu bapa tetap perlu bijak memainkan peranan dalam memikat anak-anak untuk berpuasa seperti dengan cara membawa mereka bersama-sama membeli juadah berbuka.
Cara ini mampu menarik minat mereka untuk terus berpuasa keesokan harinya.
"Kita boleh tanya sendiri menu apa yang mereka suka untuk berbuka dan ini akan membuatkan mereka seronok untuk berpuasa lagi," tambahnya.
Pensyarah Psikologi Fakulti Pendidikan Universiti Malaya(UM), Profesor Madya Dr. Mariani Md.Nor pula berkata, bagi memujuk anak-anak belajar berpuasa mula-mula ibu bapa perlu beritahu apa maksud puasa, ganjaran, pahala dan dosa.
"Kita sedia maklum bahawa kanak-kanak sangat gemarkan permainan dan menonton kartun. Oleh itu, galakkan mereka untuk menonton rancangan kartun berunsur keislaman seperti Upin dan Ipin yang banyak memberi teladan dan pengajaran," katanya.
Ketiga, ibu bapa harus diingatkan bahawa kanak-kanak tidak boleh dipaksa untuk berpuasa.
Oleh yang demikian, mereka boleh diajar berpuasa mengikut peringkat demi peringkat.
Sebagai contoh, berpuasa dua jam, lima jam dan seterusnya mampu berpuasa penuh.
Tambah Dr. Mariani lagi, ganjaran memberi duit sebagai hadiah apabila mereka berpuasa penuh harus cuba dielakkan kerana tidak ada istilah tawar-menawar antara anak-anak dan ibu bapa.
Katanya, ibu bapa harus memahami di mana anak-anak itu adalah tetap kanak-kanak yang harus dilentur secara perlahan-lahan.
Selain daripada itu, ibu bapa perlu mengelak anak-anak daripada aktif bermain di luar kerana mungkin boleh meletihkan mereka.
Tidak hairanlah jika ini menjadi salah satu faktor mereka untuk berbuka puasa awal daripada waktu yang sepatutnya.
Walau bagaimanapun, ibu bapa turut perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan agar mampu menangani kerenah anak-anak.
"Selain daripada memberi motivasi dan semangat, usaha untuk menarik perhatian mereka seperti membuat senarai menu kesukaan seperti nasi goreng, ayam goreng, hot dog dan sebagainya dapat menaikkan semangat anak.
"Didik anak-anak supaya mengurangkan menonton televisyen juga adalah salah satu cara mudah untuk menyuruh mereka berpuasa.
"Ini kerana di televisyen terdapat banyak iklan makanan yang mungkin akan menggugat iman si kecil," katanya.
- UTUSAN
Comments :
0 comments to “Cara Pujuk Anak Berpuasa”
Post a Comment