Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Banjir Pantai Timur: Mangsa Banjir Di Terengganu Semakin Meningkat



Jumlah mangsa banjir di Terengganu terus meningkat kepada 2,432 orang daripada 833 keluarga setakat pukul 8 pagi ini berbanding 2,201 orang daripada 765 keluarga pada tengah malam tadi. Mengikut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), sebanyak 15 pusat pemindahan sementara (PPS) baharu kini dibuka di tujuh daerah menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang beroperasi di seluruh negeri kepada 64.


Daerah Besut terus mencatat kenaikan jumlah mangsa iaitu 842 orang (250 keluarga) di 23 PPS berbanding 637 orang (194 keluarga) malam tadi. Daerah Hulu Terengganu pula tidak merekodkan banyak perubahan dengan sedikit penurunan jumlah mangsa banjir iaitu 791 orang (364 keluarga) di 18 PPS berbanding 792 orang (365 keluarga) sebelum ini.


Jumlah mangsa banjir di Setiu hanya mengalami sedikit penurunan iaitu 378 orang (104 keluarga) di 10 PPS berbanding 411 orang (105 keluarga) manakala di Dungun, kekal seramai 165 orang (48 keluarga) . Jumlah PPS kekal tidak berubah di empat lokasi daerah Dungun. Situasi banjir di Marang dan Kuala Nerus pula kekal tidak berubah iaitu 71 orang (22 keluarga) di enam PPS di Marang dan di Kuala Nerus pula, terdapat 126 orang (32 keluarga) di dua PPS.


Di Kuala Terengganu yang merupakan daerah terbaharu dilanda banjir pula merekodkan hanya 59 orang (13 keluarga) berada di satu PPS berbanding 63 orang (14 keluarga) malam tadi. Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan tiada sungai di Terengganu yang melebihi paras bahaya setakat pukul 8.30 pagi ini.


Bagaimanapun, Sungai Marang di Jambatan Pengkalan Berangan masih merekodkan kenaikan iaitu 2.44 meter (m) melebihi paras amaran 2.30 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap, Setiu merekodkan bacaan 21.39 m melebihi paras amaran pada 20.75 m. Semantara itu, di Kota Bharu, jumlah mangsa banjir di Kelantan terus menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi ini dengan 6,961 mangsa dipindahkan berbanding 5,016 orang setakat 9 malam tadi.


Tumpat merupakan jajahan terbaharu dilanda bencana itu apabila 28 mangsa daripada enam keluarga dipindahkan ke sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) pagi ini. Setakat ini, 90 PPS dibuka di sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.


Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatat jumlah mangsa paling ramai iaitu 2,963 orang daripada 1,145 keluarga yang dipindahkan ke 34 PPS, diikuti Kota Bharu dengan 1,261 mangsa daripada 310 keluarga dipindahkan ke 11 PPS. Di Machang, 685 mangsa daripada 212 keluarga masih tinggal di tujuh PPS manakala 589 mangsa daripada 185 keluarga ditempatkan di enam PPS di Pasir Puteh.


Di Tanah Merah pula, 560 mangsa daripada 149 keluarga dipindahkan ke 17 PPS manakala di Jeli, 345 mangsa daripada 95 keluarga ditempatkan di tiga PPS. Sejumlah 304 mangsa daripada 73 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Bachok manakala di Kuala Krai, seramai 226 mangsa daripada 55 keluarga ditempatkan di sembilan PPS.


Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas meningkat kepada 10.56 meter pada 8 pagi ini berbanding 10.44 meter pada 9 malam tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter. Hujan kadangkala lebat masih dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Kelantan malam tadi.


Sumber : Bernama

Comments :

0 comments to “Banjir Pantai Timur: Mangsa Banjir Di Terengganu Semakin Meningkat”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.