Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Mudah Terpedaya: 'Pegawai' Songlap RM18,700



Subang Jaya: Dua individu masing-masing kerugian RM14,200 dan RM4,500 selepas menjadi mangsa penipuan sindiket di dua lokasi berasingan dekat sini, semalam. Kejadian pertama membabitkan pegawai swasta lelaki berusia 40 tahun yang menerima panggilan daripada lelaki mendakwa sebagai 'pegawai bank' di Terengganu dan memaklumkan mangsa mempunyai pinjaman peribadi tertunggak RM30,000.


Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, berkata mangsa menafikan membuat pinjaman dan suspek memberitahu kemungkinan data peribadinya disalah guna. "Mangsa kemudian disambungkan ke talian didakwa Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu sebelum bercakap dengan 'Sarjan Alias' yang memaklumkan semakan kad pengenalan mendapati dia terbabit dengan kes dadah serta penipuan wang.


"Mangsa juga didakwa bersubahat dengan 'suspek' yang sudah ditangkap manakala akaun bank miliknya akan dibekukan untuk siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Mohammad Azlin berkata, mangsa kemudian berhubung dengan 'Inspektor Imran' yang memintanya mengeluarkan semua bagi mengelak akaun dibekukan.


"Mangsa yang terpedaya melakukan transaksi ke akaun lain miliknya dan memberi nombor akaun, butiran pengenalan diri serta kata laluan ATM. "Dia juga dilarang memaklumkan perkara itu kepada sesiapa dalam masa dua jam," katanya.


Beliau berkata, mangsa menyedari ditipu apabila menerima mesej TAC untuk melakukan pemindahan wang dan mendapati suspek melakukan perkhidmatan perbankan dalam talian bagi memindahkan wangnya berjumlah RM14,200. Dalam kes kedua, seorang penolong pegawai perakaunan membuat laporan berhubung lelaki warga Amerika yang dikenali menerusi laman sosial dan mendakwa bertugas sebagai pensyarah di Universiti Southern California.


"Mangsa mendakwa mengenali lelaki itu menerusi Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak September lalu. "Suspek mendakwa ingin menghadiahkan wang AS$100,000 bersama telefon pintar, tablet dan komputer riba kepada mangsa tetapi ditahan pihak kastam," katanya.


Beliau berkata, mangsa kemudian menerima panggilan daripada individu mendakwa sebagai 'pegawai kastam' dan memintanya membayar cukai pelepasan kerana barang dihantar kononnya membabitkan nilai besar. "Mangsa yang percaya memberikan nombor akaunnya dan membuat transaksi pembayaran berjumlah RM4,500," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.


Comments :

0 comments to “Mudah Terpedaya: 'Pegawai' Songlap RM18,700”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.