Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Kes Pusat Tahfiz: Dua Lepas, Bebas Tuduhan Dadah


KUALA LUMPUR - Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dan remaja 16 tahun yang didakwa membunuh pelajar dan guru Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah hari ini dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Kanak-Kanak daripada pertuduhan memasukkan dadah ke dalam badan mereka.


Majistret Zilfinaz Abbas membuat keputusan itu selepas laporan patologi yang dikeluarkan Makmal Patologi Hospital Kuala Lumpur mendapati kanak-kanak dan remaja itu bebas pengaruh dadah.


Prosiding itu berjalan secara tertutup dan pihak media tidak dibenarkan memasuki galeri mahkamah.


Sementara itu, Peguam Noor Svetlana Mohd Noor Nordin yang mewakili kanak-kanak terbabit dan Joanne Chua Tsu Fae yang bertindak bagi pihak remaja itu berkata, susulan laporan patologi berkenaan, pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan terhadap kedua-dua anak guam mereka.


"Laporan patologi terhadap anak guam saya negatif dan pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan terhadapnya dan dilepas dan dibebaskan," katanya sambil menambah bahawa ahli keluarga kanak-kanak itu bersyukur dengan perkembangan kes itu.


Dalam pada itu, meskipun lepas bebas tuduhan berkaitan dadah, remaja berusia 16 tahun itu tidak boleh dibebaskan kerana menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu membunuh 21 orang pelajar dan dua guru Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah.


Sementara itu, mahkamah menetapkan 5 Januari depan untuk sebutan dan serahan dokumen bagi kes membabitkan seorang lagi remaja yang mengaku tidak bersalah tuduhan dadah.


Kanak-kanak dan remaja terbabit didakwa memasukkan dua jenis dadah iaitu ganja dan syabu ke dalam badan di tandas Pejabat D7 Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), di sini pukul 11.35 pagi, 16 September lepas.


Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun serta perintah pengawasan polis selama dua tahun.


Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Othman Abdullah serta Timbalan Pendakwa Raya Nurakmal Farhan Aziz dan Nordin Ismail.


Sumber - Sinar Harian

Comments :

0 comments to “Kes Pusat Tahfiz: Dua Lepas, Bebas Tuduhan Dadah”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.