Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Pesan Sultan Johor Kepada Orang Melayu Sempena Hari Keputeraan


KUALA LUMPUR: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menyampaikan pesanan khas buat seluruh orang Melayu khususnya di negeri itu sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-59, hari ini.


Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Royal Press Office, Sultan Johor menzahirkan kebimbangan yang sangat mendalam terhadap kemelut yang menghantui orang Melayu ketika ini.


Titah Sultan Johor, meskipun baginda bersyukur dengan pembangunan pesat dan sikap toleransi kaum dan agama yang begitu tinggi dalam kalangan rakyat Johor, namun isu perebutan kuasa yang berlaku dalam kalangan pemimpin Melayu kini boleh menyebabkan perpecahan.


“Sebagai raja yang telah berjanji dan berikrar untuk menjaga kepentingan orang Melayu dan agama Islam, saya tidak akan membiarkan krisis perebutan kuasa antara pemimpin Melayu terus berlaku yang akhirnya membuatkan orang Melayu berpecah belah dan menjadi lemah.


“Dari hari ke sehari, orang Melayu terheret dengan krisis kredibiliti yang mencabar imej dan kepercayaan, kepada institusi yang dipimpin oleh orang Melayu, yang akhirnya menyusutkan keyakinan, pengaruh dan kuasa sebenar orang Melayu.


“Kesusutan sebegini membuatkan hati saya merasa bimbang dan saya mengambil pendirian untuk mengingatkan orang Melayu supaya mencari penyelesaian dengan segera,” titah baginda dalam kenyataan tersebut, hari ini.


Tambah baginda, apapun yang berlaku, kepentingan dan pengaruh orang Melayu mesti dijaga sebaik-baiknya tanpa sebarang kompromi dan berdolak dalih, khususnya di Johor yang menjadi tempat bermulanya perjuangan Melayu yang paling tersusun dan berjaya.


Justeru itu titah baginda, orang Melayu digesa supaya bangkit bersatu padu menjadi sebuah bangsa yang besar dan berpengaruh tanpa perlu menyinggung atau mengenepikan bangsa lain.


“Jangan hanya sibuk melaungkan tentang hak keistimewaan tetapi sesama bangsa Melayu, hidup leka dan bersengketa.


“Pemimpin mesti mengambil segala pendekatan dan mencari jalan terbaik untuk menjadikan kedudukan orang Melayu lebih baik dan dihormati,” titah Sultan Johor.


Baginda turut menasihatkan semua pemimpin Melayu supaya bermuafakat dan duduk semeja berbincang dalam mencari jalan penyelesaian bagi memastikan maruah dan kepentingan orang melayu sentiasa terbela.


“Tunjukkan keikhlasan dalam perjuangan untuk membela nasib orang Melayu, bukannya mengambil segala kesempatan untuk kepentingan diri sendiri sahaja.


“Kembalikan rasa percaya dan rasa setia orang Melayu kepada para pemimpinnya. Saya yakin, dengan adanya perdamaian dan permuafakatan, segala masalah dan cabaran akan dapat di atasi demi mencapai tujuan yang sama untuk mengukuhkan kedudukan dan pengaruh orang Melayu,” titah baginda.


Sementara Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dalam catatan di laman Facebooknya hari ini menyampaikan ucapan kepada Sultan Johor sempena ulang tahun keputeraan suami baginda.


“Selamat ulang tahun kepada Sultanku, suamiku dan teman hidupku. Semoga Allah memberkatimu dengan kesihatan yang baik, dan semoga kita dapat berkongsi lebih banyak tahun bersama anak-anak dan cucu tercinta,” tulis Permaisuri Johor.


Sumber - Malaysian Digest

Comments :

0 comments to “Pesan Sultan Johor Kepada Orang Melayu Sempena Hari Keputeraan”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.