Berbaring beri merpati makan  
  • Jamaluddin baring di bahu jalan supaya merpati dapat makan di sisinya.

KANGAR - Aksi seorang lelaki yang berbaring di bahu jalan dan menabur makanan burung di sekeliling badannya ternyata menarik perhatian orang ramai yang melalui Jalan Bukit Lagi, dekat sini.

Jamaluddin Abdul Ghani, 64, berkata, dia tidak kisah dianggap kurang siuman asalkan dia puas hati dapat memberi makan dan mendekati burung itu.

Katanya, makanan itu tidak diberikan begitu sahaja sebaliknya dia akan baring di bahu jalan setelah menabur sambau di sekeliling badannya.

“Saya mahu mendekati burung ini dengan cara saya tersendiri. Saya nak mereka makan dekat dengan anggota badan saya kerana ia akan membuat saya tenang dan gembira.

“Tak kisah kalau orang nak anggap saya kurang siuman atau sebagainya, janji saya rasa lega selepas memberi burung-burung ini makan,” katanya yang setia memberi merpati di situ makan sejak tiga bulan lalu.

Menurutnya, dia sanggup membelanjakan kira-kira RM800 setiap bulan hanya untuk membeli makanan kepada burung merpati liar di situ.

Menurutnya, perasaan cintakan haiwan mergastua itu menyebabkan dia tidak kisah menghabiskan wang untuk membeli sambau yang merupakan makanan bijirin untuk ayam atau burung.

“Saya beli sambau ini dengan harga RM160 seguni yang hanya akan bertahan sekitar lima hari sahaja sekiranya lebih 100 ekor merpati akan makan di sini.

“Setiap hari saya akan ke sini kira-kira jam 11 pagi dan akan datang semula selepas waktu Asar untuk memberi merpati ini makan,” katanya.

Jamaluddin yang bekerja sendiri berkata, dia kini semakin serasi dengan merpati di situ malah burung-burung itu semakin jinak dan menunggu kehadirannya setiap hari.

“Burung-burung merpati ini seperti sudah maklum waktu kehadiran saya dan akan menunggu saya pada waktu yang sama setiap hari,” katanya.

Sumber