Sedihnya, ada diantara spesis haiwan-haiwan ini telah pupus dari muka bumi kita. Tidak mungkin bagi kita dan generasi akan datang dapat melihat spesis haiwan ini lagi biarpun suatu ketika dulu haiwan-haiwan ini hidup melata di muka bumi mahupun terbang bebas di angkasa.
Po'ouli
Burung Po'ouli atau Black Faced Honeycreeper ini merupakan peghuni asli Maui, Hawaii. Spesis burung ini ditemui sekitar tahun 1970an oleh para pengkaji spesis.
Namun selepas itu, popularitinya mula menurun dengan mendadak. Hanya beberapa ekor sahaja yang tinggal, lebih kurang tiga ekor yang masih lagi hidup di dunia ini.
Pada tahun 2004, kelibat burung Po'ouli langsung tidak kelihatan lagi dan secara rasminya burung ini telah diisytiharkan pupus pada tahun tersebut.
Puncanya, akibat kerakusan manusia terhadap pembangunan sehingga memusnahkan habitat burung Po'ouli di Kepulauan Hawaii.
Katak Emas
Katak emas (Golden Toad) dipercayai pupus dari muka bumi pada tahun 1989. Katak yang berbadan kecil, berkilat dan warnanya yang terang ke'orenan' pernah terdapat di rantau kecil di altitud tinggi Costa Rica.
Sebelum ini amfibia fluorescent itu sangat mudah dijumpai di kaki-kaki bukit Costa Rica.
Tetapi, kesan daripada pencemaran dan pemanasan global, spesis ini mula menghilang dan akhirnya telah pun pupus pada tahun 1989.
Rama-rama Putih Madeira
Rama-rama putih Madeira merupakan rama-rama yang sangat cantik. Rama-rama yang berwarna putih ini hanya boleh ditemui di lembah-lembah hutan Laurisilva di Kepulauan Madeira, Portugal.
Rama-rama jenis ini memiliki hubungan paling dekat dengan spesis rama-rama putih yang banyak didapati di seluruh Eropah, Afrika dan Asia.
Rama-rama ini dipercayai telah pupus pada tahun 2007 oleh para penyelidik spesis. Punca kepupusan rama-rama ini adalah disebabkan kemusnahan habitat asalnya.
Peningkatan bilangan manusia menyebabkan banyak kawasan hutan diratakan untuk proses pembangunan. Kesannya, banyak habitat haiwan dan serangga yang tergadai termasuklah rama-rama putih Madeira.
Badak Hitam Afrika Barat
Badak hitam Afrika Barat adalah salah satu spesis badak daripada empat subspesis badak yang lenyap di atas muka bumi ini pada tahun 2006. Tujuh tahun lalu, satu lagi spesis binatang telah lenyap diatas muka bumi ini.
Setelah pengkaji haiwan gagal menemui spesis ini dalam habitat mereka di Cameroon, Afrika Selatan. The World Conservation Union (IUCN) telah mengumumkan pada 7 Julai 2006, badak hitam Afrika Barat telah pupus.
Punca kepupusan badak hitam Afrika Selatan adalah akibat aktiviti pemburuan haram yang berleluasa untuk mendapatkan sumbu badak yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.
Kesannya, badak hitam Afrika Barat lenyap keturunannya dari muka bumi ini.
Kambing Gunung (Pyrenean Ibex)
Kambing gurun atau kambing gunung dari spesis Pyrenean Ibex merupakan haiwan asli dari Pyrenees, sebuah kawasan pergunungan di Andora.
Pada abad ke-14 populasi Pyrenean Ibex masih lagi banyak. Namun, pada abad ke-19 populasinya mula menurun dan berkurangan angkara pemburu haram yang berleluasa.
Awal abad ke-20 di Sepanyol, jumlah Pyrenean Ibex hanya tinggal lebih kurang 100 ekor sahaja. Pada tahun 1981 jumlah populasi haiwan ini semakin menurun. Lama-kelamaan jumlah Pyrenean Ibex di atas muka bumi hanya tinggal sekitar 30 ekor sahaja.
Pada 6 Januari 2000, dikatakan Pyrenean Ibex terakhir di dunia telah mati ketika berusia 13 tahun.
Harimau Tasmanian (Thylacine)
Haiwan karnivor ini digelar harimau Tasmanian kerana jalurnya ala-ala harimau belang yang terdapat di belakang badannya.
Keunikan haiwan ini telah menarik minat ramai saintis. Haiwan ini berhabitat di benua Australia, Tasmania dan New Guinea.
Harimau Tasmanian ini telah diumumkan pupus secara rasminya pada tahun 1936. Punca kepupusan harimau Tasmanian dipercayai akibat pemburu haram yang berleluasa dan berterusan.
Malah habitatnya pun turut terancam akibat daripada pembangunan yang tidak terancang.
Burung Dodo
Dodo ialah haiwan yang telah pupus tetapi paling popular di dunia. Banyak peribahasa sering dikaitkan dengan dodo seperti 'As dead as a dodo' yang membawa maksud, kematian yang meragukan dan pelik.
Seperti peribahasa ini, kematian dodo pelik kerana dodo dikatakan pupus secara tiba-tiba.
Suatu ketika, dodo boleh dilihat berkeliaran seperti mana ayam-ayam dan itik-itik di kampung.
Dodo adalah burung yang tidak boleh terbang. Ia sering bersarang di atas tanah seperti mana ayam dan itik.
Habitat asal dodo adalah di Kepulauan Mauritius. Dodo dipercayai telah pupus disekitar penghujung abad ke-17 lagi.
Ular Boa Round Island
Ular ini merupakan spesis asal, Round Island iaitu sebuah pulau kecil di pantai Mauritius. Reptilia Boa Round Island lebih suka tinggal di puncak ataupun lapisan tanah di lereng-lereng gunung berapi.
Ular ini juga pernah dijumpai di beberapa pulau lain di sekitar Mauritius, tetapi jumlahnya telah menurun pada tahun 1940an dan akhirnya hanya boleh ditemui di Round Island pada sekitar tahun 1949.
Seterusnya, ular ini kali terakhir dilihat manusia pada tahun 1975 dan dipercayai telah pupus.
Pembaca sekalian, sempena Hari Haiwan Sedunia pada 4 Oktober ini, marilah kita bersama-sama mencintai haiwan. Menjaga haiwan daripada kepupusan bererti menjaga kelangsungan hidup manusia di planet bumi ini.
-Sentiasapanas.com
Comments :
0 comments to “Spesis Mergastua Yang Telah Pupus Di Muka Bumi”
Post a Comment