Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Para Graduan Wajib Menimbangkan Program SL1M Sebagai Satu Pilihan



Graduan yang masih me­nganggur atau belum mem­peroleh pekerjaan ber­se­suaian dengan kelayakan wa­jar merebut peluang menyer­tai latihan yang disediakan ke­rajaan melalui program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M). Skim ini diper­kenalkan sejak 2011 untuk me­latih graduan yang sukar menda­pat pekerjaan kerana tidak mem­pu­­nyai kepadanan kemahiran dalam industri dengan mengikuti latihan pekerjaan di syarikat-syarikat pelaksana SL1M.


Secara umumnya SL1M bertindak sebagai platform latihan kebolehpasaran graduan dengan memberi penekanan kepada lima as­pek pembangunan diri graduan melalui modul SL1M iaitu, komunikasi berkesan, pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah, menyesuaikan diri dalam organisasi, suntikan semangat untuk berjaya dan tatatertib dan protokol dalam dunia korporat.


Peserta mengikuti program ini akan menjalani soft-skills training dan on-the-job training dengan pihak syarikat yang mengambil bahagian namun SL1M adalah program berbentuk sukarela dan mengikut minat masing-masing yang mana tiada paksaan untuk mengikutinya. Jangka masa bagi program ini adalah bergantung kepada keperluan pihak syarikat yang melatih dengan tempoh maksimum adalah selama 12 bulan. Kumpulan sasaran program ini ialah graduan menganggur daripada keluarga berpendapatan rendah dan gra­duan bekerja tetapi tidak setaraf dengan ijazah.



Graduan yang sukar memperoleh pekerjaan, mendapati dirinya kurang keyakinan, kurang pengalaman, pengetahuan dan kemahiran wajar mengikuti program SL1M kerana melalui program ini mereka diberi pendedahan secara langsung realiti sebenar dunia pekerjaan. Mereka akan ditempatkan di syarikat dan organisasi besar di mana sepanjang program ini pelatih dilayan sama seperti pekerja tetap orga­nisasi itu. Melalui kaedah ini pelatih diberi sepenuh peluang untuk merasai sendiri segala pahit manis dan sepak terajang dunia pekerjaan sebenar. Dengan ini mereka dapat menimba pelbagai pengalaman dan kemahiran.


Justeru ada dua isu yang sering menarik perhatian dalam pelaksanaan program SL1M ini iaitu masih ramai graduan gagal untuk merebut peluang mengikuti program ini dan kedua, peng­libatan pihak swasta dan korporat dalam menyokong pelaksanaan program ini dilihat masih belum mantap sepenuhnya.


Sehingga kini lebih dari 120,000 graduan mendapat peluang pekerjaan setelah mengikuti program ini namun kita percaya bilangan graduan yang menganggur adalah jauh lebih ramai dari angka tersebut. Malah ramai juga bekerja tapi tidak setaraf dengan kelayakan ija­zah mereka. Jadi persoalannya, kenapa mereka tidak mahu me­nyertai peluang keemasan yang disediakan oleh pihak kerajaan melalui program SL1M ini?


Percayalah latihan industri selama tiga hingga enam bulan dilalui ketika bergelar mahasiswa masih belum cukup meyakinkan majikan menerima mereka sebagai seorang calon berpengalaman mahupun memiliki kemahiran diperlukan. Pada hari ini majikan mahukan individu yang tidak perlu banyak diberi latihan lagi apabila dilantik kerana ini sekali gus akan menjimatkan masa dan kos latihan kepada majikan. Di samping itu, kita juga perlu terima hakikat tahap keyakinan majikan terhadap graduan yang baharu bergraduat masih tidak begitu memberangsangkan.



Tambahan pula majikan juga masih mempunyai persepsi betapa kelayakan ijazah kelas pertama sekalipun masih belum mampu membuktikan calon ter­sebut boleh jadi hebat dalam dunia pekerjaan sebenar. Jadi diharapkan graduan yang masih menganggur segera merrebut peluang disediakan oleh pro­gram SL1M ini. Tiada ruginya berkorban sedikit masa dengan mengikuti program ini untuk meraih pengalaman dan kemahiran. Jangan anggap tempoh latihan sekitar enam hingga 12 bulan sebagai suatu yang membebankan mahupun merugikan masa kerana tempoh inilah bakal memberi nilai tambah yang sangat besar dan signifikan kepada kelayakan ijazah yang kita miliki.


Dalam konteks ini penulis juga ingin memberi nasihat agar gra­duan bertindak bijak dengan memilih syarikat bersesuaian untuk mengikuti program ini kerana kita tetap berharap agar syarikat tersebut bukan saja melatih tetapi jika ada peluang terus menawarkan peluang kerja selepas tempoh latihan tersebut.


Diharapkan juga lebih banyak lagi syarikat korporat tampil menawarkan program ini kepada graduan. Sehingga kini dikatakan lebih 25 syarikat dan 985 majikan menyertainya. Anggaplah ini sebagai tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat. Secara prinsipnya kerajaan ti­dak pernah mewajibkan syarikat pelaksana supaya menye­rapkan pelatih sebagai pekerja tetap selepas latihan sebaliknya berharap­kan platform latihan sebagai persediaan kepada graduan. Dan pada masa sama, program ini turut memberi kelebihan kepada syarikat untuk memilih graduan berpotensi yang telah mereka latih dan gilap.


Jadi syarikat diberi kebebasan dan tidak terikat dengan sebarang komitmen untuk sediakan kerja tetap kepada pelatih. Kita percaya antara punca keengganan syarikat menyertai program ini adalah kerana gagal memahami konsep asal dan mekanisme latihan program ini. Diharap syarikat dan majikan akan memahami falsafah dan aspirasi di sebalik pelaksanaan program ini.


PENULIS ialah Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).


Sumber : Utusan

Comments :

0 comments to “Para Graduan Wajib Menimbangkan Program SL1M Sebagai Satu Pilihan”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.