KUALA LUMPUR: "Masa kejadian, saya sedang masak, baru buka kedai. Tiba-tiba saya dengar jeritan orang minta tolong. Saya tengok dah ada asap tebal dan api mula marak. "Saya guna alat pemadam api untuk padamkan api yang menyala di dinding rumah, tetapi api tu padam sekejap saja, kemudian ia menyala balik," kata Syawal Indra, saksi kebakaran di Kampung Baru pagi ini.
Pemilik kedai makan itu ditemui selepas api berjaya dipadamkan anggota bomba dalam kejadian yang membabitkan 15 rumah setinggan dekat Lorong Raja Muda Musa Enam, Kampung Baru, hari ini. Ketua Cawangan Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Ahmad Adli Abdul Rahman sementara itu berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9:39 pagi.
Menurutnya, api berjaya dikawal sekitar 10:12 pagi dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan. "Usaha memadam kebakaran sedikit mencabar memandangkan kedudukan rumah yang agak rapat dan ia antara punca kenapa api merebak dengan cepat.
"Jumlah kerugian dianggarkan sekurang-kurangnya RM500,000," katanya ketika ditemui media di lokasi kejadian. Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tiba di lokasi pada 11:25 pagi memuji tindakan pantas bomba dan pihak berkuasa mengawal kebakaran.
Beliau turut meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyediakan penempatan sementara buat mangsa yang tinggal sehelai sepinggang selepas semua harta benda hangus dalam kejadian berkenaan. Astro AWANI dimaklumkan mengenai kejadian tersebut pada jam 9:48 pagi menerusi pembaca kami di Facebook yang menggunakan nama Ct Baizura.
Sumber : Awani
Comments :
0 comments to “Kebakaran Kampung Baru - Saksi Dedahkan Situasi Sebenar”
Post a Comment