BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengutuk keputusan undian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, yang menolak keputusan Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negaranya.
Bagaimanapun, Netanyahu berkata, beliau berpuas hati dengan jumlah negara yang tidak terbabit dalam undian itu.
"Israel menolak sepenuhnya resolusi yang tidak masuk akal ini. Baitulmaqdis adalah ibu negara kami, selama-lamanya," katanya dalam video yang dimuat naik secara atas talian oleh jurucakapnya.
Dalam proses undian semalam, resolusi itu mendapat sokongan 128 negara dan menerima bantahan dari sembilan negara.
Selain Amerika Syarikat dan Israel, resolusi dibantah oleh Guatemala, Honduras, Togo, Micronesia, Nauru, Palau dan Kepulauan Marshall.
Sebanyak 35 negara memilih berkecuali, termasuk Argentina, Australia, Kanada, Croatia, Republik Czech, Hungary, Latvia, Mexico, Filipina, Romania dan Rwanda. - AFP
Comments :
0 comments to “Netanyahu kutuk negara sokong resolusi PBB”
Post a Comment