LA PAZ, Mexico – Enam mayat ditemui tergantung di beberapa jambatan di Baja Califonia, wilayah yang dikenali kerana pantainya yang cantik dan popular dalam kalangan pelancong asing, kata pihak berkuasa.
Kesemua mayat itu ditemui sepanjang beberapa lebuh raya menuju ke lapangan terbang antarabangsa di La Paz, San Jose del Cabo dan Cabo San Lucas.
Kawasan itu yang menghadap Lautan Pasifik, menempatkan resort kegemaran pelancong Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Eropah.
“Mayat itu digantung pada tiga buah jambatan, dua mayat pada setiap jambatan,” kata pihak pendakwa raya sambil menambah, identiti mangsa-mangsa belum dapat dipastikan.
Sejumlah 409 orang dibunuh di kawasan pelancongan itu bermula dari Januari hingga Oktober tahun ini, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2016.
Geng-geng dadah di Mexico berperang untuk menguasai laluan yang digunakan untuk menyeludup dadah ke AS di samping perebutan kawasan untuk menjual narkotik kepada pelancong luar.
Lebih 196,000 orang terbunuh di Mexico sejak akhir tahun 2006 apabila kerajaan persekutuan melancarkan kempen membasmi dadah yang diterajui oleh tentera. – AFP
Comments :
0 comments to “Enam mayat ditemui tergantung di Mexico”
Post a Comment