Seorang bayi baru lahir yang masih bertali pusat ditemui di depan rumah penghuni di Jalan Selasih, Kampung Kurnia Jaya, Kamunting, Taiping, pada jam 2.15 pagi hari ini selepas terdengar tangisan bayi berkenaan, lapor Harian Metro.
Pemangku Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Razlam Ab Hamid berkata, bayi berkenaan ditemui dibalut dengan kain langsir dalam beg plastik hitam di dalam sebuah kotak yang ditinggalkan di tepi pasu bunga rumah.
Difahamkan, penghuni rumah berkenaan terdengar tangisan bayi sebelum memeriksa kawasan sekeliling rumah dan menemui bayi itu.
Saksi yang menemui bayi itu kemudian menghubungi talian kecemasan sebelum membawa bayi berkenaan ke Hospital Taiping.
"Bayi seberat lebih dua kilogram itu berada dalam keadaan aktif dan menurut doktor, bayi itu baru dua jam dilahirkan. Pemeriksaan ke atas kain langsir membalut bayi itu menemui satu nota,” katanya.
"Tolong jaga anak ini baik-baik. Maaf sebab saya terpaksa buang dia, tapi saya akan melihat dia dari jauh. Tolong jangan bagi tahu dia, beritahu lah mak cik pak cik adalah ibu dan bapa kandung dia. Maaf sekali lagi.
"Saya tidak dapat jaga dia tapi saya sangat sayangkan dia, maaf saya datang dari jauh, dengan harapan inginkan kebaikan kepada anak saya, biarkan dia hidup bahagia, janganlah bagi orang kutuk, hina dia anak haram, tolong jaga dia dan jangan bagi tahu orang luar selain keluarga."
Razlam berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Sumber - TheReporter
Comments :
0 comments to “'Maaf Saya Terpaksa Buang Dia, Tolong Jaga Dia Baik-Baik'”
Post a Comment