Gambar yang berikan ini adalah gambar “Ubat” yang diberikan kepada seorang anak kecil yang telah tiada lagi 😭
Hati si ibu rasa bersalah kerana atas desakan kaum keluarga yang ingin membantu telah mengesyorkan pemberian “ubat-ubat” tersebut kepada bayinya yang mempunyai masalah kesihatan berkaitan genetik.
Setelah beberapa minggu anak kecil ini dipaksa makan “ubat-ubat” akhirnya anak kecil ini dikejarkan ke hospital apabila muntah hitam pekat keluar daripada mulut si kecil ini.
Sebelum ke hospital si ibu sempat bertanyakan kepada si penjual produk (ahli keluarga/sanak saudara) apa yang perlu dilakukan...inilah jawapan mereka;
Ibu; "Masa anak saya muntah. Hitam. Pekat. Likat. Saya terkesima. Saya tanya pada penjual apa perlu saya buat. Dia kata, jangan bawa ke hospital. Itu nyahtoksik. Itu proses membuang semua sisa penyakit. Itu tanda proses penyembuhan. Teruskan ambil ubat tersebut dalam tempoh dua minggu"
Hati si ibu ini tidak mahu ikut lagi saranan mereka. Anak kecil itu dibawa ke hospital. Apabila tiba di Hospital keadaan anak kecil ini semakin bertambah teruk setelah mengambil produk-produk ‘ubat’ tersebut.
Kelihatan anak kecil itu sudah tidak bermaya. Organnya membesar secara tidak normal, jaundice yang teruk (Kekuningan seperti dilumurkan kunyit satu badan). Pihak hospital cuba membantu anak kecil ini, namun apakan daya, Allah lebih menyayanginya.
Hati si ibu masih bersedih dan wujud rasa kekesalan; "Saya tak dapat lupa macam mana anak saya meraung dan menangis tidak mahu makan ubat itu. Saya juga tak mampu lupa wajah anak saya, saat saya paksa dia makan nestum khas tersebut serta ubat-ubat segenggam yang perlu dihancurkan ataupun dibuka kapsul sebelum diberi kepada anak saya"
Ditambahkan lagi apabila ahli keluarga menyalahkan si ibu kerana bawa anak itu ke hospital. Bagi mereka punca kematian anak itu adalah kerana dibawa ke hospital dan tidak mengikut saranan mereka dalam rawatan menggunakan produk tersebut.
Entahlah...
Kesal sudah tidak berguna lagi. Semestinya seperti yang saya terangkan dalam wawancara pagi tadi, si penjual produk akan mencari pembeli produk mereka. Semestinya golongan yang terdesak dan berharap seperti si ibu ini telah menjadi mangsa tipu daya helah mereka.
Bayi tidak boleh diberikan ubat-ubatan sebarangan. Ahli profesional kesihatan juga sangat berhati-hati dalam pemberian ubat untuk golongan kanak-kanak terutama bawah umur 2 tahun.
Dos ubat juga sangat berbeza dan bergantung kepada berat bayi atau kanak-kanak tersebut. Tambah pula jika bayi atau kanak-kanak tersebut memang ada masalah kesihatan....sudah pasti bukan sebarangan ubat atau apa-apa produk tambahan boleh diberikan kepada bayi atau kanak-kanak istimewa ini.
Lihat sahaja...Apabila sudah nyawa terpisah dari jasad. Siapa mahu ambil tanggungjawab? Penjual mahu terima segala derita jiwa si ibu?
Untuk makluman ‘ubat-ubat’ ini dijual sehingga mencecah harga RM4 ribu. Begitulah terdesak dan berharapnya si ibu ingin melihat anak kecilnya sembuh...namun harapannya bertukar tragedi apabila si anak kecil itu bukan sahaja meninggalkannya buat selama-lamanya, malah meninggalkan rasa rasa perit derita dan kekesalan.
Hingga saat ini, ahli keluarga (yang menjual produk tersebut) masih salahkan si ibu tadi kerana tidak bagi makan ‘ubat-ubatan’ itu dengan betul. Si ibu dilabel ‘degil’ dan bukan salah 'ubat' tersebut. Allahuakbar....
Jiwa saya sedikit kacau mendengar kisah ini. Kami pengamal kesihatan media sosial telah berkali-kali memberi tahu bahaya produk-produk seperti ini, dijual oleh bukan orang yang ahli, dan bahayanya sesiapa sahaja yang ingin mengetahui berkaitan penyakit atau produk bertanyakan kepada si penjual produk.
Kami tahu ada dalam kalangan anda terdesak untuk mencari kesembuhan bagi penyakit yang anda atau ahli kaum keluarga anda alami. Namun kami dalam bidang kesihatan tidak akan memberi janji-janji kosong jika realitinya sesuatu penyakit itu tiada kesembuhan lagi dijumpai. Kami bukan menjual harapan.
Seluruh rakan M3 saya marah. Kami kesal, kami kecewa. Kenapa, nyawa bayi tidak berdosa dipermainkan?
Entah berapa ramai lagi mangsa mereka.
Saya tidak menyalahkan si ibu secara keseluruhan. Jika mereka tidak buka mulut, maka tidak juga kita semua tahu cerita. Tapi saya amat kesal dengan tindakan si penjual yang memberikan konsultasi kesihatan sewenang-wenang sedangkan mereka bukan ahlinya.
Nota:
Gambar merupakan rangkaian produk yang diberikan kepada si anak kecil itu. Kredit RuQayyah Muhd & Bel Nawhen untuk cerita asal dan gambar ini.
Pegawai Farmasi Anda
Mohd Dziehan Mustapa
Medical Mythbusters Malaysia (M3)
Sumber - Dziehan Mustapa
Comments :
0 comments to “Nyawa Si Kecil Yang Hilang - Makan Makanan Tambahan Tanpa Nasihat Doktor”
Post a Comment