PASIR SALAK - Seorang anak lelaki sanggup menumbuk muka ibunya selepas wanita tersebut tidak berkemampuan untuk memulangkan semula wang sebanyak RM40,000 yang digunakan bagi mengubah suai rumah mereka di Ulu Dedap, Kampung Gajah di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 10.45 pagi itu, suspek yang berusia 48 tahun datang ke rumah ibunya untuk menuntut semula wang tersebut dan turut mengugut bunuh wanita itu dengan sebilah parang.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Suprintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, terancam dengan ugutan itu, ibu suspek yang berusia 67 tahun telah membuat laporan di Balai Polis Jejawi semalam.
Jelasnya, hasil siasatan, polis berjaya menahan lelaki tersebut di Jalan Besar di hadapan balai polis tersebut pada pukul 6.30 petang semalam.
"Berdasarkan keterangan mangsa, sebelum ini, suspek yang merupakan anak sulung tinggal bersamanya sebelum dihalau keluar selepas berkahwin ekoran degil dan tidak mendengar kata ibunya.
"Sewaktu kejadian, suspek juga memarahi wanita tersebut dan meminta sewa sawah bendang peninggalan arwah bapa yang kini diusahakan oleh adiknya," katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Menurut Mohamad Zainal, ibu suspek bagaimanapun tidak mempunyai wang sebanyak RM40,000 sehingga menyebabkan lelaki itu berang sebelum menumbuk muka wanita itu sebanyak dua kali.
Ujarnya, tumbukan padu itu menyebabkan bahagian pipi kira dan lidah ibunya bengkak.
Jelasnya, suspek juga mengambil sebilah parang dan mengugut ibunya dengan kata-kata 'nyawa kome aku ambik, ingat!' sebelum beredar dari rumah tersebut.
"Wang sebanyak RM40,000 milik suspek digunakan untuk mengubah suai rumah keluarganya baru-baru ini namun, ibunya tidak berkemampuan untuk memulangkan kembali jumlah tersebut.
"Sewaktu siasatan dijalankan, polis turut merampas sebilah parang yang digunakan semasa mengugut ibu suspek di dalam rumah tersebut," katanya.
Tambahnya, suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini untuk membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.
Sumber - KOSMO
Comments :
0 comments to “Anak Tumbuk Muka Ibu, Ugut Bunuh Selepas Tidak Dapat Wang RM40,000”
Post a Comment