Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Bapa ragui Ivana berbogel, tuntut bedah siasat kedua


Bapa seorang model Belanda yang meninggal dunia baru-baru ini menuntut pihak polis membenarkan bedah siasat kedua dijalankan terhadap anak perempuannya itu.


Ivana Esther Robert Smit, 19 meninggal dunia setelah jatuh dari sebuah kondominium di Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 7 Disember lalu dalam keadaan berbogel.


Kematian tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai kematian mengejut, namun keluarganya mengesyaki terdapat unsur khianat.


Bapa Ivana Marcel Smit berkata beliau telah melantik peguam Muhd ​​Farhan Shafee untuk mewakilinya dan menggesa polis melakukan bedah siasat kedua, lapor The Malay Mail.


"Ini (bedah siasat kedua) adalah untuk memastikan tiada unsur khianat terhadap kematian anak perempuan saya. Saya telah mengarahkan peguam mengemukakan permohonan rasmi kepada polis untuk mendapatkan lampu hijau bagi menjalankan bedah siasat kedua," katanya.


Smit berkata beliau telah menguruskan agar pakar bedah dari Belanda diterbangkan ke sini dan bekerjasama dengan pakar bedah tempatan.


"Saya ingin mengetahui sama ada dia sudah mati sebelum dia pergi ke balkoni di tingkat 20," kata Smit.


Smit (foto, kanan) juga menuntut penjelasan mengenai kecederaan pada tubuh Ivana.


"Terdapat beberapa titik lebam biru dan hitam di lehernya, yang telah dilihat oleh saya, isteri, anak dan seorang rakan di bilik mayat (Hospital Kuala Lumpur).


"Bagaimana tidak ada penjelasan mengenai lebam itu pada tubuhnya?" katanya dalam laporan itu.


Smit menambah keluarganya terpaksa menunggu beberapa jam di hospital sebelum diminta mengenal pasti mayat Ivana, dan kemudian dinafikan untuk mendapatkan salinan laporan bedah siasat.


Ivana 'tidak sepenuhnya sedar'


Polis sebelum ini memberitahu keluarga Ivana bahawa mereka mendapati terdapat kesan alkohol, ekstasi dan amfetamin dalam tubuh model itu semasa bedah siasat dijalankan.


Model itu juga didapati dalam keadaan telanjang ketika ditemui mati.


Namun Smit meragui anaknya mengambil dadah dengan kehendaknya sendiri dan sanggup berbogel di balkoni kondominium itu.


"Dia boleh mengambil dadah, saya tidak menafikannya. Bagaimanapun, saya ada perasaan yang kuat yang dia tak berada dalam keadaan sedar ketika ditawarkan bahan tersebut.


"Jika mereka mendakwa dia berbogel, di manakah pakaiannya? Anak perempuan saya tidak akan berdiri bogel di balkoni. Dia seorang yang pemalu," katanya pada akhbar itu.


Keluarga itu sebelum ini menggesa Interpol campur tangan dalam siasatan terhadap kematian model berkenaan.


Ivana ditemui mati di balkoni sebuah unit tingkat enam kondominium itu setelah jatuh dari tingkat 20, kira-kira jam 3 petang Khamis lepas.


Dia sebelum itu dilapor keluar minum dengan seorang lelaki Amerika dan isterinya dari Kazakhstan yang merupakan pemilik unit kondominium di tingkat 20.


Namun polis Malaysia menolak unsur khianat dan mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut.


Kali terakhir Ivana melakukan komunikasi apabila menghantar gambar selfie kepada teman lelakinya kira-kira pukul 7.25 pagi Khamis lalu bagi memaklumkan dia telah pulang ke rumah pasangan itu selepas keluar pada malam tersebut.


Bapanya sebelum ini mendakwa jiran-jiran mendengar jeritan dan pertelingkahan dari unit kondominium pasangan berkenaan pada pagi kejadian dan pasangan itu tidak menghubungi polis sehingga 3 petang, kira-kira lima jam selepas Ivana dipercayai mati.


Bagaimanapun suami dari pasangan itu memberitahu polis bahawa dia sedang tidur ketika kejadian berlaku manakala isterinya pula menghantar anak mereka yang berusia empat tahun ke sekolah.


Ivana pernah memenangi tempat ketiga dalam Carian Supermodel Malaysia 2014 pada usia 15 tahun.


Sumber : Malaysiakini


Comments :

0 comments to “Bapa ragui Ivana berbogel, tuntut bedah siasat kedua”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.