Ramai yang memilih untuk bercuti ke luar negara atas pernyataan kononnya Malaysia tidak mempunyai pantai bersih dan cantik.
Pasti pernyataan tersebut akan terhapus dari kotak fikiran anda seusai menatap 10 pulau yang tercantik di Malaysia.
Pulau Tioman
Terletak di perairan Pahang dan mudah di lawati dari Taman Marin Mersing, Johor. Tioman sering menjadi pilihan pelancong dari dalam dan luar negara ekoran variasi aktiviti air yang boleh dilakukan. Majalah Time turut menyenaraikan Tioman sebagai salah satu pulau yang tercantik.
Pulau Tiga
Dikenali seluruh dunia sebagai lokasi sulung rancangan realiti popular, Survivor. Pulau Tiga terletak di pantai barat Sabah. Bukanlah satu pilihan untuk mereka yang mendamba percutian mewah tetapi tiada pulau yang mempamer keindahan alam seindah Pulau Tiga.
Pulau Rawa
Pulau Rawa hanya boleh dilawati melalui perjalanan feri selama satu jam dari jeti Mersing atau 30 minit menggunakan bot laju. Pulau kecil ini kurang dikunjung berbanding Pulau Tioman. Pulau Rawa terkenal dengan pasir putih dan terumbu karang serta kaya dengan hidupan lautnya.
Pulau Tinggi
Juga salah satu pulau yang hanya boleh diakses melalui jeti di Mersing. Saiz Pulau Tinggi lebih besar dari Pulau Rawa. Pulau yang sedikit kecil dari Pulau Tioman ini, mempunyai hutan yang subur. Pelbagai aktiviti ditawarkan tidak kira di laut mahupun kegiatan climbing dan trekking berdekatan air terjun hutan.
Pulau Tenggol
Pulau Tenggol adalah salah satu rangkaian pulau diantara Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Pulau ini terkenal di kalangan penyelam kerana ia menawarkan pelbagai hidupan laut unik yang tidak terdapat di pulau lain seperti jerung, ikan pari dan nudibranch.
Pulau Perhentian
Pulau Perhentian mendapat jolokkan ‘pulau syurga’ ekoran menawarkan percutian pulau yang tenang. Pantainya yang bersih menjadi tempat tinggal pelbagai jenis hidupan seperti batu karang, penyu, obor-obor, anak jerung dan ikan terumbu.
Pulau Pangkor
Terletak di luar pantai negeri Perak, Pulau Pangkor menawarkan percutian yang berpatutan menerusi pantai yang indah seperti Coral Bay dan Teluk Nipah. Beberapa selebriti terkemuka seperti Kiera Knightley, Sting dan Anna Friel merupakan pemilik beberapa pulau kecil sekitar Pangkor.
Pulau Redang
Pulau Redang merangkumi 9 pulau kecil iaitu Pulau Lima, Paku Besar, Paku Kecil, Kerengga Besar, Kerengga Kecil, Ekor Tebu, Ling, Pinang dan Pulau Redang utama. Keistimewaan pulau yang berada di persisiran Terengganu ini termasuklah lambakan ikan laut, penyu dan terumbu karang yang menjadikan pengalaman snorkeling dan selam skuba lebih menarik.
Pulau Layang-Layang
Salah satu lokasi penyelaman paling popular di Malaysia kerana kekayaan hasil lautannya yang tidak pernah diganggu. Keindahan persekitaran pantainya juga amat sesuai untuk berehat. Aktiviti melihat burung juga amat popular di kalangan pelancong.
Pulau Sipadan
Meskipun memerlukan belanja besar untuk melawatinya, tetapi pulangan pengalaman yang dimiliki sama sekali amat berbaloi. Tidak dinafikan Pulau Sipadan mempunyai lokasi menyelam paling menakjubkan di Malaysia! Mereka yang pernah menjejakkan kaki ke Sipadan sering membandingkan pulau yang terletak di Sabah ini dengan keindahan Maldives.
Jadi apa lagi? Mari pergi bercuti!
Kredit gambar: paradiseistheworld, borneotrails, Yiping Lim, tourismjohor, Elmar Bajora, Malaysiavisit, wallpaperax, Avillion Layang Layang Island Resort, sipadan
Sumber
Comments :
0 comments to “ 10 pulau tercantik di Malaysia”
Post a Comment