Dunia kita penuh dengan
keajaiban alam yang sungguh menakjubkan. Keindahan alam yang semula jadi
ini memberikan ketenangan dalam kehidupan kita. Adakah anda mempunyai
hasrat untuk melawat sekurang-kurangnya satu tempat yang menakjubkan di
dunia ini?
Kami telah memetik 5 tempat paling cantik dan menakjubkan dari seluruh dunia.
Pamukkale, Turki
Pamukkale
adalah bahasa Turki yang bermaksud istana kapas. Tempat ini juga
digelar sebagai istana putih kerana persekitarannya yang putih. Malah,
air panas di kawasan ini dijadikan sebagai ‘spa’ untuk tujuan perubatan
sejak ribuan tahun dahulu dan keistimewaan ini menarik pengunjung dari
serata dunia.
Sanqingshan, China
Sanqingshan
dikatakan sebagai tempat suci bagi penganut agama Tao untuk kegiatan
meditasi, dan dipercayai mampu memberikan keabadian hidup. Tempat ini
diselubungi kabus selama 200 hari setahun lalu menyumbang kepada
persekitaran yang cantik dan aman. Bukan itu sahaja, terdapat juga
formasi batu granit yang menyerupai bentuk manusia, tasik – tasik yang
cantik dan spesis burung yang unik.
Laut Mati, Jordan
Laut
Mati juga dikenali sebagai Laut Garam. Laut ini terletak di sempadan
Jordan dan Israel. Oleh kerana kemasinan dan kepadatannya sangat tinggi,
laut ini digelar sebagai Laut Mati. Kawasan ini juga terkenal dengan
sifatnya yang boleh mengapungkan manusia di atas permukaan air. Jika
kita mandi di laut ini, badan kita akan terapung - apung dan tidak
tenggelam. Malah, hidupan air seperti ikan juga tidak mampu untuk hidup
di sini.
Chocolate Hills, Filipina
Chocolate
Hills merupakan tempat tarikan pelancong yang paling popular di Bohol,
Filipina. Kawasan bukit yang terdiri daripada kira-kira 1268 bukit batu
kapur dengan ketinggian antara 40-120 meter ini diklasifikasikan sebagai
satu keajaiban alam.
Semasa musim panas, bukit batu kapur
yang dilitupi rumput ini akan kering lalu bertukar warna menjadi perang
dan mengubah menjadi barisan bukit yang kelihatan seperti coklat.
Sehingga kini, tidak ada pembentukan semulajadi yang seumpamanya di
dunia. Sungguh menakjubkan!
Cano Cristales, Colombia
Cano
Cristales merupakan sungai yang terletak di pergunungan Serrania de la
Macarena. Pengunjung ke kawasan ini perlu menaiki kuda, keldai atau
berjalan kaki kerana kawasannya amat terpencil.
Sungai ini akan bertukar menjadi
berwarna - warni semasa musim hujan dan musim kemarau. Alga yang
terdapat dalam sungai ini akan menghasilkan campuran warna merah, biru,
hijau, hitam dan kuning. Sungai ini juga
digelar sebagai ‘ The River of Five Colours’,’ The Liquid Rainbow’ dan
‘The River That Ran Away From Paradise’. Memang unik kan!
Kredit Gambar: Ohdunia
Comments :
0 comments to “ 5 tempat paling menakjubkan di dunia”
Post a Comment