Lipis: Tidak sempat pulang ke rumah selepas bercuti dari Genting Highlands sebelum terbabit dalam nahas kemalangan maut di Kilometer 14, Jalan Lipis-Benta di sini, kelmarin.
Itu nasib menimpa satu keluarga yang menaiki Naza Ria selepas kenderaan mereka bertembung dengan bas ekspres yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, pemandu Naza Ria, Mok Fong Yuen, 43, maut di tempat kejadian manakala suaminya berusia 51 tahun, tiga anak perempuan dan seorang anak lelakinya berusia 13 hingga 19 tahun parah.
Ketua Polis Daerah Lipis Superintendan Azry Akmar Ayob berkata, wanita itu dikatakan cuba memotong treler di depan kenderaannya sebelum bertembung bas ekspres.
“Kejadian itu menyebabkan kenderaan dinaiki keluarga terbabit remuk sebelum semua mangsa berjaya dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat manakala bas ekspres berkenaan terbabas ke kiri jalan raya.
“Pemandu bas hanya cedera di kaki kanan sementara sembilan penumpang bas dan seorang pemandu kedua kenderaan itu tidak cedera,” katanya.
Beliau memaklumkan semua penumpang bas itu kemudian menaiki bas ekspres lain dan selamat tiba di ibu negara.
Katanya, keluarga itu dikatakan dalam perjalanan pulang dari Genting Highlands ke Lipis dan lima mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Kuala Lipis.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan termasuk merakam keterangan pemandu bas ekspres dan beberapa saksi kejadian.
“Keterangan keluarga itu diambil sebaik keadaan mengizinkan. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sumber : HMetro
Comments :
0 comments to “Korban balik bercuti”
Post a Comment