Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

5 Tip Buat Anda Yang Mahu Anjur Parti Bajet Tapi Meriah


Ada kawan bertanya “Macam mana eh kau buat majlis? Sudahlah masak sendiri lepas tu ada anak kecil lagi”. Maka, aku pun terfikir untuk kongsikan tip untuk menganjurkan majlis hari jadi versi bajet.


Biasalah, buat sekadar untuk suka-suka gembirakan anak-anak. Buat majlis bajet ini jangan ada protokol sangat dan sentiasa bersedia dengan segala kemungkinan yang ada seperti makanan tidak cukup atau makanan terlebih (yang ini tak apa, boleh simpan dalam peti dan esoknya makan sampai lebam).


OK pertama sekali kena pilih tarikh yang sesuai. Apabila dah pilih tarikh, dah boleh mula merancang menu, deko-deko sikit dan tempahan kek. Check it out ya!


1. Bajet

Kalau sudah namanya majlis bajet, maka janganlah berangan nak lantik party planner untuk majlis ini. Semuanya perlu disiapkan sendiri.


Kalau tak nak rasa duit habis sedebuk, apa kata barangan seperti goodies anak-anak, barang untuk deko-deko itu dibeli awal-awal.


Boleh beli di Facebook Page Barangan Parti Harijadi sebab di situ harga boleh tahan murah dan kebanyakkan tema kartun seperti Avengers, Frozen, Pokemon, Ultraman, Cars dan macam-macam lagi pun ada.


Selepas itu sediakan bajet untuk kek juga sebab kalau majlis hari jadi tak ada kek tak best lah kan. Kalau nak jimat boleh buat sendiri tapi kes aku ini, Husna nasihatkan: “Mama beli aje sebab mama tak pandai buat kek,” ha ha ha.


Untuk majlis ini aku tempah sebiji kek seberat 2 kilogram. Kalau beli kek kecil pastikan beli 2 biji atau lebih. Nanti tak cukup kesian pula tetamu.


Untuk beli bahan-bahan mentah itu peruntukan dalam RM200 dan RM100 untuk beli barangan seperti pinggan mangkuk plastik, cawan, sudu, garfu dan plastik sampah. Sebenarnya tak sampai pun sebanyak itu kalau tahu di mana nak beli. Ia semestinya di tempat yang murah.


2. Menu

Selalunya majlis hari jadi orang akan buat pada waktu petang. Jadi, boleh sediakan pasta seperti makaroni goreng atau bihun goreng atau mee goreng tapi aku “derhaka” hari itu. Aku sediakan menu nasi kerabu dan kue teow goreng.


Maklumlah nasi kerabu ini all time favourite apabila buat makan-makan mesti ada menu ini. Sihat lagi mudah! Caranya aku siapkan bahan-bahan kering seperti sambal nyior (kelapa) itu pada malam sebelum majlis lagi.


Pada hari kejadian hanya sediakan nasi (masak dengan Noxxa Pressure Cooker 8 min sahaja you all) dan ulaman hiris banyak-banyak terus.


Untuk lauk, aku beli 2 ekor ayam untuk goreng sahaja. Kata versi bajet kan. Untuk anak-anak pula, siapkan keropok goreng dan nuget serta air koktel. Budak-budak main saja lebih.


Tapi untungnya hari itu kakak ipar datang bawakan kuih, ada yang bawa buah-buahan, sosej dan anak-anak buah pula siapkan air minuman detoks, maklumlah kami buat majlis sampai ke malam disusuli dengan BBQ bersama keluarga.


Kalau nak bagi mudah, sila buat senarai bahan-bahan mentah dan kering untuk dibeli siap-siap. Jadi, apabila keluar membeli barangan itu tak adalah terambil benda yang tak diperlukan.


Ingat, versi bajet kena ikut bajet betul-betul.


3. Lokasi Majlis

Lokasi itu sudah semestinya rumah sendirilah kan. Jangan pula berangan nak buat di hotel atau kolam renang atau dewan (kecuali kalau ada orang yang taja).


Jadi, pastikan kerusi dirapatkan dan ada ruang kosong untuk anak-anak duduk bersila. Meja untuk letak kek pun jangan letak sekali dengan meja makanan, nanti serabut.


Maklumlah zaman sekarang orang ada buat candy buffet lah apa, tapi aku tak buat pun. Hanya sekadar buat dekorasi belakang tabir bertemakan Avengers dengan belon dan ada kek sahaja. Kan versi bajet, bukan versi artis.


4. Persediaan

Mental dan fizikal kena bersedia. Kalau majlis hari jadi ini sudah tentulah kita nak bahagiakan anak-anak. Jadi, sediakan goodies untuk mereka.


Kalau boleh kurangkan bagi gula-gula tapi pilihlah makanan yang sihat. Aku bagi keropok TAM-TAM (hehe tak adalah sihat mana tapi teringat kenangan waktu sekolah dulu mesti beli keropok ini).


Oh! Pastikan plastik sampah beli yang besar dan letak di mana-mana saja kerana mesti akan terdapat sampah merata-rata.


5. Kebersihan

Kalau buat majlis di rumah sudah tentunya kebersihan memang perlu dititiberatkan juga. Bagi aku, selepas siap masak pastikan basuh terus periuk atau kuali dan jangan tinggalkan di dalam sinki.


Nanti apabila tetamu mula datang, percayalah sinki kita akan penuh dengan pinggan mangkuk yang ditinggalkan oleh tetamu. Lagi satu pastikan juga kain lap yang bersih disediakan. Ini penting apabila terjadinya air tumpah atau sisa kuah tumpah atas lantai atau meja.


Kalau boleh sisa makanan kering dibuang dalam plastik sampah dan sisa makanan basah kena diasingkan dan cepat-cepat buang bagi mengelakkan daripada berbau.


Apabila tetamu dah pulang, mula-mula tarik nafas dulu dan perlahan-lahan kemaskan dapur, basuh bekas-bekas makanan dan mop lantai. Kalau tak larat, tidur dulu baru kemas esoknya. Hihi.


Penutup

Itu sahaja tip yang aku boleh bagi. Dalam menganjurkan majlis memang kita tak boleh lepas daripada melakukan pelbagai kesilapan tapi anggap itu sebagai dugaan dalam ingin menggembirakan hati orang.


Memang terasa penat tapi satu kepuasan apabila tetamu datang dan pulang dengan perut yang kenyang (kalau hak tak makan tu mereka dietlah tu).


Insya Allah semoga diberikan rezeki duit, masa dan tenaga untuk menganjurkan majlis lagi. Tak semestinya kena buat grand tapi cukuplah sekadar semampu mungkin dan ikhlaskan diri untuk membahagiakan insan yang tersayang.


Sumber - The Vocket

Comments :

0 comments to “5 Tip Buat Anda Yang Mahu Anjur Parti Bajet Tapi Meriah”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.