SEREMBAN: Meskipun bergelar Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), namun tidak siapa tahu, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan pernah digantung seumur hidup daripada bermain bola sepak oleh persatuan itu. Perkara itu disahkan sendiri oleh beliau yang juga tidak mahu penggantungan itu ditarik balik kerana mengakui kesalahannya dalam insiden berkenaan.
Beliau berkata, ada usul dari Ahli Majlis PBNS kira-kira tujuh atau lapan tahun lalu untuk menamatkan penggantungan berkenaan, namun katanya, ianya tidak perlu dilakukan dan beranggapan dirinya layak dibuang padang atas kesalahan yang dilakukan dan perlu menanggungnya. Mengimbau semula insiden itu, katanya ia berlaku semasa perlawanan akhir liga tempatan pada tahun 1977 melibatkan pasukannya, NS Malays dengan NS Indians di padang Majlis Perbandaran Seremban.
Dalam perlawanan itu, beliau yang ditugaskan sebagai pemain pertahanan perlu mengawal pemain kebangsaan, G. Torairaju yang ketika itu dikenali sebagai pemain yang cukup bagus dan laju. Selepas mengasari Torairaju, beliau dilayangkan kad kuning dan bertindak membantah dnegan menendang bola sehingga terkena pengadil.
Beliau kemudian sekali lagi dilayangkan kad merah pula, namun dengan berani merampas kad berkenaan dari tangan pengadil sebelum membalingnya ke atas lalu tersangkut di atas pokok. Ekoran kejadian itu, Mohamad tidak lagi dibenarkan bermain seumur hidup.
"Saya masih digantung. Walaupun saya dah jadi presiden, saya masih digantung. Ada usaha tujuh atau lapan tahun dahulu bawah usul Ahli Majlis (PBNS) untuk menamatkan pergantungan tersebut, tapi saya kata tak perlu lagi lah. Saya memang salah pun. Memang saya harus dibuang padang dan digantung seumur hidup," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat exco di Wisma Negeri Sembilan hari ini. Mohamad mengulas demikian ketika ditanya mengenai kisah insiden kad merah ‘Tok Mat’ yang kini tular di laman sosial.
Sumber : Awani
Comments :
0 comments to “MB Negeri Sembilan, Tok Mat Hassan Masih Digantung Kerana Kad Merah”
Post a Comment