Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Senarai Tragedi Runtuhan Bangunan Di Malaysia Yang Dahsyat Dan Menggemparkan!



Malaysia merupakan sebuah negara yang pesat membangun dengan pembinaan bangunan pencakar langit, pusat beli-belah dan jalan raya yang semakin giat dijalankan. Namun, terdapat beberapa peristiwa runtuhan bangunan yang sukar dilupakan dalam lipatan sejarah negara kita. Ayuh, kami senaraikan 6 tragedi runtuhan bangunan yang bukan sahaja merugikan wang ringgit, tetapi apa yang lebih penting meragut nyawa insan yang tak berdosa.


5. Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (Jun 2009 & Februari 2013)



Pada 2 Jun 2009, sebahagian bumbung utama stadium ini runtuh. Akibatnya, hampir 50% daripada strukturnya musnah dan terpaksa ditutup untuk kerja pembersihan serta baik pulih.


Antara punca keruntuhan ini ialah penggunaan bahan binaan dan kualiti kerja tidak mengikut spesifikasi semasa pembinaannya. Siasatan lain membongkarkan reka bentuk bumbung yang tidak memadai serta kawalan kualiti juga tidak dilaksanakan di tapak projek.


Pada 20 Februari 2013, bumbung Stadium Sultan Mizan yang masih dalam proses pembaikan runtuh buat kali kedua. Kejadian itu mencederakan 5 orang pekerja tempatan. Runtuhan itu melibatkan sebahagian daripada struktur besi bumbung tersebut yang dianggarkan sepanjang 137 meter.


Kos pembinaan stadium ini adalah sebanyak RM292.9 juta dan siap dibina pada Mei 2008. Proses pembaikpulihan stadium itu dilaporkan menelan kos perbelanjaan sebanyak RM15 juta.


4. Jambatan Kedua Pulau Pinang (Jun 2013)



Tanggal 6 Jun 2013, sebahagian daripada Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung yang masih dalam binaan telah runtuh. Bahagian sepanjang 30 meter itu runtuh dan menghempap sebuah kereta.


Kejadian itu meragut nyawa 4 orang yang dipercayai berada dalam kereta yang lalu diatas jalan dibawah struktur itu.


Majlis pembukaan Jambatan Kedua Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 1 Mac 2014 dan dinamakan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah bersempena Yang di-Pertuan Agong ke-14.


Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah ialah jambatan terpanjang di Asia Tenggara. Ia dibina untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jambatan Pulau Pinang dengan kos RM4.5 bilion.


3. Jaya Supermarket (Mei 2009)



Bangunan Jaya Supermarket di Seksyen 14/20, Petaling Jaya di negeri Selangor tiba-tiba runtuh pada 28 Mei 2009, sekitar pukul 5.00 petang sebelum sempat dirobohkan secara sempurna.


Ketika itu, terdapat 5 jentera berat di bangunan setinggi 6 tingkat berkenaan. Para pekerja yang terlibat telah memulakan kerja meruntuhkan bangunan itu sejak 20 hari sebelum kejadian malang tersebut berlaku.


Struktur bangunan yang runtuh itu adalah satu pertiga dari keseluruhan bangunan yang berkeluasan 6,400 meter persegi meliputi bangunan 10 tingkat yang bersambung dengan bangunan lima tingkat.


Pasukan penyelamat telah menemui 7 mayat. Antaranya terperangkap di tingkat bawah tempat letak kereta dan tertimbus di bawah jengkaut yang dipandunya. Seramai 2 orang pekerja cedera manakala 4 lagi terperangkap di dalam runtuhan bangunan.


Namun, pusat beli-belah itu memasuki episod baru apabila ia kini kembali dibuka dengan nama baru iaitu “Jaya Shopping Centre” sejak April 2014. Malah, ia menyaksikan kepulangan 30% penyewa lama ketika era kemasyhuran Jaya Supermarket sekitar tahun 1980-an.‬


2. Jambatan terminal feri Sultan Abdul Halim (1988)



Pada 31 Julai 1988, Pangkalan Sultan Abdul Halim runtuh di tepi laut Butterworth, Pulau Pinang, Malaysia. Tragedi yang berlaku sekitar pukul 4.40 petang itu membunuh seramai 32 orang, sementara 1,674 orang lagi cedera.


Tragedi ini berpunca daripada kesesakan teruk di pangkalan ini sekitar 10,000 orang. Terdapat dua perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di Georgetown yang diadakan 60 tahun sekali dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam.


Berlaku pada waktu hujung minggu, Jambatan Pulau Pinang tidak dapat menampung terlalu banyak kenderaan awam. Perkara sama juga dengan Pangkalan Sultan Abdul Halim yang tidak mampu menampung ‘serbuan’ ribuan penumpang.


Pelantar feri tiba-tiba patah dan lantai papan turut roboh sebaik penumpang melaluinya. Dinding besi dan bumbung roboh ke bawah. Penumpang bahagian atas menggelongsor dan terhimpit oleh tiang dan pelantar papan. Kenderaan di bawah remuk.


1. Highland Towers (Disember 1993)



Siapa boleh melupakan sejarah hitam terburuk negara iaitu Highland Towers, bangunan yang dahulunya tersergam indah di Taman Hillview, Hulu Kelang? Pada 11 Disember 1993, Blok 1 kondominium setinggi 12 tingkat itu tumbang menyembah bumi sekelip mata selepas 15 tahun ianya siap dibina, sekaligus meragut 48 nyawa.


Seramai 124 anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan kira-kira 30 anggota tentera dan jurutera dari Kem Batu Cantonment dan Kem Wardieburn dikerahkan bagi membantu mencari mangsa. Sekumpulan anggota penyelamat Perancis bersama dua anjing pengesan turut menyertai operasi menggunakan teknologi pengesan degup jantung dan menebuk lubang 4.5 meter dalam.


Keretakan serius atas jalan raya sekitar kondominium telah dikesan oleh penghuni sebulan sebelum runtuhan tersebut berlaku. Malah, pelukis pelan Highland Towers dikatakan tidak mempunyai kelayakan bagi bangunan setinggi 12 tingkat.


Biarpun sudah hampir 24 tahun tragedi ngeri ini berlaku, sehingga kini ia tertulis sebagai sejarah terburuk dalam pembinaan negara.


Sumber: islamagamaku.net

Comments :

0 comments to “Senarai Tragedi Runtuhan Bangunan Di Malaysia Yang Dahsyat Dan Menggemparkan!”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.