Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

Remaja disambar buaya ketika pancing udang


Seorang remaja lelaki yang sedang memancing udang bersama-sama sepupu lelakinya di tebing Sungai Dit di Kampung Melayu Dit, Debak dekat Betong disambar buaya kira-kira jam 5.30 petang semalam.


Kejadian yang menimpa mangsa dikenali sebagai Abang Mohamad Haikal Abang Suip, 13, yang tidak lagi bersekolah itu dilaporkan kepada pihak polis Debak oleh sepupunya Senie Bujang, 54, pada jam 7.45 petang.


Dalam laporannya, Senie yang merupakan kakitangan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Bahagian Miri yang sedang bercuti menyatakan mereka memancing di tebing sungai itu sejak jam 5 petang, sebelum mangsa yang berada kurang dua meter di hadapannya tiba-tiba disambar buaya.


“Pengadu telah berteriak meminta pertolongan orang kampung. Kejadian belaku dalam sekelip mata sahaja. Mangsa terus dibawa ke dasar sungai,” kata Ketua Polis Daerah Betong, DSP Mohd Fahdil An Tum Abdullah ketika dihubungi malam tadi.


Orang kampung berusaha mencari dengan perahu dan memasang jaring serta menggunakan jala tetapi gagal menemui mangsa.


Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Betong, James William Ngang berkata, panggilan mengenai kejadian itu diterima pihaknya pada jam 6.11 petang dan satu pasukan lima anggota Bomba dan Penyelamat serta aset telah digerakkan ke lokasi.


Sehingga operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada jam 9.45 malam, mangsa belum ditemui.


Operasi turut disertai Angkatan Pertahanan Awam Betong, Polis Betong dan Debak serta penduduk kampung.


Beliau berkata, operasi SAR akan disambung pada 8 pagi ini.


Sumber - Bernama


Comments :

0 comments to “Remaja disambar buaya ketika pancing udang”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.