Dalam rumah tangga, pasangan suami isteri perlulah bijak mengatur kewangan dan saling bantu membantu melengkapkan yang mana ada kekurangan. Namun, nafkah isteri dan keluarga adalah tanggungjawab wajib yang perlu dilaksanakan oleh seorang suami tanpa gagal.
Dalam isu pengadu, si suami terlalu berkira sehingga menuduh isterinya tidak bersyukur dengan apa yang ada. Sedangkan si isteri tidak pernah merungut, sebaliknya hanya ingin merasa pemberian suaminya. Malah, cuba memujuk suaminya memberi duit lebih kepada ibunya yang sudah menjaga anak mereka yang bercuti di kampung, bagi meringankan bebanan ibunya itu.
Malangnya, si suami mula terasa beban dan berkira untuk memberi. Lalu membuatkan si isteri rasa terkilan dan terfikir lebih baik dia hidup bersendirian tanpa suami.
SALAM min, saya nak kongsi satu kisah. Saya dengan suami dah berkahwin 10 tahun dan dikurniakan empat orang anak. Saya nak tanya makcik dan pakcik bawang, adakah saya isteri yang tak bersyukur?
Setiap tahun saya dapat bayaran gaji dan bonus lebih kurang RM11 ribu begitu. Selama saya kahwin, tak pernah minta duit bonus suami. Dia pun tak pernah bagi, apatah lagi nak merasa. Setiap bulan, saya dapat RM300 dan mak dia pula dapat RM600 sebulan. Tetapi tiap-tiap tahun dia bagi bonus pada mak dia, tetapi tidak pada saya. Saya diam saja.
Tahun ini saya minta nak merasa sangat-sangat bonus yang dia dapat. Saya minta dia belikan sebentuk cincin kerana cincin yang saya ada ini dah longgar. Harga cincin yang saya minta lebih kurang RM300 sahaja. Dia pun mula kira hutang dia macam-macam nak bayar.
Kawan-kawan saya merasa bonus dari suami masing-masing. Saya cakaplah, selama ini saya tak pernah meminta apa-apa pun dan tahun saya saya nak merasa bonus dia dan itu pun hanya RM300 untuk beli cincin. Tetapi dia kata saya tidak bersyukur dan bermacam-macam lagi yang dia kata. Sedangkan selama ini saya tak pernah pun berkira dengan dia.
Tiap hari dia beri saya duit belanja beli lauk RM20 sehari, untuk masak makan tengah hari dan malam. Korang rasa cukup ke RM20? Dengan anak-anak lagi nak minta beli macam-macam bila pergi ke kedai. Coklatlah, air lagi, roti lagi. Budak kalau tak dibeli, mengamuk pula. Kadang-kadang tinggal baki RM13 nak beli ikan lagi, sayur lagi. Kadang-kadang terpaksa menggunakan duit saya yang dia beri RM300 sebulan itu. Sama juga seperti tak bagi kan? Saya diam saja. Bila dia cakap sama saja dia bagi saya RM20 sehari.
Baru-baru ini, anak saya duduk dengan mak saya di kampung selama sebulan. Ayah saya dah meninggal dan yang menanggung mak saya selama ini adalah adik beradik saya. Saya cakap, berilah sedikit pada mak saya. Anak saya kuat makan. Last-lasti dia bagi RM100 saja selama jaga anak saya itu. Ya Allah, saya minta dia beri lebih sikit, dia pula marah saya. Sampai sekarang tak nak bercakap, senyap. Salah saya ke?
Kadang-kadang saya sorok-sorok bagi duit saya pada mak untuk beli biskut ke apa untuk beri anak saya makan. Ya Allah, saya tak tahulah saya ini jenis isteri yang tak bersyukur. Saya jadi marah dengan perangai suami yang sangat kedekut. Saya malas nak bercakap dengan dia, jadi benci pula. Dia boleh kata saya tak bersyukur dengan apa yang ada. Sedangkan saya tak pernah merungut selama ini.
Dulu dia kantoi curang lima enam kali, saya maafkan dia. Tetapi sekarang bila ingat kembali apa yang dia buat, saya menjadi benci dengan dia. Saya rasa lebih baik saya hidup tanpa suami. Saya surirumah sepenuh masa. Kadang-kadang berniaga online sikit-sikit untuk menampung perbelanjaan keluarga.
Saya sedih. Adakah saya isteri yang tak bersyukur atau saya melebih-lebih? Setiap kali sembahyang, saya selalu mendoakan dia murah rezeki. Tetapi rezeki yang dia dapat tak pernah dikongsi bersama saya. Apa yang patut saya buat? Saya dah dua hari tak bercakap dengan dia.
Sumber - Kisah Rumah Tangga & The Reporter
Comments :
0 comments to “'Saya Geram Dengan Perangai Kedekut Suami' - Surirumah Kesal Suami Terlalu Berkira, Membuatkan Dia Terasa Lebih Baik Hidup Sendiri”
Post a Comment