Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

'Selalu Mengadu Penat Dan Sakit Dada Sejak Ambil Produk Itu' - Pak Andam Ditemui Mati Dalam Bilik



Seorang lelaki ditemui mati di dalam bilik tidurnya di rumahnya di Guchill 6, Kuala Krai, jam 10 pagi semalam, lapor Harian Metro.


Mayat Rudy Alpian Zahari, 37, atau lebih dikenali sebagai Aechik, ditemui tidak sedarkan diri oleh rakan serumahnya, Mohammad Yaacob, 47, yang cuba mengejutkannya daripada tidur. 


Mohammad Yaacob cuba mengejutkan mangsa bangun daripada tidur kerana mereka sepatutnya pergi ke sekolah berhampiran untuk menggubah bunga. 


"Bagaimanapun selepas beberapa kali mengejutkan Aechik, dia masih tidak sedarkan diri. Saya mendapati badannya sejuk dan tiada denyutan nadi. Saya kemudian terus menghubungi polis untuk tindakan lanjut," katanya.


 

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Ronning berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemui kesan tompokan darah di bawah bantal yang digunakan mangsa.


 

"Turut ditemui kesan darah di bahagian kanan dan kiri leher mangsa. Bagaimanapun tiada kesan geledah di biliknya," katanya.


Difahamkan, Aechik yang masih bujang bekerja sebagai pembantu kedai dan turut menjadi jurusolek di butik pengantin. 


Aechik juga berhasrat menyertai satu pertandingan ratu cantik yang bakal berlangsung di Thailand pada Februari depan dan untuk mencapai hasratnya itu, Aechik mengamalkan diet ketat sejak beberapa bulan lalu.


 

Menurut laporan Kosmo, mangsa telah menghabiskan tujuh botol pil pelansing dalam bentuk kapsul daripada satu produk kecantikan selain hanya makan nasi sekali seminggu dan memuntahkan semula nasi tersebut.


 

Abdullah Ronning berkata, temubual dengan majikan mangsa mendapati, Aechik seringkali mengadu penat dan sakit dada sejak mengambil produk tersebut beberapa bulan lalu. 


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Krai (HKK) untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya. 


Sumber - The Reporter

Comments :

0 comments to “'Selalu Mengadu Penat Dan Sakit Dada Sejak Ambil Produk Itu' - Pak Andam Ditemui Mati Dalam Bilik”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.