KUALA KRAI – Hasrat seorang pak andam untuk menyertai satu pertandingan ratu cantik di Thailand sehingga sanggup mengambil pil pelangsing dan hanya makan nasi seminggu sekali tidak kesampaian apabila dia ditemui mati di bilik tidurnya di Guchil 6, di sini semalam.
Mayat Rudy Alpian Zahari, 37, atau mesra dipanggil Aechik ditemui pada pukul 11 pagi oleh rakan serumahnya. Aechik yang masih bujang bekerja sebagai pembantu kedai dan turut menjadi jurusolek di butik pengantin.
Difahamkan, mangsa berhasrat untuk menyertai satu pertandingan ratu cantik yang bakal berlangsung di Thailand pada bulan Februari depan. Demi mencapai cita-citanya itu, mangsa mengamalkan diet ketat sejak beberapa bulan lalu.
Dikatakan mangsa telah menghabiskan tujuh botol pil pelangsing dalam bentuk kapsul daripada satu produk kecantikan selain hanya makan nasi sekali seminggu dan memuntahkan semula nasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Abdullah Ronning berkata, temu bual dengan majikan mangsa mendapati lelaki itu sering mengadu penat dan sakit dada sejak mengambil produk tersebut beberapa bulan lalu.
“Mangsa ditemui terbaring di atas katil oleh rakan serumahnya iaitu seorang lelaki berusia 47 tahun semasa ingin mengajaknya membuat gubahan bunga di sebuah sekolah di sini pada pukul 10 pagi tadi (semalam).
Sumber : Kosmo
Comments :
0 comments to “Berdiet sampai temui ajal”
Post a Comment