Anda nak masuk penjara?
Pasti ramai yang tak mahu kerana kita tidak mahu kehidupan kita dikawal dengan kurungan dan jadual diaturkan oleh pihak lain. Namun, ada kalanya muncul individu-individu yang merasakan hidup dalam penjara lebih baik berbanding bebas, atas faktor yang mereka sendiri rasakan sesuai.
Berikut adalah 5 kes individu yang secara sengaja mahu masuk ke penjara atas sebab-sebab yang mereka sendiri cipta.
1. PENAT JADI SEORANG GELANDANGAN
Jamaine Makepeace penat menjadi seorang gelandangan dan dia mengimpikan kehidupan dalam penjara, yang membolehkan dia hidup dalam suasana lebih selamat dan tenteram. Jamaine akhirnya memilih untuk memecahkan beberapa tingkap di bangunan pejabat daerah di kawasan Troy, Portsmouth serta tingkap sebuah kereta yang berdekatan, dengan harapan dia akan dipenjarakan sekurang-kurangnya setahun.
Saksi kejadian terkejut apabila mendapati Jamaine dengan suka rela menyerahkan dirinya ditangkap semasa ketibaan polis dan menurut laporan polis, Jamaine mengaku dia penat tidur di jalanan dan meminta belas kasihan orang ramai. Jamaine ditangkap dan disabitkan kesalahan kerosakan berjumlah $2400 dan dihukum penjara.
Insiden itu bukan kali pertama Jamaine melakukan tindakan sama. Dia pernah ditangkap beberapa kali dan dipenjarakan dalam tempoh yang lebih singkat, kerana bagi Jamaine jelas - hidup di penjara lebih mewah.
2. MASUK PENJARA DISEBABKAN MAHU PEMBEDAHAN PERCUMA
Kisah ini pula mengisahkan tentang seorang lelaki berumur 41 tahun pada tahun 2013, yang tidak dinamakan. Pernah menjadi banduan, beliau pernah mengalami pergaduhan sehinggakan mengalami kerosakan dalam otak dan jika tidak dirawat, akan menyebabkan kematian. Jadi pihak hospital pun mengaturkan sesi pembedahan bagi beliau, namun nasib beliau kurang baik. Dia dibebaskan dari penjara beberapa minggu sebelum pembedahan.
Apabila dibebaskan, lelaki ini mendapati dirinya tidak lagi mendapat perlindungan insurans yang ditawarkan pada seorang banduan dan menyebabkan dia terpaksa membayar sendiri kos pembedahan. Terdesak untuk rawatan, lelaki itu masuk ke sebuah pasaraya, mencuri krim pelembap kulit dan memastikan pengawal keselamatan menangkap beliau mencuri. Dia senyum pada pengawal sebelum ditangkap.
Dalam perbicaraan, lelaki itu meminta Hakim menjatuhkan hukuman penjara satu tahun padanya, kerana dia perlu mendapatkan rawatan. Hakim itu membenarkan permintaan beliau dan menjatuhkan hukuman 14 bulan.
3. TAMPAR PEGAWAI POLIS UNTUK BUANG KETAGIHAN MEROKOK
Etta Lopez mengalami masalah ketagihan merokok yang kronik. Cubaan untuk berhenti beberapa kali telah dilakukan namun tidak berhasil, jadi Etta memilih untuk dipenjarakan bagi membolehkan dia lebih mudah berhenti merokok dalam penjara.
Bagi mencipta sebab untuk dipenjarakan, Etta memilih untuk menahan seorang pegawai polis bernama Matt Campoy yang baru habis bertugas berdekatan dengan Sacramento County Jail, tempat pegawai itu bertugas. Etta dikatakan tiba-tiba muncul dan berdiri di hadapan pegawai tersebut, lalu menamparnya tanpa sebab.
Apabila tuduhan dibacakan, Etta hanya mendengar dengan tenang dan menceritakan secara terperinci rancangannya pada pihak perbicaraan. Impian Etta tercapai setelah dia didapati bersalah menyerang seorang pegawai polis dan dihukum penjara selama 63 hari. Cukuplah kot untuk dia benar-benar berhenti merokok.
4. HENDAK MELAWAT KAWAN DI PENJARA
Dua orang remaja yang berusia 13 dan 14 tahun, berasal dari Manitoba, Kanada merindui seorang rakan mereka yang kini terpaksa meringkuk di penjara. Oleh kerana terlalu rindu dan tidak ada peluang melawat, mereka pun terpaksa mencari jalan lain untuk menemui rakan mereka.
Kedua-dua remaja itu pun memecah masuk ke dalam pejabat Royal Canadian Mounted Police pada 21 Julai 2013 lalu membakar bangunan tersebut. Setelah disiasat dan dikenalpasti sebagai suspek kejadian, kedua-dua remaja tersebut mengakui mereka melakukan tindakan tersebut kerana mahu dimasukkan ke dalam Manitoba Youth Center, yang menempatkan rakan mereka.
Siasatan lebih mendalam mendapati, rakan mereka yang dipenjarakan juga melakukan jenayah yang sama - dia didapati bersalah membakar bangunan lain.
5. WARGA TUA JEPUN MAHU MENGHABISKAN USIA DENGAN SELESA
Satu masalah yang berlaku di Jepun ketika ini, berkenaan kenaikan statistik jenayah yang dilakukan oleh mereka yang berumur 60 tahun ke atas. Apa yang memeranjatkan, hampir 40% daripada warga tua yang ditangkap, memang dengan sengaja mengulangi jenayah sama supaya mereka kembali ditangkap.
Modus operandi ramai warga tua Jepun untuk ke penjara pula, adalah dengan melakukan kes kecurian di kedai runcit dengan niat untuk ditangkap. Ini berikutan kos sara hidup bagi seorang pesara di Jepun agak tinggi berbanding dengan jumlah pencen yang mereka perolehi.
Lagipun, penjara di Jepun agak selesa dan selamat bagi mereka yang dimasukkan ke dalamnya. Oleh kerana itulah semakin ramai warga tua Jepun memilih untuk menghabiskan usia mereka dalam penjara, kerana mereka tidak lagi dibebankan dengan masalah kewangan yang tak berkesudahan.
Sumber - Iluminasi
Comments :
0 comments to “Ini 5 Alasan Kenapa Ada Individu Mahu Jadi Banduan Di Penjara”
Post a Comment