Anda sayangkan katil anda rapat-rapat?
Lebih gemar menghabiskan masa berbaring sambil menelaah media sosial setiap hari? Malas nak bangun dari katil kerana merasakan katil terlalu nikmat untuk ditinggalkan?
Ini adalah kerja yang paling sesuai untuk anda. Pada tahun 2013, NASA mengumumkan pencarian calon yang sesuai untuk satu kajian mereka berkenaan mikrograviti dan kesannya pada badan angkasawan.
Apa yang perlu dilakukan adalah hanya memerlukan peserta berbaring selama 70 hari di atas tilam tanpa bangun langsung. Ya, anda akan dibayar sebanyak RM77,085 untuk baring, membaca, membuka internet, main permainan video atau mungkin juga melakukan pekerjaan anda di atas katil.
Kajian tersebut akan dilakukan selama 70 hari tanpa henti bagi mengkaji kesan ketiadaan graviti ke atas otot semasa berada di angkasa. Dengan meletakkan peserta di atas katil, otot-otot yang selama ini digunakan untuk berdiri, berjalan, bergerak dan pelbagai aktiviti lain akan mengalami kekurangan pergerakan.
Kesan kepada otot dan tulang selepas berkurangnya aktiviti-aktiviti normal itulah yang akan dikaji kerana seorang angkasawan ketika berada di angkasa, tidak menggunakan otot-otot meraka dalam keadaan graviti sifar. Hanya dengan menggerakkan sebatang jari, seorang angkasawan mampu meluncur pantas ke depan.
Selepas tempoh tertentu berbaring, peserta kajian akan diminta untuk mejalani beberapa siri ujian seperti senaman dan aktiviti-aktiviti normal angkasawan contohnya keluar daripada kenderaan atau mengangkat barangan.
Cuma, jangan ingat kelayakan untuk menjadi peserta kursus ini mudah.
Seseorang itu diperlukan berada dalam keadaan sangat sihat serta perlu melalui ujian kesihatan kelas 3 Tentera Udara USA melalui ujian fizikal. Selain itu, seseorang itu juga perlu melalui beberapa ujian psikologi serta berdepan dengan temuramah psikologi selama 90 minit.
Ini semua perlu dilakukan kerana hakikatnya, bukan semua orang mampu hidup di atas katil selama 70 hari berturut-turut walaupun ramai yang akan mengaku mereka mampu.
Menurut salah seorang bekas peserta bernama Heather Archuletta, dia menjalani program itu pada 2008 namun hanya sempat menghabiskan masa di atas katil selama 54 hari akibat Amerika Syarikat dilanda Taufan Ike. Menurut beliau, selepas 54 hari berbaring, kali pertama dia memijakkan kaki ke tanah dan cuba untuk berjalan, rasa sakit yang datang menyerang ototnya sukar untuk digambarkan.
Seorang lagi peserta, Andrew Iwanicki berjaya menghabiskan 70 hari di atas katil. Selepas menamatkan 70 hari, katil Andrew dipusingkan menegak untuk membolehkan dia berdiri. Setiap peserta diberikan tugas untuk cuba berdiri selama 15 minit selepas kali pertama menjejakkan kaki ke tanah semula. Pada waktu tersebut, Andrew merasakan perasaan darah kembali ke bahagian kaki, mengakibatkan degupan jantungnya meningkat kepada 150BPM. Rasa hendak pitam mula menyerang Andrew dan selepas hampir 8 minit, Andrew pengsan.
Pihak NASA memberitahu yang sehingga sekarang, tidak ada seorang pun peserta yang berjaya berdiri selama 15 minit selepas 70 hari di atas katil. Semuanya akan pengsan di pertengahannya.
Jika ada yang bertanya bagaimana peserta mandi atau ke tandas, terdapat peralatan-peralatan khas yang disediakan untuk setiap peserta melakukan perkara tersebut, cuma masih lagi perlu dilakukan dalam keadaan berbaring. Berak dan kencing menggunakan kaedah yang sama seperti di hospital cuma mandi memerlukan peserta menggunakan katil khas yang dicipta untuk membolehkan mereka kekal berbaring sambil mandi.
Bagi mereka yang berminat, selain daripada pihak NASA, pihak Institute for Space Medicine and Physiology (Medes) di Toulouse, Perancis juga membuka peluang yang sama kepada mereka yang berminat dengan tempoh waktu 60 hari pada gaji yang lebih tinggi iaitu RM80,424. Hanya 24 calon diperlukan dengan syarat kelayakan lelaki berumur 20-45 tahun, tidak merokok serta mempunyai nilai BMI badan di antara 22 hingga 27.
Adakah anda menepati ciri-ciri yang dikehendaki? Mahu mencuba nasib dengan NASA atau ISMP (Medes) Perancis? Sila rujuk pautan di bawah untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Sumber : Iluminasi (Adi Namri Sidek)
Comments :
0 comments to “Anda Sanggup Baring Selama 70 Hari Tanpa Henti Untuk RM77,085? Anda Mungkin Calon Terbaik NASA”
Post a Comment