Kontroversi melibatkan jantina usahawan kosmetik, Datuk Nur Sajat Kamaruzzaman semakin hangat diperkatakan ramai selepas tindakan penulis blog, Papagomo menghubungi sendiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Menerusi rakaman perbualan yang dimuat naik di laman Facebook semalam, Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris mengadu kepada Jamil Khir mengenai tingkah laku Nur Sajat yang menyerupai wanita dianggap semakin melampau dan memberi kesan negatif kepada masyarakat umum.
Beliau dalam rakaman tersebut meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam, supaya menggesa pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan terhadap Nur Sajat, yang didakwa merupakan seorang maknyah.
Bagaimanapun, Jamil Khir menjelaskan bahawa Jakim tiada kuasa untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang Islam, sebaliknya kuasa tersebut adalah di bawah Jabatan Agama Islam negeri masing-masing.
Susulan itu, Jakim pada Isnin mengalu-alukan pertemuan dengan Nur Sajat bagi membincangkan persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat selain 'mengenali lebih dekat wanita’ itu.
“Kami menjemput Sajat untuk hadir ke Jakim supaya kita lebih mengenali antara satu sama lain dan juga berbincang berkenaan situasi dan keadaan Sajat.
“Atau kami sedia berjumpa dengan Sajat di mana-mana sahaja yang dirasakan selesa. Kami sedia dihubungi 24/7,” demikian menurut Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti, Jakim, Dr Izwan Yusof menerusi ‘mesej terbuka’ yang dimuat naik di laman Facebook, semalam.
Cadangan tersebut turut disambut baik oleh Ketua Pengarah Jakim, Tan Sri Othman Mustapha yang mahukan pihaknya mengatur pertemuan dengan Nur Sajat.
“Assalamualaikum, Dr Izwan Yusof, setuju dan aturkan pertemuan dengan Nur Sajat. Kita bantu bukan menghukum,” kata Othman menerusi laman Twitter, hari ini.
Bertitik-tolak daripada usaha Papagomo yang melancarkan ‘operasi membanteras Sajat’ secara habis-habisan, usahawan itu tampil membuat siri pendedahan mengejutkan mengenai motif sebenar lelaki itu berbuat demikian.
Walaupun Nur Sajat seperti dilapor sebuah portal berita menyatakan bahawa beliau bersedia untuk bertemu dengan pihak Jakim, namun beliau dalam kemaskini di laman Instagram hari ini mempertikaikan tindakan Papagomo, yang didakwa berunsur dendam dan sengaja mahu meraih perhatian.
Dakwa Nur Sajat, Papagomo kerap kali menghantar 'direct message' (DM) kepadanya di laman Instagram dan meninggalkan komen di laman sosial tersebut namun tidak pernah ‘dilayan’ oleh beliau.
Tambah Nur Sajat, penulis blog itu juga pernah ‘mengajaknya’ untuk menghadiri perasmian pembukaan gimnasium lelaki itu yang dijangka pada 21 Januari ini, namun juga tidak mendapat sebarang respon daripada usahawan kosmetik itu.
“Di sini saya nak menyatakan saya tak kenal siapa SIR AZRI (nama Instagram Papagomo) dan saya tak tahu dia ini siapa tetapi saya perasan dia rajin komen-komen gambar saya kat IG (Instagram) tapi dalam FB, dia kutuk-kutuk saya... saya tak faham apa masalah mamat ini...
“Dia ada menjemput saya pergi ke PEMBUKAAN GYM BELIAU... tetapi satu patah perkataan pun saya tak membalas... saya tak faham lah orang Melayu ini yang bernama Sir Azri..,” tulis Nur Sajat, pada Selasa.
Nur Sajat menjelaskan bahawa beliau mengesyaki serangan yang dibuat Papagomo adalah kerana sakit hati selepas beliau tidak pernah ‘melayan’ dan membalas mesej lelaki itu di laman sosial.
“Adakah cara awak nak viral kan saya ini, bersifat kan dendam??? Dan boleh saya tahu apa yang awak berdendam dengan saya?? Adakah kita berniaga perniagaan yang sama? atau awak tak boleh tengok orang Melayu berjaya??
“Disebabkan saya tak melayan segala komen-komen awak, awak terus nak hina saya dan mengata pasal saya, dan sesuka hati nak fitnah saya itu dan ini encik Azri!!!.
“Saya masih ada lagi mak ayah... jangan sesuka hati nak ambil tindakan dan mencuba nak mencari publisiti murahan, kerana saya tahu niat awak sebenarnya nak kan orang tahu yang awak ada buka GYM!!!,” tegasnya.
Katanya, sekiranya benar perbuatan tersebut hanya sekadar mahu melariskan perniagaan, ia adalah taktik kotor, selain menegaskan beliau sudah menyerahkan hal tersebut kepada pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.
“Saya pun ada membuat tindakan kerana perkara ini awak yang mulakan dahulu... saya tak kenal awak, dan awak tak kenal saya. Bagi saya, awak ini nak kan perhatian!
“Saya harap tindakan yang encik cuba buat itu adalah satu tindakan DENDAM PERASAAN kerana saya tak melayan komen awak.. (kena rejected),” katanya.
Terdahulu, status mengenai jantina sebenar Nur Sajat menjadi tanda tanya selepas beberapa siri pendedahan yang dibuat netizen menyatakan jantina sebenar usahawan itu adalah lelaki, dan bukannya perempuan. Namun, Nur Sajat sehingga kini menegaskan bahawa beliau adalah 'wanita' dan dilahirkan sebagai khunsa.
Sumber: Malaysiandigest.com
Comments :
0 comments to “[Video] Mengadu Pada Menteri, Nur Sajat Dedah Papagomo Selalu ‘DM’ Tapi Tak Dilayan”
Post a Comment