Blog Perkongsian merangkumi artikel semasa, kemalangan, fakta, agama dan pelbagai lagi. Njoy Membaca

 

50 mayat mangsa nahas ngeri ditemui


LIMA: Petugas kecemasan Peru mengesahkan 50 mayat, termasuk enam daripadanya kanak-kanak sudah ditemui dalam kemalangan bas ngeri di pesisir pantai, di sini.


"Kami berjaya menyelesaikan tugasan yang agak mencabar ini. Sebanyak 50 mayat berjaya dikesan di tempat kemalangan dan mayat sudah dikenal pasti keluarga masing-masing," kata Ketua Serantau Perkhidmatan Kesihatan Lima, Felic Palomo kepada stesen radio RPP.


Angka korban terkini dilaporkan lebih tinggi berbanding 48 kematian seperti diberikan Kementerian Dalam Negeri.


Menurut polis, usaha mengesan mangsa terpaksa dihentikan seketika pada malam Selasa kerana air pasang naik hingga ke bas.


Bas malang yang membawa 55 penumpang berdaftar, termasuk dua kru dalam perjalanan dari Huacho, kira-kira 130 kilometer di utara ibu negara itu menuju ke Lima.


Bas persiaran itu dikatakan terjunam ke gaung sedalam kira-kira 100 meter di tebing pesisir pantai Peru selepas bertembung dengan sebuah trak di kawasan selekoh maut.


Lebih daripada 200 petugas terdiri daripada polis, tentera dan tentera laut terbabit dalam usaha menyelamat.


Wakil syarikat pengangkutan Transportes San Martin de Porres, Luis Martinez tidak dapat mengesahkan sama ada pemandu bas terbabit maut atau cedera tetapi memberitahu ia menjalani pemeriksaan sebelum bertolak dari Huacho.


Berdasarkan laporan rasmi terkini, lebih 2,600 orang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Peru sepanjang 2016. - AFP


Comments :

0 comments to “50 mayat mangsa nahas ngeri ditemui”

Post a Comment

Popular Minggu Ini

Kategori

Arkib

Kongsikan

Powered by Blogger.